Malaysia evakuasi rakyat terkandas di Bangladesh, selepas dihujani kritikan lewat bertindak

Situasi di negara Asia Selatan berpopulasi 170 juta penduduk itu tercetus apabila pelajar universiti marah dengan dasar kuota kerja oleh kerajaan negara itu.
Ili Shazwani Ihsan
2024.07.22
Kuala Lumpur
Malaysia evakuasi rakyat terkandas di Bangladesh, selepas dihujani kritikan lewat bertindak Menteri Luar, Mohamad Hasan berbual bersama sekumpulan wakil Persatuan Ibu Bapa Pelajar Bangladesh Malaysia di Putrajaya, 22 Julai 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia berkata sebuah pesawat khas telah disediakan bagi membawa pulang hampir 200 rakyatnya selepas Kementerian Luar negara itu dihujani kritikan pelahan bertindak melindungi rakyatnya yang terkesan akibat demostrasi yang sedang berlangsung di Bangladesh.

Pelan evakuasi itu diumumkan oleh Menteri Luar Mohamad Hassan pada Isnin, iaitu beberapa hari selepas pelajar Malaysia menyuarakan kebimbangan akan keselamatan, masalah kewangan serta pergerakan terbatas ekoran perintah berkurung yang dikeluarkan kerajaan Bangladesh sejak Sabtu.

Kebanyakan pelajar Malaysia itu sedang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan Mymensingh (MMC) yang berjarak lebih 100km dari ibu negara Dhaka.

“Kerajaan telahpun berurusan denga pihak AirAsia X Berhad untuk membawa pulang 192 rakyat Malaysia termasuk 124 pelajar. Pesawat besar yang boleh memuatkan 350 orang penumpang itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarangsa Dhaka pada jam 10 pagi (waktu Bangladesh) Selasa.

“Kesemua pelajar adalah seramai 139 orang, tetapi 15 pelajar sudah pulang. Jadi kita mempunyai 124 orang pelajar di sana yang akan dikumpulkan oleh pihak kedutaan dengan kerjasama agensi-agensi lain di bawah kelolaan Majlis Keselamatan Negara,” kata Mohamad dalam satu sidang media di Putrajaya.

Wisma Putra nama lain bagi Kementerian Luar Malaysia pada Ahad mengumumkan telah memindahkan pelajar Malaysia yang terjejas oleh situasi semasa di Bangladesh ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Namun tindakan memindahkan pelajar yang terkesan itu didakwa dibuat agak lewat setelah isu berkenaan dibangkitkan di sosial media dan mendapat kritikan oleh sesetengah pihak sebagai perlahan dan seakan tidak mengambil berat akan keselamatan pelajar.

Seorang pengguna platform X @akmalazizan8 yang memuatnaik hantaran “Selamatkan Malaysian di Bangladesh” pada Sabtu memaklumkan berkongsi menerusi hantaran beliau pada Ahad bahawa semua pelajar di MMC dan Dhaka Medical College masih belum dipindahkan ke kedutaan yang mana bercanggah dengan kenyataan Wisma Putra.

“Semua masih tunggu plan yang masih samar-samar dari kedutaan. Kedai makan, pasar semua tutup. Kedutaan perlu bertindak segera,” luahnya di laman sosial media itu.

Seorang lagi pelajar yang dikenali sebagai Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan, MMC yang selamat tiba di Kuala Lumpur pada 18 Julai pula berkongsi kebimbangan akan kebajikan dan keselamatan pelajar lain di Bangladesh dalam satu temubual video dengan media tempatan pada Ahad lalu.

“Kerana bekalan asas dan kewangan juga sangat terhad dan saya tak pasti, mungkin mereka tidak dapat bertahan dengan lama jika masa lebih lama diambil oleh kerajaan untuk bertindak,” katanya.

Menurut Ahmad Wafiq lagi, pelajar Malaysia yang terperangkap di sana yang rata-ratanya berkurung di rumah dan kolej penginapan masing masing atau di Sheikh Fazilatunessa Mujib Memorial KPJ Specialist Hospital dengan hidup dalam ketakutan serta kebimbangan akan keselamatan dan bekalan makanan yang terhad.

Evakuasi susulan

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita pada satu majlis di Kuala Lumpur menegaskan bahawa keselamatan pelajar Malaysia tidak kira yang menerima bantuan kerajaan atau pelajar swasta menjadi keutamaan pada masa ini.

“Untuk keselamatan anak-anak kita sama ada mereka pegang bantuan kerajaan atau pelajar swasta kita akan bantu dan keselamatan anak-anak Malaysia menjadi keutamaan kita.

“Kalau hari pertama itu keadaan mungkin nampak terkawal tapi sekarang ni dari maklumat kedutaan rasanya lebih sesuai mereka ini dibawa pulang,” kata beliau.

Situasi di negara Asia Selatan yang mempunyai populasi 170 juta penduduk itu dilanda keganasan selepas beberapa hari berlangsungnya protes oleh pelajar yang marah dengan dasar kuota kerja oleh kerajaan negara itu.

Protes jalanan yang bermula sejak awal Julai itu mula merebak sehingga tercetusnya pertempuran antara pelajar dan anggota pasukan keselamatan setelah pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Sheikh Hasina melarang perhimpunan awam di ibu kota Dhaka, dengan turut bertindak menutup semua universiti.

Protes itu menjadi keganasan rusuhan politik terburuk yang pernah berlaku sejak sedekad lalu di negara itu dengan lebih 130 orang telah dilaporkan terbunuh setakat ini.

Bertindak pantas

Nubli Hashim yang mengetuai sekumpulan ibu bapa pelajar Malaysia di Bangladesh memberitahu yang kebanyakkan ibu bapa pelajar tidak boleh tidur lena sejak protes jalanan itu berlaku, ditambah dengan sambungan internet yang tidak ada selain asyik terputus setiap kali bercakap ditalian.

Bapa kepada pelajar Bangladesh Agriculture University itu mengatakan beliau dan ibu bapa lain berhajat untuk bertemu pihak kementerian bagi mengemukan permohonan membawa pulang anak mereka pada pagi Isnin namun diberitahu bahawa pesawat akan dihantar dan dijadualkan sampai ke Dhaka pada Selasa.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih khasnya kepada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri kerana telah mengaturkan proses evakuasi anak-anak atau pelajar Malaysia yang berada di Bangladesh, ” katanya pada sidang media yang sama dengan Menteri Luar.

Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Muhammad Danial Alimin berkata adalah wajar bagi kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera membawa pulang pelajar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Beliau berkata, GPMS juga menyeru pihak kedutaan Malaysia di Bangladesh untuk memainkan peranan proaktif dalam mengurus dan memantau keadaan pelajar-pelajar Malaysia selain memastikan proses pemindahan berjalan lancar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.