Imigresen Malaysia Selamatkan 59 Mangsa Pemerdagangan Manusia

Hata Wahari
2016.12.20
Kuala Lumpur
161220-my-bangladesh-620.jpg Pendatang tanpa izin dari Bangladesh mengangkat tangan untuk menerima bantuan pakaian selepas mereka menunggu di Ibu Pejabat Polis Langkawi, Kedah, 11 Mei 2015.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia membawa masuk warga Bangladesh melalui negara jiran Indonesia, selepas menemui 59 warganegara itu di dua buah unit kondominium di Desa Petaling, Kuala Lumpur semasa serbuan dibuat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Isnin.

Ketua Pengarah JIM, Mustafar Ali berkata, seorang tekong dan tiga pembantunya, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, yang juga warga Bangladesh telah ditahan dalam serbuan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka dipercayai menguruskan ketibaan dan pembekalan pekerja asing kepada majikan selain bertindak mengawal selia rumah yang dijadikan sebagai tempat transit sebelum mangsa pemerdagangan dihantar kepada ejen dan majikan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Selasa di ibunegara Malaysia itu.

Katanya, kesemua mangsa dipercayai menaiki pesawat dari Bangladesh ke Jakarta, Indonesia dan dibawa ke sebuah lokasi berhampiran pantai sebelum menaiki bot dan diseludup ke Malaysia.

“Mangsa yang dijanjikan dengan pekerjaan di Malaysia perlu membayar antara RM18,000 dan RM20,000 [AS$4,000 dan AS$4,500] bagi urusan kemasukan ke Malaysia melalui Indonesia itu. Mereka juga ditempatkan di sebuah rumah transit dan dikawal rapi serta tidak dibenarkan keluar oleh anggota sindiket berkenaan, yang turut menguruskan segala makan dan minum mereka,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tinggal di rumah transit dalam keadaan berhimpit dan sesak selama 2 atau sehingga 7 hari itu tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit, malah wang dan pasport mereka turut dirampas.

Katanya, mangsa turut mendakwa mereka diancam akan dicederakan sekiranya tidak mengikut arahan atau cuba melarikan diri dari rumah transit berkenaan.

Tambahnya, sindiket itu juga terlibat dengan aktiviti mencetak pelekat keselamatan Imigresen palsu selepas pihak berkuasa menemui sebuah computer, alat pencetak dan pasport Bangladesh di dalam sebuah bilik di salah sebuah premis yang dipercayai digunakan untuk melakukan semua kegiatan pemalsuan itu.

Selepas ditahan mangsa turut mengadu bahawa mereka terpaksa menjual dan menggadaikan segala harta benda di negara sendiri seperti rumah dan tanah bagi mendapatkan dana untuk membiayai perjalanan mereka ke Malaysia.

Mustafar menjelaskan, sindiket berkenaan dipercayai telah lama menjalankan kegiatan mereka berdasarkan kepada modus operandi yang digunakan dan mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia yang berjaya ditumpaskan pada November lepas.

Beliau juga percaya bahawa lebih banyak penemuan rangkaian sindiket lain yang bergerak aktif akan berjaya dibongkar dengan penangkapan terbaru itu.

“Jabatan ini akan terus memburu dalang-dalang atau mereka yang bersekongkol dalam kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” katanya.

Dalam pada itu, Javed Ahmed, Setiausaha Tambahan, Kementerian Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara berkata, beliau tidak mengetahui ataupun mempunyai sebarang maklumat mengenai perkembangan yang melibatkan warganegaranya ditahan di Malaysia itu.

"Mungkin juga maklumat daripada Malaysia yang mengatakan 59 warga Bangladesh itu satu maklumat yang benar, kerana ramai orang pergi ke Malaysia, dengan menggunakan visa pelancong dan pelajar yang kebanyakan adalah palsu. Mereka yang ‘palsu’ itu terjerumus dengan menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” katanya kepada BeritaBenar di Dhaka pada Selasa.

Sambil mengakui mengenai kegagalan jabatan kerajaan negara itu dalam menangani masalah berkenaan beliau berkata "tiada siapa yang menjalankan pemeriksaan apabila seseorang yang berusia 38 tahun mahu mengembara ke Malaysia sebagai pelajar, atau seorang penduduk kampung miskin melancong dengan visa pelancong."

Langkah kerajaan Malaysia untuk menangkap pekerja asing tanpa izin terutama dari Bangladesh mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negara itu, yang kini sedang berusaha untuk menghantar tenaga buruhnya secara sah mulai bulan ini.

Tindakan Malaysia itu dibuat selepas membuka peluang kepada pekerja tanpa izin untuk mendaftar secara sah di sisi undang-undang negara itu sepanjang tahun ini.

Kira-kira 300,000 warga Bangladesh bekerja di Malaysia, menghantar kira-kira 110 bilion taka ($1.4 bilion) pulang ke tanah air setiap tahun, menurut perangkaan kerajaan.

 

Jesmin Papri di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.