Diaspora Bangladesh lega rusuhan reda, mahu demokrasi wujud kembali

Muhammad Yunus bekas penerima Hadiah Nobel dilantik mengetuai kerajaan sementara selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan susulan protes berdarah pada Julai lalu.
Iman Muttaqin Yusof
2024.08.09
Kuala Lumpur
Diaspora Bangladesh lega rusuhan reda, mahu demokrasi wujud kembali Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Sumaiya Zafrin Chowdhury (dua dari kanan) bersama rakan senegaranya mengadakan protes aman di kampus universiti itu di Gombak, Selangor, 19 Julai 2024.
[Ihsan Sumaiya Zafrin Chowdhury]

KEMASKINI pada 2 petang waktu tempatan ETS - 2024-08-09

Diaspora Bangladesh di Malaysia, komuniti yang tersepit dalam pergeseran politik dan ekonomi di tanah air mereka memberikan reaksi bercampur antara lega dan berhati-hati berikutan pembentukan kerajaan sementara setelah Perdana Menteri Sheikh Hasina Wazed meletak jawatan dan melarikan diri ke luar negara di tengah-tengah gerakan semasa yang mahu beliau berundur pada awal minggu ini.

Kebanyakan mereka gembira kerana berakhirnya pemerintahan diktator Sheikh Hasina tetapi ada juga yang bimbang dengan perlantikan pemenang Hadiah Nobel Muhammad Yunus, 84, mengetuai kerajaan sementara kerana hubungan rapatnya dengan Amerika Syarikat.

Hasina meletak jawatan susulan tercetusnya protes yang membawa kepada rusuhan bagi tempoh berminggu lama diketuai kumpulan pelajar universiti yang menentang sistem kuota pekerjaan yang dilihat pengkritik, lebih memihak kepada golongan elit.

“Kami sangat gembira kerana pemerintahan diktator Sheikh Hasina berakhir...Walaupun kami mengakui di bawah pentadbirannya terdapat pembangunan seperti pembinaan bangunan, jejambat, lebuh raya tetapi beliau tidak membenarkan demokrasi berkembang di Bangladesh," kata Tarek Hassan, seorang pekerja pembersihan berusia 40 tahun yang telah menetap di Malaysia selama 16 tahun kepada BenarNews.

Dikenali sebagai pelopor 'bank orang miskin', Muhammad Yunus, adalah pilihan utama pelajar dan pelantikannya dibuat selepas mesyuarat penting dipengerusikan oleh Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin.

Walaupun Muhammad Yunus dihormati di peringkat antarabangsa kerana kepakarannya dalam bidang kewangan mikro, kepimpinannya dipandang dengan perasaan bercampur-campur kerana hubungan rapat beliau dengan negara Barat termasuk AS.

“Dengan keluarnya Hasina, kami di Malaysia berasa lega. Saya terus menonton video yang dikongsi oleh rakan dan keluarga saya. Hasina memenjara musuh politiknya dan kini kami mahu mereka yang dipenjara dibebaskan... Namun, saya tidak pasti tentang Yunus. Dia menerima pelbagai reaksi daripada orang Islam kerana dia sekutu rapat AS, jadi kami tidak pasti mengenainya, " kata Hussain Monir, seorang tukang cuci berusia 30 tahun yang berada di Malaysia selama lapan tahun kepada BenarNews.

Uday Bakhshi, pengurus risiko di APAC Assistance pula berkata meskipun pengunduran Hasina mungkin membawa sedikit kelegaan, tetapi masa depan tenaga kerja asing Bangladesh masih tidak menentu.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk memberitahu sama ada isu di bawah pentadbiran Hasina akan dipulihkan dan keadaan menjadi lebih baik di Bangladesh.

“Pengiriman wang daripada pekerja asing memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Bangladesh dan pertukaran asing. Dengan Yunus melangkah masuk, beliau akan menumpukan pada peningkatan peluang pekerjaan dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama, jika beliau menangani tuntutan gerakan protes.

"Jadi, Yunus perlu mengimbangi pelbagai minat beberapa pihak walaupun ini adalah detik penting untuk Bangladesh, apa yang akan berlaku seterusnya dan sama ada tindakan akan sepadan dengan retorik, kedua-duanya tidak jelas pada ketika ini." kata Uday kepada BenarNews.

Bantahan terhadap kuota 30 peratus pekerjaaan awam kepada waris pejuang kemerdekaan negara itu pada Julai lalu bertukar menjadi rusuhan maut setelah pasukan keselamatan dan penyokong Hasina dalam Liga Awami menyertai ‘pertempuran’ bagi memadamkan demonstrasi pelajar.

Menurut laporan rasmi, kira-kira 300 orang termasuk pelajar universiti terbunuh semasa protes itu manakala lebih 108 orang telah terbunuh dalam keganasan terbaru sejak Hasina melarikan diri.

Hasina dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh dari 1996 sehingga tahun 2001 dan dari 2009 sehingga 2024. Beliau merupakan anak sulung kepada Sheikh Mujibur Rahman, presiden pertama Bangladesh.

Kemerdekaan kedua

Dalam pada itu, Sumaiya Zafrin Chowdhury, pelajar warga Bangladesh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang telah mengadakan bantahan secara aman untuk menarik perhatian antarabangsa mengenai situasi di negara asalnya menyifatkan kejatuhan Hasina sebagai satu pembebasan.

"Kejatuhannya (Hasina) ibarat kemerdekaan kedua bagi saya tetapi kerajaan sementara mesti segera mewujudkan persekitaran yang memberikan laluan kepada pilihan raya bagi membolehkan kerajaan demokratik diwujudkan semula di Bangladesh," katanya kepada BenarNews.

Muhammad Bilal, seorang pendawai elektrik berusia 33 tahun yang telah bekerja di Malaysia selama lima tahun menyuarakan kelegaan seperti dirasai ramai rakyat Bangladesh.

Malah keluarganya yang tinggal di Brahmanbaria turut menyertai protes pada Julai lalu walaupun tempat tinggal mereka memerlukan perjalanan selama tiga jam dari Dhaka.

“Saya gembira kerana selepas 15 tahun, Hasina akhirnya berundur. Ini adalah kemenangan untuk semua pejuang kebebasan dan pelajar. Mereka yang berjuang dalam perang kemerdekaan sekarang akan mendapat pekerjaan dan pelajar juga bakal mendapat peluang,” kata Bilal.

Bagi kebanyakan pekerja Bangladesh di Malaysia, mereka berharap kejatuhan Hasina akan membawa kepada tadbir urus yang lebih telus dan saksama di negara itu.

Sebelum ini laporan menyebut proses pengambilan pekerja asing telah dicemari dengan dakwaan rasuah, eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Menurut Biro Tenaga Kerja, Pekerjaan dan Latihan Bangladesh, pembukaan semula pasaran buruh Malaysia pada Disember 2021 selepas pandemik COVID-19 membawa kepada ketibaan lebih 400,000 pekerja yang diluluskan seperti yang dilaporkan oleh media tempatan Bangladesh.

“Saya ada kawan yang ditipu oleh pegawai kerajaan Bangladesh. Rakan saya terpaksa membayar RM24,000 [AS$5,420] hanya untuk permohonan datang ke sini,” dakwa Tarek.

“Itulah masalah Hasina dan pentadbirannya, tiada ketelusan dan sentiasa berbohong.”

Pemerintahan Hasina selama 15 tahun juga telah dikritik kerana pendekatannya yang terlalu keras dalam tadbir urus negara.

Pertubuhan hak asasi manusia telah menegaskan bahawa pentadbiran Hasina menyekat politik pembangkang dan meminggirkan rakyat termiskin hinggga mendorong ramai mencari kerja di luar negara termasuk di Malaysia.

Penghijrahan itu telah mewujudkan tenaga kerja Bangladesh yang ketara di Malaysia dengan jumlah tidak rasmi pendatang tanpa izin dianggarkan antara 1.2 juta hingga 3.5 juta termasuk warganegara Bangladesh, menurut laporan Human Rights Watch (HRW) 2024, pertubuhan hak asasi berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada lewat Jumaat mengucapkan tahniah kepada Muhammad Yunus atas pelantikannya sebagai Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh.

“Pengalaman luas beliau menjanjikan panduan dalam membawa negara kepada kebijaksanaan dan integriti..Pada detik penting dalam sejarah ini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakyat Bangladesh untuk masa depan yang cemerlang, " kata Anwar dalam satu kenyataan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.