Malaysia: Empat negeri dilanda banjir teruk, penduduk terpaksa dipindahkan
2023.12.26
Kuala Lumpur
Lebih 26,000 penduduk di empat negeri Malaysia terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara setakat Selasa ekoran banjir teruk yang melanda selepas hujan lebat menyebabkan air Sungai Golok melimpah, dan mengakibatkan banyak lokasi dinaiki air setinggi paras dagu serta memerangkap penduduk di rumah mereka.
Pada malam Isnin, Sungai Golok yang terletak berhampiran sempadan Malaysia dengan Thailand telah mencatatkan paras air 11.04 meter - yang tertinggi setakat ini - dengan lebih banyak hujan dijangka turun sehingga Rabu di negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu.
"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan terus memastikan semua agensi meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana di semua peringkat.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah telah diaktifkan untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara dilengkapi dengan keperluan asas dan mengkoordinasikan semua aktiviti respon dengan pelbagai agensi.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah sedia mengaktifkan 8,481 pusat pemindahan sementara yang mampu menampung seramai 1,620,855 mangsa di seluruh negara," kata agensi itu di dalam laporan harian banjir pada Selasa.
Menurut data NADMA, lebih 26,000 orang telah dipindahkan ke 199 pusat pemindahan disebabkan banjir dan tanah runtuh di empat negeri berkenaan. Kelantan mempunyai bilangan mangsa terbanyak iaitu seramai 15,994 orang.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak sehingga Rabu.
"Berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 27 Disember 2023. Keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.
"Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam," kata Ketua Pengarah Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan.
Ketua Polis Negeri Kelantan Muhamad Zaki Harun memberitahu BenarNews bahawa situasi masih terkawal, dan pihak berkuasa mempunyai bilangan anggota yang mencukupi bagi operasi banjir.
"Walaupun sekarang adalah hujung tahun, tidak ramai anggota yang bercuti jadi kita mempunyai bilangan petugas yang mencukupi. Sekiranya diperlukan, kita akan memanggil mereka yang sedang bercuti untuk kembali bertugas…. situasi masih terkawal," kata beliau.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang pada Isnin telah mencatatkan bacaan 11.3 meter susulan hujan berterusan sejak tiga hari lalu, di Pasir Mas, Kelantan. [M. Johan/BenarNews]
Projek tebatan banjir
Sementara itu, penduduk tempatan di Kelantan menyalahkan kegagalan merancang dan membina projek tebatan banjir sebagai punca air dari Sungai Golok melimpah ke beberapa kampung di sekitar Rantau Panjang.
"Pembinaan tambak sungai tidak dibuat dengan betul. Kita berharap bahawa tambak boleh menampung air [dari Sungai Golok] daripada menenggelamkan semua kampung di Rantau Panjang," kata seorang pengguna media sosial Facebook, yang dikenali sebagai Yen.
"Malangnya, ia kelihatan seperti keuntungan peribadi telah dipentingkan melebihi kebajikan rakyat. Rumah-rumah di Rantau Panjang berdepan bahaya disebabkan kegagalan merancang dan membina tambak dengan baik."
Siti, seorang lagi netizen, berkata "banjir semakin buruk" sejak tambak dibina, dan mendakwa ia terjadi disebagai tanpa perancangan yang betul dari awal lagi.
Sungai Golok merupakan sempadan antarabangsa yang memisahkan negeri Kelantan dengan beberapa wilayah Selatan Thailand, termasuk Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla, dan Satun.
Banjir teruk turut menjejaskan puluhan ribu penduduk di wilayah Selatan Thai itu, yang menyaksikan rumah ditenggelami air lumpur sehingga paras bumbung manakala jalanraya dan laluan keretapi terputus.
Media tempatan Thailand melaporkan sebanyak 19,624 keluarga dari 24 daerah terkesan dengan kejadian berkenaan.
Agensi berita kerajaan BERNAMA pula melaporkan yang Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud pada Selasa mengakui bahawa projek tambakan sungai telah mengakibatkan peningkatan paras banjir serta fenomena "air termenung" di beberapa tempat.
"Banyak rungutan daripada mangsa banjir yang mengharapkan agar Kerajaan Pusat membuat kajian mengenai pembinaan benteng tersebut. Kerajaan negeri juga faham projek benteng itu belum siap sepenuhnya.
"Bagi saya mungkin Kerajaan Pusat perlu memikirkan sesuatu sebelum projek itu siap sepenuhnya supaya air dapat mengalir dengan lancar dan mengelak berlakunya banjir termenung," kata beliau.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini berkata rancangan mitigasi banjir di Sungai Golok dianggarkan memakan kos sebanyak RM2.156 bilion (AS$470 juta), di mana peringkat awal projek berkenaan dijangka siap pada Ogos 2024.
"Benda ini pun kita kena lihat balik sebab apabila sudah selesai projek, kemudian yang kita dah buat alur limpah itu pun kena diubah suai, kita faham (situasi) penduduk yang terjejas itu.”
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.