Bah besar tenggelamkan beberapa negeri di Malaysia
2024.12.09
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 11 pagi waktu tempatan ETS - 2024-12-09
Zabidi Ishar berjalan melalui runtuhan rumahnya yang musnah akibat banjir melanda Kelantan, negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia pada awal bulan ini sambil cuba menyelamatkan beberapa perkakas yang masih boleh digunakan.
Bagi pesara kerajaan berusia 55 tahun itu dan isterinya, bencana ini merupakan kali kedua mereka hadapi dalam tempoh dua tahun hingga banyak kerugian yang terpaksa ditanggung setelah kawasan perumahan ditenggelami air.
Namun, banjir kali ini lebih teruk kerana paras air naik lebih tinggi dan di luar jangkaan.
“Rumah kami mula dinaiki air pada Khamis lalu…. Air naik sampai paras pinggang ketika kami ingin keluar dari rumah dan air di luar rumah pula cecah ke paras dada
“Saya sangka kami dah cukup bersedia berdasarkan pengalaman sebelum ini, perabot pun kami letakkan di paras lebih tinggi, malangnya banjir kali ini lebih teruk.
"Kalau siapa yang ada anak kecil memang sangat bahaya, ada risiko dihanyutkan air kerana parasnya sangat tinggi," cerita Zabidi semasa dihubungi BenarNews sambil meluahkan kerisauan.
Hujan lebat berterusan selama beberapa hari sejak 27 November lalu menyebabkan puluhan ribu kediaman ditenggelami air, tanaman musnah dan meragut 10 nyawa, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Monson Timur Laut, peralihan musim tengkujuh berlaku setiap tahun, namun tahun ini taburan hujan disifatkan luar biasa, dengan pelbagai video tular di media sosial memaparkan banyak rumah ditenggelami air, kenderaan seolah-olah menjadi tukun dan perahu terdampar di pesisir pantai ekoran dihempas ombak.
Menurut data agensi bencana Malaysia lebih 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan manakala agensi ramalan kaji cuaca pulak berkata, luruan monsun itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung serta Sabah semasa sepanjang musim.
Kelantan dan Terengganu - dua negeri paling teruk dilanda bencana banjir yang masih bergelut menangani kesan kemusnahan sebaik air surut, kini terpaksa berhadapan kemungkinan dengan gelombang bah kedua apabila luruan monsun dijangka berlaku dari 8 hingga 14 Disember, demikian amaran Jabatan Meteorologi Malaysia.
Negara jiran Thailand yang bersempadan dengan Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis turut dilanda banjir dengan merekodkan sebanyak 29 kematian, lapor media tempatan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu berkata kemusnahan akibat banjir di Malaysia mencecah hampir RM1 bilion (A.S.$226 juta), yang mana kerajaan sedang menggiatkan usaha untuk membantu mereka yang terjejas.
Sementara itu, di negeri utara Kedah, Saifulnizam Mahmud terkandas di kediaman sementara berdekatan dengan rumahnya selama lima hari apabila air naik ke paras tinggi di pekan kecil Tunjang.
“Keadaan sangat merbahaya untuk kami kekal tinggal di rumah. Lagipun saya tinggal dengan ibu yang agak uzur, bimbang air naik lebih tinggi,” ujar Saifulnizam, 44, kepada BenarNews.
Dia berkata, bencana banjir ini merupakan kali ketiga dialami sejak dua bulan lalu apabila rumahnya ditenggelami air.
“Dua bulan lepas, air sudah naik paras lutut. Belum sempat hilang penat mengemas dan gantikan barangan rosak, baru-baru ini sekali lagi kami dilanda banjir. Kali ini naik ke paras paha,” ujar Saiful.
Kerja-kerja mengemas dan membersihkan rumah selepas banjir memang suatu perkara yang meletihkan apatah lagi apabila keadaan lantai dipenuhi lumpur tebal.
Krisis iklim memburukkan banjir monsun
Banjir ketika musim Monsun Timur Laut merupakan perkara yang sudah lumrah bagi rakyat negara ini dan ia bukan sesuatu yang baharu.
Bagaimanapun, saintis berpendapat perubahan iklim menjadikannya lebih buruk. Tambahan pula, suhu global yang semakin meningkat menguatkan hujan lebat, kata para pakar.
“Kecenderungan berlaku hujan dan banjir semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Serina Rahman, seorang pakar antropologi alam sekitar dan pensyarah di Universiti Nasional Singapura kepada BenarNews.
“Ia juga disebabkan oleh suhu permukaan laut yang meningkat, yang berkaitan langsung dengan pemanasan global dan trend ini nampaknya tidak akan menurun dalam masa terdekat.”
Namun begitu, di Kelantan, terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada kejadian banjir seperti penebangan hutan.
“Di Kelantan, penebangan hutan, saliran yang tersumbat dan tidak diselenggara dengan baik juga menyumbang kepada banjir. [Dan] apa sahaja yang menjejaskan kita juga akan menjejaskan selatan Thailand kerana kita berjiran.”
Banjir besar pernah dilaporkan berlaku di Malaysia pada 2014 yang menyebabkan 300,000 orang terpaksa dipindahkan.
Pada Disember 2021, banjir monsun melanda kawasan tengah Selangor dan Kuala Lumpur, lokasi yang kebiasaannya tidak mengalami kemusnahan sedemikian, menurut rekod awam.
Menurut Azizan Abu Samah, penyelidik dari Institut Sains Samudera Universiti Malaya, angin yang lebih kuat semasa musim monsun kini membawa kepada 48-72 jam hujan lebat berterusan, satu gandingan berbahaya apabila digabungkan dengan air pasang tinggi.
“Keadaan itu menjadi ancaman tahunan bagi penduduk di pantai timur Malaysia dan selatan Thailand,” kata Azizan kepada BenarNews.
Aktivis alam sekitar Randolph Jeremiah menyatakan bahawa unjuran yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia menunjukkan keadaan semakin buruk.
“Hujan dijangka meningkat antara 3.5 peratus hingga 12.5 peratus dalam tempoh 100 tahun akan datang dan kawasan yang terdedah banjir boleh berkembang sebanyak 18.2 peratus,” kata Randolph yang juga naib presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia kepada BenarNews.
Malaysia telah membelanjakan berbilion ringgit untuk mitigasi banjir selama bertahun-tahun, tetapi pengkritik mengatakan ia masih belum mencukupi.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof memberitahu Parlimen pada Khamis bahawa Malaysia memerlukan peruntukan sejumlah RM392 bilion (AS$88.73 bilion) untuk menangani banjir sehingga 2100, tetapi peruntukan kerajaan yang terhad menjadi cabaran besar.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedang “meningkatkan persediaan, termasuk sistem amaran awal, latihan pemindahan dan penyelenggaraan infrastruktur saliran yang lebih baik,” bagi mengurangkan kekerapan banjir di negara ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti sebanyak 4,619 lokasi tumpuan banjir di seluruh negara dan memastikan 534 siren amaran yang dipasang di sepanjang sungai utama berfungsi, kata Fadillah.
Namun, pakar kelestarian Renard Siew berpendapat Malaysia memerlukan pendekatan jangka panjang dan menyeluruh daripada kerajaan untuk menangani krisis ini.
“Kita mesti mula melabur dalam infrastruktur fizikal dan projek berasaskan alam semula jadi dan keputusan mengenai lokasi pembangunan mesti berdasarkan data saintifik yang kukuh,” kata Renard kepada BenarNews.
“Tidak cukup sekadar menangani melalui 'peruntukan banjir'. Kita perlu membina keupayaan dan memastikan rakyat dimaklumkan dan dilindungi jika mereka tinggal di kawasan yang terdedah,” katanya.