Malaysia mahu buat bantahan diplomatik selepas perairan diceroboh Singapura

Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) dipercayai menceroboh perairan Malaysia sebelum melanggar pukat nelayan kira-kira 0.2 batu nautika di Barat Daya pusat pemeriksaan Tuas.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.08.21
Kuala Lumpur
Malaysia mahu buat bantahan diplomatik selepas perairan diceroboh Singapura Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia melakukan demonstrasi menyelamatkan anak kapal yang tercedera berhampiran perairan Pantai Batu 1, di Port Dickson, Negeri Sembilan, 14 Jun 2023.
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Malaysia merancang untuk membuat bantahan diplomatik terhadap Singapura berhubung pengawal pantai negara jiran itu yang didakwa menceroboh perairan dan melanggar bot nelayan tempatan minggu lalu, demikian menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Isnin.

Singapura bagaimanapun pada Ahad telah menafikan yang bot Polis Pengawal Pantai negara itu telah menceroboh perairan negara jiran pada 14 Ogos lepas dengan berkata agensi penguatkuasaan pantainya telah mengarahkan bot nelayan Malaysia untuk beredar daripada kawasan perairannya.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Saiful Lizan Ibrahim dalam satu kenyataan media telah mendakwa sebuah bot milik Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) telah memasuki sempadan Malaysia sebelum melanggar pukat nelayan kira-kira 0.2 batu nautika di Barat Daya pusat pemeriksaan Tuas.

""APMM membantah tegas tindakan agensi penguatkuasa asing iaitu SPGC yang dipercayai telah memasuki perairan Malaysia dan melanggar jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan sehingga tersangkut di bebaling bot penguat kuasa negara itu pada 14 Ogos lalu.

“Maritim Malaysia juga merasa kecewa atas tindakan bot terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu serta merosakkan peralatan nelayan tempatan di samping menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan maritim negara jiran.

"Pihak Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan," kata Saiful Lizan dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Sehubungan dengan insiden tersebut, APMM telah membuat semakan dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia selepas menerima laporan dan mendapat pengesahan bahawa bot nelayan tempatan itu berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia dan lokasi kejadian merupakan kawasan tradisi nelayan tempatan di Johor menangkap ikan dan udang.

Sehari sebelum itu, polis Singapura dalam satu kenyataan mengakui terdapat kejadian di mana bot penguatkuasaannya terlibat menahan sebuah bot milik nelayan Malaysia sebelum jaring menangkap ikan tersangkut di bot polis, tetapi menafi tuduhan ia berlaku di perairan Malaysia.

Pihak polis negara itu berkata kejadian kira-kira 6.55 pagi itu berlaku ketika pegawai SPCG sedang meronda di perairan republik berkenaan sebelum mereka terserempak dengan bot Malaysia yang sedang berada di dalam kawasan Singapura.

"Pada ketika itu, terdapat beberapa buah kapal nelayan lain di kawasan berkenaan namun mereka berada di dalam perairan Malaysia. Pegawai SPCG telah menaiki kapal nelayan yang berada di perairan Singapura sebelum menasihati mereka meninggalkan kawasan perairan Singapura.

"Selepas pertemuan itu, satu unit pukat nelayan berkenaan telah tersangkut pada kipas bot SPCG ketika ia sedang mengundur untuk mengelak daripada termasuk ke kawasan perairan Malaysia. Pukat tersebut telah rosak ketika usaha mengeluarkannya daripada kipas bot," kata kenyataan polis Singapura.

Kejadian berkenaan telah turut mendapat perhatian wakil rakyat Malaysia bagi kawasan Kota Iskandar di Johor, Pandak Ahmad yang menyatakan bahawa beliau akan membawa usul ke Dewan Undangan Negeri Johor supaya persempadanan Malaysia-Singapura di Selat Tebrau dibuat pemetaan semula.

Ini adalah bagi mengelakkan kejadian semula daripada berulang di masa hadapan, kata Pandak seperti dilaporkan media tempatan.

Sementara itu, penganalisis keselamatan Mohd Mizan Mohammad Aslan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia percaya kejadian tersebut tidak akan menjadi satu pertikaian besar di antara kedua-dua negara terbabit.

Menurut ahli akademik tersebut, tindakan oleh SPCG dilihat lebih kepada satu bentuk ujian terhadap kebolehan pihak berkuasa
Malaysia dalam menangani insiden sedemikian serta untuk menunjukkan bahawa republik itu mempertahankan hak mereka ke atas kawasan sempadan maritim.

"Sekiranya mereka tidak mengambil tindakan, ia akan menunjukkan bahawa mereka (Singapura) kurang mengawasi kawasan yang menjadi pertikaian antara kedua negara.

“Dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan, Singapura boleh menunjukkan bukti bahawa mereka mempunyai kawalan ke atas kawasan pertikaian sekiranya Malaysia membawa isu persempadanan ke peringkat lebih tinggi, misalnya Mahkamah Antarabangsa.

"Apa yang Singapura lakukan adalah merekodkan segala apa yang berlaku, termasuk operasi pengawal pantai mereka ketika berlaku pencerobohan nelayan. Mereka telah melakukannya sejak 1979 apabila Malaysia memetakan kawasan sempadan melalui JUPEM, di mana Singapura turut mengambil langkah serupa," kata beliau kepada BenarNews.

Katanya, Malaysia juga tidak boleh berdiam diri kerana ia seolah-olah satu bentuk persetujuan bahawa Singapura mempunyai kawalan ke atas kawasan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

"Jadi, sebarang bentuk pencerobohan oleh nelayan atau pihak berkuasa Singapura, kita perlu menahan atau menghalau mereka, serta membuat bantahan. Tindakan APMM yang mahukan penjelasan diplomatik daripada Singapura merupakan satu langkah yang bagus kerana ia juga merupakan satu bentuk dokumentasi bagi pihak Malaysia," tambah Mizan lagi,

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.