Putrajaya Umum Bantuan Khas Hari Raya Buat Dua Juta Penjawat Awam, Pesara

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Perdana Menteri memberitahu yang kerajaan sudah tidak punya banyak wang untuk dibelanjakan.
Noah Lee & Nisha David
2021.04.22
Kuala Lumpur
Putrajaya Umum Bantuan Khas Hari Raya Buat Dua Juta Penjawat Awam, Pesara Pelita minyak tanah dinyalakan oleh beberapa penghuni kuarters kakitangan Jabatan Kerja Raya sambil ditemani anak-anak mereka di padang halaman kuarters berkenaan, bagi memeriahkan suasana menyambut Aldilfitri yang bakal dirayakan beberapa hari lagi di Sungai Besi, Kuala Lumpur, 20 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Di sebalik kekangan kewangan akibat kos menangani pandemik koronavirus, kerajaan Malaysia bersedia membelanjakan jutaan ringgit kepada penjawat awam dan pesara bagi membantu menyambut perayaan Hari Raya, demikian umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Putrajaya akan menyediakan bantuan kewangan berjumlah hampir AS$243 juta (RM1 bilion) kepada lebih 2 juta penjawat awam dan pesara, hanya selepas beberapa hari Perdana Menteri itu mengumumkan bahawa kerajaan sedang mengalami kekurangan sumber kewangan disebabkan perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata pembayaran tersebut akan dibuat bersama dengan gaji bulanan pada 6 Mei hadapan, iaitu kira-kira seminggu sebelum sambutan hari perayaan sebagai satu bentuk penghargaan kepada para penjawat awam atas pengorbanan mereka terutama ketika negara berhadapan pandemik.

"Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 (AS$121.58) kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract of Service, Contract for Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MyStep, dan RM250(AS$60.79) kepada pesara kerajaan," kata kenyataan dikeluarkan di Putrajaya itu.

Menurut Muhyiddin, bantuan khas yang akan memanfaatkan lebih dua juta orang penjawat awam dan pesara itu dapat meringankan beban kewangan serta menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

"Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini," tambah Perdana Menteri.

Untuk rekod, bonus bagi penjawat awam menjelang musim perayaan Aidilfitri adalah satu amalan yang dipraktikkan oleh kerajaan hampir setiap tahun bagi membantu penjawat awam dari segi kewangan.

Akan tetapi, pengumuman bantuan kewangan Aidilfitri oleh Muhyiddin tahun ini, dibuat ketika kerajaan dikatakan sedang menghadapi kekurangan dana disebabkan oleh perbelanjaan bagi melawan penularan koronavirus.

Perdana Menteri itu dilaporkan berkata dalam ucapan beliau semasa satu majlis pada 12 April bahawa kerajaan sudah tidak mempunyai banyak dana kerana sudah membelanjakan lebih RM600 bilion(AS$145.8 bilion) dalam Belanjawan 2021 dan juga beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat yang terkesan oleh pandemik.

"Kita tak ada banyak wang seperti sebelum ini, kerana perkara yang paling penting bagi kita adalah memastikan kehidupan kita; kita seharusnya dapat menguruskan diri dengan lebih baik," kata beliau seperti dilaporkan portal Malaysiakini baru-baru ini.

Sehari selepas itu, Muhyiddin dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata bahawa satu inisatif perlu dirangka bagi menggalakkan kakitangan awam berwakaf melalui potongan gaji, dengan tujuan meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara.

Pinda Akta 339

Dalam langkah terbaru bagi menampung perbelanjaan untuk pandemik, kerajaan pimpinan Muhyiddin pada Rabu telah meminda satu akta yang mengawal sebuah tabung negara yang datang dari hasil petroleum negara, termasuk sumbangan daripada syarikat Petroleum Nasional Berhad (Petronas).

Pindaan itu dibuat kepada Seksyen 6 Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988, atau dipanggil Akta 339, bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana tersebut untuk tujuan perbelanjaan berkaitan pandemik.

"Akta Kumpulan Wang Amanah Negara dipinda dalam Seksyen 6 dengan memasukkan selepas perenggan (b) yang berikut:

"(c) pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," menurut gazet yang diterbitkan oleh Jabatan Peguam Negara dalam laman webnya.

Pindaan itu digazetkan menggunakan Ordinan Darurat, yang membolehkan ia dibuat tanpa melalui perbahasan di Parlimen.

Pandangan positif

Sementara itu, dua penganalisis politik yang dihubungi BenarNews memberikan pandangan positif mengenai langkah pemberian bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam.

Profesor bersara Azmi Hassan berkata walaupun pemberian itu menimbulkan perdebatan kerana ia dibuat ketika negara kekurangan wang, beliau percaya ia juga akan membawa kebaikan kepada ekonomi negara.

"Saya melihatnya ia mungkin akan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM1 bilion, dan RM1 bilion dalam keadaan sekarang amat berharga sekali. Itu dikatakan ada baiknya ada buruknya. Tapi secara keseluruhannya, saya lihat ia satu langkah yang akan dihargai oleh penerima-penerimanya kerana ketika ini banyak tekanan dihadapi penjawat awam dan pesara.

"Kalau hendak dikata ia satu langkah popular, ya, ia satu langkah popular kerana penghargaan bukan saja kepada penjawat dan pesara. Tetapi ia juga akan dibelanjakan, dan bila dibelanjakan, akan akan merancakkan lagi kitaran ekonomi kita," kata Azmi.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata walaupun negara menghadapi kekurangan wang, ia perlu disedari bahawa penjawat awam adalah teras penting dalam sektor kerajaan.

Tegas beliau, tanpa sumbangan penjawat awam, negara boleh lumpuh dari segi pelaksanaan di setiap agensi dan kementerian kerajaan dan oleh itu sumbangan RM500 adalah sesuatu yang kecil dibandingkan dengan sumbangan mereka.

"Ketika negara berada dalam darurat dan pandemik covid 19, sektor awam memainkan peranan besar bagi memastikan perjalanan sektor ini terus berjalan lancar dan segala dasar serta pembangunan kerajaan dilaksanakan secara efisien dengan pelbagai hambatan yang ada.

"Tanpa sektor dan sumbangan penjawat awam maka negara boleh lumpuh pelaksanaan di setiap agensi dan kementerian kerajaan.

"Ketika COVID-19 dan darurat membuktikan kepentingan sumbangan besar penjawat awam yang dapat dilihat di barisan hadapan seperti kesihatan, keselamatan, pendidikan dan sebagainya.

"Jadi langkah memberikan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah adalah sebagai tanda menghargai sumbangan penjawat awam. Jumlah ini terlalu kecil berbanding pengorbanan besar mereka," kata beliau.

Awang Azman turut memberikan contoh semasa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi, di mana penjawat awam pernah diberikan bonus dua bulan gaji pada tahun 2006.

Pada tahun 2012 pula, ketika zaman Perdana Menteri Najib Razak, penjawat awam pernah diberi bonus sebulan setengah.

"Ternyata langkah memberi bonus walaupun hanya RM500 adalah sesuatu yang wajar yang dibuat dalam keadaan situasi ekonomi teruk negara yang turut dirasai oleh penjawat awam dari segi kos hidup yang perlu ditampung mereka," tambah Awang Azman.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.