Majlis Peguam Fail Semakan Kehakiman Terhadap Keputusan Peguam Negara
2016.03.15
Kuala Lumpur
Badan tertinggi peguam Malaysia pada Selasa telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang tidak mendakwa serta menutup siasatan terhadap Perdana Menteri Najib Razak dari potensi pertuduhan rasuah berhubung AS$681 juga (RM2.08 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.
Majlis Peguam Malaysia yang memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon mahkamah itu untuk mengetepikan keputusan Apandi Ali, yang menamatkan siasatan peringkat nasional terhadap skandal yang membelenggu Najib sejak tahun lepas.
Pada 26 Januari lepas, Apandi bertindak dengan membersihkan nama perdana menteri daripada siasatan salah laku kewangan melibatkan SRC International, sebuah syarikat milik kerajaan yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan turut mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup semua siasatan terhadap Najib.
Sejak Julai lepas, Najib berhadapan dengan dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang dan pendedahan wang derma yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Peguam Negara Malaysia itu juga memutuskan bahawa pemindahan wang ke akaun Najib adalah hadiah daripada keluarga diraja Arab Saudi, sambil berkata tiada tindakan lanjut perlu diambil terhadap perdana menteri itu.
Najib menegaskan beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.
Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru berkata, semakan kehakiman itu dibuat bertujuan menegakkan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau ahlinya serta tidak terpengaruh dengan perasaan takut atau pilih kasih.
Tambah beliau, semakan itu, membabitkan tiga kertas siasatan berhubung dengan pemindahan wang derma dan dana dari SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi Najib.
'Boleh dicabar’
“Peguam Negara juga telah mengarahkan SPRM untuk menutup tiga kertas siasatan itu tetapi Majlis Peguam Malaysia berpendapat bahawa kuasa pendakwaan dan budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara oleh Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak mutlak atau tidak terbatas, dan dalam menjalankan kuasa-kuasa ini, ia boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
“Skop dan bidang kuasa pendakwaan perlu dilaksanakan mengikut undang-undang mengikut fakta sesuatu kes, kerana ia melibatkan kepentingan awam. Hanya kuasa kehakiman mahkamah sahaja yang boleh membuat keputusan jika bersalah atau tidak mengikut prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Selain itu, majlis berkenaan juga memohon untuk membatalkan pembabitan Apandi dalam siasatan dan mahu Peguam Cara Negara untuk mengambil alih fungsi peguam negara dalam meneruskan siasatan terhadap tiga kertas siasatan seperti yang telah dikemukakan oleh SPRM itu.
Semakan itu juga memohon supaya SPRM diberi kebebasan dalam meneruskan siasatan terhadap dakwaan rasuah itu, tanpa sebarang gangguan dan halangan.
Bulan lepas, dua bekas pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib, iaitu Zaid Ibrahim dan Khairuddin Abu Hassan turut memfailkan kes mahkamah terhadap Apandi berhubung keputusan membersihkan Najib itu.
Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, memfailkan semakan kehakiman di mahkamah yang sama, manakala Khairuddin yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Apandi.
Tindakan itu dibuat kerana kedua-dua mereka percaya bahawa Apandi telah menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan terhadap Najib dari potensi pertuduhan rasuah.