Jimat tenaga penggunaan penghawa dingin, kakitangan awam boleh pakai batik
2023.08.23
Kuala Lumpur
Penjawat awam di negara beriklim tropika Malaysia kini dibenarkan memakai baju batik, pakaian yang lebih sejuk dan berwarna-warni ke tempat kerja ekoran keputusan Putrajaya menaikkan suhu penghawa dingin di bangunan pentadbiran kerajaan bagi menjimatkan tenaga.
Langkah menyelaras suhu di semua premis kerajaan antara 24-25 darjah Celsius (75-77 darjah Fahrenheit), dengan mewajibkan penjawat awam memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis, bagaimanapun disifatkan sebagai “tidak bijak” oleh segelintir doktor dari sektor awam.
Susulan itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad tampil menjelaskan bahawa keputusan tersebut dicapai setelah mengambil kira faktor iklim, selain komitmen Kerajaan untuk memenuhi aspirasi sasaran pembebasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Menurut Indeks Prestasi Perubahan Iklim, Malaysia pada ketika ini berada di tangga ke 54 dengan 40 peratus pelepasan GHG, meletakkannya di kalangan negara yang mempunyai prestasi amat rendah.
“Komitmen ini melibatkan pengurangan jejak karbon daripada amalan penggunaan tenaga elektrik.”
“Kabinet (Mesyuarat Jemaah Menteri) juga bersetuju bahawa semua penjawat awam diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian batik semasa waktu bekerja, tidak hanya terhad pada hari Khamis seperti yang diamalkan sebelum ini,” katanya.
Selain dari mempromosikan industri batik Malaysia, Nik Nazmi berkata perubahan kod pakaian penjawat awam itu bertujuan bagi menyesuaikan pemakaian mereka dengan perubahan suhu yang bakal dilaksanakan di premis Kerajaan serta iklim di negara itu.
“(Ini) merupakan sebahagian dari usaha Kerajaan bagi menjimatkan tenaga, menyokong inisiatif kecekapan tenaga sambil menggerakkan industri batik Malaysia,” kata Nik Nazmi sambil menambah bahawa inisiatif berkenaan akan turut dipanjangkan kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sehari sebelum pengumuman tersebut dibuat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) telah mengedarkan memo dalaman bertarikh 21 Ogos, yang menyatakan bahawa penjawat awam kini wajib memakai batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja yang lain.
Pemakaian baju batik pada setiap Khamis merupakan satu pilihan dan bukan menjadi satu kewajipan terdahulu itu.
“Ketetapan pemakaian batik ini [bagaimanapun] dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan dengan pakaian seragam atau yang menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu,” kata Ketua Pengarah JPAM Zulkapli Mohamed dalam edaran yang dilihat oleh BenarNews.
Di Malaysia, penjawat awam lazimnya memakai sut atau jaket ke pejabat disebabkan oleh suhu dalam pejabat yang terlalu dingin, kata seorang penjawat awam yang tidak mahu dinamakan kepada BenarNews.
“Biasanya saya akan menggunakan pashmina [sehelai kain panjang yang diperbuat dari kapas lembut] untuk membalut sebahagian tubuh saya bagi mengurangkan rasa sejuk ketika berada di pejabat atau bilik mesyuarat. Saya tidak tahan sejuk. Suhu penghawa dingin kadang terlalu rendah,” katanya.
Pengguna media sosial di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, memuji langkah yang diambil oleh Putrajaya itu.
Shafwan Shukor dalam hantarannya menulis: “Saya mahu budaya tali leher dan blazer ini dihapuskan terus [oleh Kerajaan]. Kemeja atau batik adalah jalan kedepan. Pakai Kemeja T-berkolar pun sepatutnya dibolehkan. Ini lebih bersesuaian dengan iklim Malaysia.”
Pengguna lain, Jasmin Irisha pula melabelkannya sebagai langkah bijak memandangkan ianya secara tidak langsung “menggabungkan budaya tempatan dan penyesuaian iklim.”
Namun demikian, segelintir doktor dari sektor awam menggelar inisiatif tersebut sebagai sesuatu yang “tidak bijak dan kurang wajar”.
“Mewajibkan pemakaian batik bagi doktor yang perlu berurusan dengan kerja klinikal dengan peratusan berhadapan sisa klinikal selain bersedia menjalankan tugas atas panggilan di luar waktu kerja adalah sangat tidak praktikal.
"Kami bukan melakukan tugasan dalam pejabat. Jika diikutkan, doktor mempunyai pakaian seragam iaitu kot putih. Mewajibkan doktor memakai pakaian batik adalah sesuatu yang bodoh," kata seorang doktor kanan seperti dipetik oleh CodeBlue, sebuah penerbitan penjagaan kesihatan Malaysia mengenai arahan wajib memakai baju batik pada setiap Khamis.
Nik Nazmi, semasa ditanya sama ada sebarang hukuman akan dikenakan sekiranya agensi kerajaan gagal melaksanakan arahan berkenaan berkata, Kerajaan memilih untuk mengambil pendekatan yang positif dalam menangani perkara tersebut.
“Kita akan memberi tumpuan kepada pendekatan positif dalam usaha menggalakkan kerjasama dari semua pihak. Rangka kerja berkenaan isu ini akan dibincangkan lebih lanjut apabila Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini,” katanya kepada BenarNews.
Terdahulu, Nik Nazmi dilaporkan akan membentangkan Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga negara pada sidang Parlimen akan datang.
Rang undang-undang tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga dan mengawal selia amalan konservasi bagi mengurangkan pembaziran.
Langkah awal
Seorang aktivis iklim, Renard Siew Yung Jhien, yang juga merupakan Penasihat Perubahan Iklim di Pusat Tadbir Urus dan Kajian Politik Malaysia berkata langkah tersebut wajar dicontohi.
“Persekitaran yang dibina menyumbang kepada 40 peratus dari pembebasan karbon global, bukan sahaja dari segi proses pembinaan tetapi juga dari sudut operasi. Walaupun langkah menetapkan suhu di sebuah premis antara 24 – 25 darjah Celsius kelihatan seperti langkah kecil, ianya berada di landasan yang betul,” katanya kepada BenarNews.
“Ianya usaha murni yang patut diberikan pujian dan dalam masa yang sama diharapkan dapat memberikan galakan kepada pihak lain untuk turut serta melaksanakan usaha seumpamanya.”
“Apa yang boleh dilakukan seterusnya ialah meneliti rekabentuk wajib bagi bangunan baru selaras dengan Indeks Bangunan Hijau, sebuah alat penarafan yang disediakan untuk menggalakkan pemaju dan pemilik bangunan mereka bentuk serta membina bangunan yang lebih berkonsepkan bangunan hijau dan lestari,” katanya.
Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.