Kes batuk kokol meningkat tiga kali ganda, 19 kematian melibatkan bayi direkodkan

Inisiatif Putrajaya sediakan vaksin kepada wanita hamil tempatan dan juga bukan wargenegara bertujuan melindungi bayi dalam kandungan.
Ili Shazwani Ihsan
2023.08.28
Kuala Lumpur
Kes batuk kokol meningkat tiga kali ganda, 19 kematian melibatkan bayi direkodkan Seorang ibu sedang menggendong anaknya bagi mendapatkan pemeriksaan bulanan di klinik Kesihatan Tamparuli di Sabah, 1 Jun 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia kini berdepan dengan penularan jangkitan batuk kokol yang membimbangkan dengan peningkatan kes tiga kali ganda berbanding tahun lepas, selain melibatkan lebih 20 kematian bayi akibat penyakit berjangkit itu, demikian menurut rekod Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

Susulan daripada itu, Putrajaya pada Isnin telah mengumumkan program vaksinasi khas bagi wanita hamil yang akan bermula pada tahun hadapan bertujuan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan lagi.

Batuk kokol yang turut dikenali sebagai pertussis boleh mengakibatkan radang paru-paru, otak dan sawan serta mudah berjangkit dan membawa maut.

“Inisiatif baharu itu melibatkan pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di Malaysia yang bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis, terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan,” kata Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Beliau berkata sepanjang hampir lapan bulan tahun ini, sebanyak 343 kes Pertussis dengan 24 kematian telah dilaporkan di seluruh negara, 173 kes atau 50.4 peratus merupakan kematian bayi berusia bawah lima bulan.

“Sebanyak 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 daripadanya kematian berlaku di kalangan bayi berumur bawah lima bulan yang merupakan kumpulan paling berisiko tinggi mendapat jangkitan pertussis,” tambah Zaliha lagi.

Sehubungan itu, katanya, peruntukan sebanyak RM25 juta yang meliputi anggaran pemberian vaksin kombinasi Tdap telah disediakan secara percuma kepada 500,000 ibu hamil di seluruh negara termasuk kepada mereka yang bukan warganegara.

“Satu dos Tdap akan diberikan ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan iaitu antara 13 hingga 36 minggu,” katanya lagi.

Kurang vaksin

Seorang pakar pediatrik dan felo dalam bidang endokrinologi pediatrik, Alexis Anand Dass menerangkan bahawa batuk kokol merupakan sejenis penyakit yang berpunca daripada bakteria Bordetella pertussis yang mana simptom lazimnya ialah batuk berterusan, bunyi “whoop” ketika bernafas, dan muntah selepas batuk.

Menurut Alexis, risiko jangkitan pertussis bagi bayi berusia bawah 12 bulan adalah lebih parah terutama sekali yang berusia kurang dari empat bulan, dengan peratusan dimasukkan ke wad akibat komplikasi yang lebih tinggi manakala pemerhatian klinikal menunjukkan secara umumnya jangkitan penyakit tersebut adalah kurang serius bagi pesakit yang telah divaksin.

“Pertussis merebak melalui titisan respiratori dan boleh disebarkan melalui batuk, bersin atau berkongsi ruang pernafasan yang sama pada satu tempoh masa. Risiko penyebaran bakteria tersebut adalah tinggi pada fasa ‘catarrhal’ yang mungkin berlanjutan antara 1-2 minggu.

Muhd Khairi Othman, Pakar Perunding Paediatrik Hospital Tuanku Fauziah di Perlis berpendapat kurang pengambilan vaksin di kalangan masyarakat mungkin menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan kes.

“Kematian yang sebabkan oleh pertussis dikategorikan sebagai kematian yang boleh dicegah melalui pengambilan vaksin. Vaksin boleh bertindak sebagai agen perlindungan bagi ibu hamil dan anak dalam kandungan,” kata beliau kepada BenarNews.

Ditanya tentang kegusaran segelintir pihak berkenaan kesan sampingan yang mungkin dialami dan berbahaya ekoran pengambilan vaksin khusus untuk wanita hamil yang akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun hadapan, Khairi menjelaskan bahawa kerajaan mengikuti proses penelitian dan pemantauan yang ketat sebelum melaksanakan sebarang program imunisasi.

Beliau tidak menafikan terdapat kemungkinan ada wanita hamil yang mengalami kesan sampingan kecil seperti demam setelah pengambilan vaksin namun ianya tidak merbahayakan ibu mengandung atau anak dalam kandungan.
Kesan sampingannya tambah beliau adalah kecil dibandingkan manfaat vaksin yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan pertussis dan risiko kehilangan nyawa.

Tepat pada masa

Seorang ibu hamil berusia 30 tahun Nabila Ahmad dari Kuala Lumpur berkata langkah tersebut tepat pada masanya dan dapat membantu ibu hamil melindungi bayi mereka daripada jangkitan tersebut terutama bagi yang kurang berkemampuan mendapatkan vaksin tambahan di hospital swasta.

Beliau berharap program tersebut dapat disegerakan ekoran peningkatan kes dan ramai bayi yang terdedah dengan jangkitan tersebut terutama sekali mereka yang terpaksa ditinggalkan di pusat asuhan kanak-kanak pada siang hari sementara ibu bapa mereka berada di tempat kerja.

“Bagi saya, ini langkah yang tepat dan bijak. Sangat disarankan agar ibu hamil mendapatkan vaksin tersebut setelah ia dilaksanakan sekiranya ianya tidak mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan,” katanya ketika dihubungi BenarNews.

Seorang lagi ibu hamil Salsabila Foad, 32, memuji langkah kerajaan yang dilihat sebagai menitikberatkan kebajikan dan kesihatan wanita dan kanak-kanak melalui program vaksinasi tersebut yang bukan sahaja bakal diberikan kepada wanita hamil malah turut dipanjangkan kepada mereka yang bukan warganegara.

“Ianya menelan belanja yang besar dan perlaksanaannya menunjukkan kerajaan prihatin dengan kesihatan semua di Malaysia.

“Bukan semua masyarakat yang sedar akan bahaya pertussis serta kepentingan mengambil vaksin bagi mencegahnya dan dengan memberikan vaksin secara percuma pada wanita hamil sekaligus akan membantu mengawal kadar keberjangkitan penyakit tersebut di kalangan masyarakat,” tambahnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.