NGO Sambut Baik Henti Sementara Aktiviti Perlombongan Bauksit
2016.01.06
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menyambut baik langkah kerajaan yang mengenakan moratorium (henti sementara) ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari ini walaupun dilihat agak terlewat.
Pengerusinya, Khaidir Ahmad berkata kepada BeritaBenar, sepanjang tempoh itu, kerajaan perlu mengkaji dengan teliti segala undang-undang dan peraturan melibatkan aktiviti berkenaan bagi mengelakkan kejadian pencemaran alam sekitar berulang.
Terdahulu itu, di Kuala Lumpur, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kerajaan memutuskan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari.
Kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan dipercayai bermula sejak pertengahan tahun 2014 dan sekitar kawasan perlombongan, iaitu Bukit Goh, Balok, Gebeng sehingga ke Pelabuhan Kuantan, dan diancam dengan pelbagai pencemaran alam sekitar.
Selain kegiatan perlombongan yang dipercayai tidak terkawal ia turut mengganggu rutin harian penduduk yang terpaksa berdepan dengan debu, jalan raya bertukar menjadi merah terutama di sepanjang 30 km (19 batu) bahan itu di bawa ke destinasi terakhirnya iaitu di Pelabuhan Kuantan.
Pencemaran berlaku di mana air sungai di sekitar kawasan itu bertukar menjadi merah, dan di dalam perkembangan terbaru, air laut di Pantai Batu Hitam dan Pelabuhan Kuantan turut bertukar warna.
‘Tiada peraturan’
Dalam pada itu, Khaidir menambah, penguatkuasaan peraturan perlu dijalankan dengan tegas dan tidak seperti sebelum ini yang telah mengakibatkan pelbagai masalah antaranya mengancam nyawa manusia dan merosakkan jalan raya.
"Sebagai contoh sepatutnya setiap lori yang membawa muatan bauksit perlu ditutup rapi dan sekiranya jatuh walau sebongkah batu, kenderaan berat itu boleh disaman tapi malangnya ia jarang dilaksanakan penguatkuasa," kata Khaidir semasa dihubungi dari Kuantan pada Rabu.
Beliau berkata, tempoh moratorium tersebut juga perlu digunakan sebaiknya oleh agensi penguatkuasan berkaitan untuk memperkemaskan sebarang kelonggaran agar tindakan itu berkesan dalam menangani pencemaran udara dan air.
Aktiviti perlombongan ini perlu melakukan satu permulaan baru dengan mengikut peraturan, katanya.
"Kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) akan memantau seawal 16 Januari dan selepas tiga bulan tempoh moratorium tersebut dan jika tiada perubahan, kita akan mengambil tindakan mengadakan human blocking (benteng manusia) bagi menyekat laluan jentera dan lori mengangkut bauksit," katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak menyekat kemajuan dan pembangunan ekonomi yang dibawa menerusi kegiatan ini, namun biarlah ia dilakukan dengan betul dan tidak menyusahkan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman menyarankan kerajaan supaya lebih telus dalam melaksanaan penguatkuasaan undang-undang selepas pemberhentian sementara ini.
Ali berkata, tindakan lebih tegas iaitu menghentikan serta-merta kegiatan perlombongan bauksit wajib diambil jika terbukti pencemaran debu dan air berupaya mendatangkan penyakit merbahaya kepada manusia.
‘Risiko penyakit’
Dalam pada itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Felo Penyelidik Kualiti Udara Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Azman Azid berkata, bauksit mengandungi aluminium hidroksida dan debu bahan itu yang terbebas ke udara apabila dihidu dalam tempoh yang lama boleh menyekat pengaliran oksigen dalam darah sekali gus ke sistem saraf.
"Apabila otak kekurangan oksigen ia boleh menyebabkan seseorang itu terdedah dengan risiko untuk menghidap penyakit Azheimer atau penyakit lupa," katanya.
Kebimbangan mengenai kegiatan perlombongan turut dizahirkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mendapati perlombongan bauksit semakin rancak dijalankan di Felda Bukit Goh seperti dilaporkan oleh media tempatan beberapa bulan lepas.
Seorang penduduk terlibat, Mohd Kamal Annuar Mohd Nordin, 30, berkata mereka yang menghuni di sekitar kawasan terlibat kini menarik nafas lega kerana kegiatan tersebut dihentikan sementara waktu.
"Saya berharap selepas ini pihak yang terbabit dengan aktiviti bauksit sentiasa mengikut standard prosedur ditetapkan. Kami telah lama tersiksa dengan pencemaran dan kebimbangan jalan perumahan dilalui lori-lori besar yang mampu mengancam pengguna jalan raya serta penduduk,” katanya.
‘Selesai masalah’
Sementara itu, Wan Junaidi dalam sidang media khas berkaitan hal tersebut berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini, dengan menggariskan beberapa langkah perlu diambil oleh pihak industri yang terlibat dalam tempoh tiga bulan bagi menyelesaikan masalah pencemaran akibat kegiatan tersebut.
Langkah berkenaan melibatkan pengosongan stok simpanan bauksit, mewujudkan sebuah kawasan simpanan bersepadu dan sistem pembersihan sisa bauksit.
"Bermula 15 Jan ini, semua (perlombongan bauksit) dihentikan sementara di Kuantan. Tak ada pergerakan sebab kita nak minta 11 pemilik stok simpanan bauksit buat pembersihan di setiap tempat simpanan bauksit. Begitu juga dekat pelabuhan, mesti keluarkan semua (stok simpanan) bauksit kerana kita tak benarkan lambakan bauksit di sana yang akan mengalir ke laut.
"Semua stok simpanan (11 pusat stok simpanan bauksit) sama ada untuk dieksport atau tidak, mesti dialih ke satu tempat yang dikatakan tempat stok simpanan berpusat.
"Hanya ada satu kawasan stok simpanan akan dibina dengan perparitan, sistem penapisan, tempat pembersihan...semua sekali," katanya dalam sidang media itu dipetik dari media tempatan.
Pada lewat Petang Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengeluarkan satu kenyataan media berhubung siasatan oleh agensi itu yang mendapati wujudnya unsur-unsur rasuah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran bahan berkenaan.
“SPRM menerima banyak aduan berkaitan isu pencemaran alam sekitar akibat perlombongan bauksit yang tidak terkawal di Pahang.
“SPRM juga memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009,” kata kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya itu.
Malaysia mempunyai pengalaman melombong bauksit di Teluk Ramunia, Pengerang, Johor yang diberhentikan sekitar 1970-an dan kesannya dilihat hingga sekarang. Perlombongan bauksit dilakukan dengan menarah tanah, dan baki hasil luluhawa batuan mengandungi bahan aluminium tinggi.