Pegawai Imigresen KLIA Ditahan Terlibat Sindiket Seludup Warga Bangladesh

Colin Forsythe
2017.12.14
Kota Kinabalu, Sabah
171214-MY-BD-Smuggling620.jpg Pendatang tanpa izin yang ditahan di sekitar Kuala. Lumpur, 19 Ogos 2003.
AFP

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis mengesahkan dua anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di bahagian kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] telah ditahan kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan warga Bangladesh, dan rombakan kakitangan jabatan itu juga akan dibuat.

“Ada beberapa lagi pegawai Jabatan Imigresen yang telah disyaki turut terlibat, dan siasatan masih dijalankan. Setakat ini, dua pegawai Imigresen yang ditahan itu bertugas di bahagian kaunter KLIA,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita semasa melawat Batalion 17 Pasukan Gerakan Am Lahad Datu, Sabah pada Khamis.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah JIM Mustafar Ali untuk mengetatkan lagi kawalan di KLIA serta menukar kakitangan JIM di KLIA berikutan pembongkaran kes sindiket membawa masuk warga asing secara tidak sah oleh sebuah akhbar tempatan.

Khamis lalu, Harian Metro, sebuah akhbar tempatan telah mendedahkan mengenai buruh haram warga Bangladesh yang diseludup masuk ke negara itu melalui KLIA setiap hari , yang diuruskan oleh empat sindiket besar beroperasi di Dhaka, Bangladesh selain di ibunegara.

Menurut laporan itu, sindiket terbabit dikatakan mampu mendapat habuan RM5.2 juta setahun dengan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang termasuk wang 'pelincir' kepada pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka untuk memudahkan laluan warganegara tersebut ke Malaysia.

Laporan itu juga menyebut empat sindiket itu diketuai individu yang dikenali sebagai Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom dan dipercayai menyeludup warga asing melalui KLIA  sejak 2010.

Malah empat warga Bangladesh tersebut dianggap “Raja KLIA” kerana dipercayai menguasai urusan imigresen dan boleh dikatakan mengenali setiap pegawai serta anggota jabatan itu yang bertugas di pintu masuk KLIA.

Ahmad Zahid berkata JIM juga akan menambah pegawainya di KLIA dan mana-mana pegawai yang disyaki terlibat akan ditukar dengan pegawai lain.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk menukar kumpulan pegawai yang disyaki terbabit dengan kumpulan pegawai lain dan kita juga akan membawa masuk kakitangan dari bahagian lain untuk ditempatkan di sana," tambahnya lagi.

Pada Selasa, Mustafar Ali berkata beberapa pegawai jabatan itu telah ditahan berhubung dakwaan menyeludup warga asing itu tanpa menyatakan bilangannya kerana siasatan sedang berjalan secara bersama dengan pihak polis.

"Kita telah ambil tindakan seperti yang saya sebut, tindakan berterusan kita akan laksanakan dan kita akan mengenal pasti  dalang sindiket ini. Tiada kompromi,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan jabatan itu pada Selasa.

Mustafar juga memberitahu jabatannya telah menghantar satu pasukan khas ke Bangladesh pada Ahad lalu untuk melakukan siasatan lebih lanjut.

"Pasukan khas yang telah dihantar ke Bangladesh  bertujuan untuk mengukuhkan SOP pengeluaran visa kepada pelawat-pelawat dari negara berkenaan. Perkara ini bukanlah perkara baru kerana sebelum ini kita juga pernah menghantar pasukan yang sama ke sana,"

Ini merupakan insiden kedua membabitkan pegawai JIM selepas siasatan sindiket menggodam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) tahun lalu yang melibatkan beberapa pegawai imigresen sehingga didakwa di mahkamah dan sekurang-kurangnya 15 orang telah dibuang kerja.

Selain tindakan dibuang kerja, tindakan tatatertib turut diambil terhadap sekurang-kurangnya 14 orang lagi yang digantung kerja manakala lapan orang lagi diberhentikan pergerakan gaji tahun lalu.

Kesemua pegawai yang didapati terlibat bertugas di pintu-pintu masuk utama negara, termasuk beberapa pegawai teknologi maklumat serta pegawai yang bekerja dengan vendor sistem itu.

Dalam kejadian itu, kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan JIM telah ditahan disiasat kerana dipercayai mensabotaj sistem myIMMS.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim pada ketika itu berkata satu pasukan petugas khas telah dibentuk untuk mengkaji kelemahan dalaman sistem berkenaan selepas Laporan Ketua Audit Negara 2015 mendapati bahawa sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik.

Menurut laporan itu lagi, kemudahan sistem biometrik bernilai RM10.3 juta [AS$2.5 juta] yang direka untuk menyaring dan mengenalpasti warga asing dan juga rakyat Malaysia di pintu masuk utama negara, didapati tidak dipasang dan digunakan.

Aktiviti menggodam sistem myIMMs itu dipercayai bermula sejak tahun 2010, melibatkan rangkaian yang didalangi oleh warga asing yang menggunakan pegawai jabatan dan vendor sistem berkenaan untuk mengawal pergerakan keluar atau masuk sesiapa saja ke Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.