Belanjawan 2021: Peruntukan RM11.7 Juta Bagi JPM Dapat Kelulusan Parlimen
2020.11.30
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin pada Isnin berjaya mendapatkan lonjakan politik sekali lagi apabila kerajaan pimpinannya menerima lampu hijau daripada Parlimen untuk menaikkan jumlah peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tahun 2021 kepada RM11.7 bilion (AS$2.87 bilion) walaupun perkara itu ditentang keras oleh pihak pembangkang.
Dua hari sebelum itu, iaitu selepas Belanjawan 2021 melepasi ujian pertamanya di Dewan Rakyat, Muhyiddin telah mengumumkan bahawa pilihanraya umum akan diadakan "selepas pandemik" COVID-19 berlalu.
Sesi pengundian di peringkat jawatankuasa bagi bajet JPM itu juga memberikan satu gambaran yang lebih jelas kepada umum mengenai jumlah sokongan yang diperolehi kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang di Parlimen, selepas Belanjawan negara mendapat kelulusan di peringkat polisi melalui kaedah undian mudah menggunakan suara kerana pihak pembangkang yang berpecah gagal memaksa undian secara kiraan dilakukan.
"Keputusannya adalah: 20 tidak hadir, 95 tidak setuju, dan 105 bersetuju," speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun mengumumkan pada Isnin selepas kiraan dilakukan di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.
Daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, dua kerusi kini kosong iaitu selepas kematian Ahli Parlimen Batu Sapi dan Gerik baru-baru ini.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ketika berdebat mengenai belanjawan telah mengkritik kenaikan peruntukan untuk JPM, terutamanya dengan jumlah RM200 juta (AS$49 juta) dari jumlah keseluruhan bagi jabatan itu yang bertujuan membiayai 'pekerja kontrak', yang didakwa oleh Anwar sebagai jawatan yang akan diisi oleh lantikan-lantikan politik.
"Emolumen kakitangan kontrak ada pertambahan RM200 juta untuk tahun 2021. Ini adalah peningkatan sebanyak RM181.4 juta (AS$44.5 juta) dari tahun sebelumnya hanya untuk pegawai kontrak politik di bawah JPM, dalam keadaan kita war-warkan, kerajaan ini [Perikatan Nasional] adalah sebuah kerajaan yang prihatin COVID-19.
"Saya hendak bertanya, apakah hubungan RM181.4 juta ini dengan derita rakyat miskin yang menganggur yang sekarang menuntut pertimbangan dan perhatian kerajaan hari ini?," personal Anwar, yang disambut dengan sorakan gemuruh oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Selain itu, Ketua Pembangkang itu turut mengemukakan soalah berhubung tugas di beberapa jabatan di bawah JPM yang dikatakan berlakunya pertindihan termasuk keberkesanan pejabat beberapa orang duta khas yang dilantik dan kini tersangkut di dalam negara kerana tidak boleh keluar disebabkan pandemik.
"Pejabat duta khas ke Timur Tengah, pejabat duta khas ke China, penasihat khas mengenai kesihatan awam, pejabat duta khas ke Jepun, Republik Korea dan Taiwan. Saya nak tanya, apa peranan Kementerian Luar Negeri?," soal Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Presiden Parti Keadilan Rakyat itu juga membangkitkan mengenai jumlah kabinet Muhyiddin yang mempunyai seramai 32 menteri penuh serta 38 timbalan menteri, yang merupakan lebih ramai daripada kabinet semasa zaman Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dengan 28 menteri penuh dan 27 timbalan.
Jawatan Duta Khas ke Timur Tengah diwujudkan pada 2 April lalu untuk Presiden Parti PAS, Abdul Hadi Awang, manakala Timbalan Presiden Parti Sarawak United People's Party (SUPP), Richard Riot pula dilantik sebagai Duta Khas ke Asia Timur (Jepun, Republik Korea dan Taiwan) pada 16 Mei.
Lantikan-lantikan berkenaan dilihat sebagai balasan kepada kedua-dua parti itu diatas sokongan mereka terhadap Muhyiddin.
Presiden parti Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) Tiong King Sing pula dilantik sebagai Duta Khas ke China, menggantikan Tan Kok Wai yang memegang jawatan itu selepas dilantik Mahathir sebelum ini.
Kesemua tiga jawatan berkenaan adalah setaraf menteri penuh walaupun mereka tidak menjadi anggota jemaah menteri.
Sementara itu, blok kerajaan turut mendapat kelebihan di atas lawan mereka ketika sesi pengundian untuk peruntukan kepada Kementerian Kewangan pada Isnin, apabila ia diluluskan dengan 107 undi berbanding 95 yang menentang, sementara 18 tidak hadir.
Sabtu lalu, Muhyiddin telah menemplak usaha menggagalkan belanjawan, dan memberitahu ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinannya ketika perhimpunan agung parti itu bahawa pilihanraya umum akan diadakan selepas pandemik selesai.
"Ada yang berpendapat Belanjawan 2021 perlu ditolak untuk membolehkan PRU diadakan. Tidak perlulah buat begitu.
“Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya telah nasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan. Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah COVID-19.
“Jika diizinkan Allah, apabila pandemik COVID-19 berakhir, kita adakanlah pilihanraya umum," kata Muhyiddin, sambil menambah bahawa beliau mahu rakyat memberikan mandat mereka kepada mana-mana kerajaan yang mereka mahukan.
Kemenangan perdana menteri dalam isu belanjawan buat kali ketiga dalam tempoh seminggu itu juga telah menimbulkan persoalan terhadap keupayaan Anwar yang sebelum ini mengakui bahawa beliau mempunyai jumlah sokongan yang kuat dan cukup untuk menubuhkan kerajaan, sekaligus menjadi perdana menteri ke sembilan.
Pembangkang berpecah
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tunku Mohar Mokhtar berkata beliau percaya bahawa Belanjawan 2021 akan mendapat kelulusan penuh, berdasarkan jumlah sokongan yang ada di kedua-dua belah pihak kini.
"Berdasarkan jumlah undi pada hari ini, bajet ini akan diluluskan. Pasukan pembangkang kelihatan berpecah, di mana satu segmen dari parti Warisan telah mengambil tindakan tidak menghadiri sesi debat dan juga pengundian.
"Jadi, melihat dari ini, para pengundi boleh membuat keputusan samada mereka akan terus menyokong wakil-wakil rakyat ini di dalam pilihanraya akan datang," kata beliau.
Dalam laporan portal tempatan Malaysiakini, ketua disiplin Parti Warisan, Rozman Isli dipetik sebagai berkata bahawa ahli-ahli parlimen mereka kini berada di Kuala Lumpur tetapi mereka membuat keputusan untuk tidak menghadiri sesi undian bagi "menghantar isyarat" kepada Pakatan Harapan bahawa mereka "sudah penat dengan apa yang berlaku dalam blok pembangkang".
Menurut Tunku Mohar, isyarat berkenaan menunjukkan bahawa Anwar bukan sahaja telah gagal mendapatkan sokongan dari ahli-ahli parlimen kerajaan untuk berada di pihaknya, tetapi beliau telah turut kehilangan sokongan di kalangan pembangkang.
"Undian bukan hanya semata-mata mengenai mengalahkan bajet, tetapi juga menentukan siapa yang akan menjadi calon menggantikan Muhyiddin sekiranya beliau kehilangan sokongan.
"Ia adalah jelas sekarang bahawa mereka yang di luar kerajaan juga tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri," katanya.
Parlimen dijadualkan bersidang selama tiga minggu sehingga 17 Disember ini bagi membincangkan Belanjawan negara.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.