Najib Sahkan Bernard Then Dibunuh

Staf BeritaBenar
2015.11.18
151118-MY-AQUINO620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, bertemu dengan Presiden Filipina, Benigno Aquino dan adik Aquino, Maria Elena Cruz pada Sidang Kemuncak APEC di Manila. Najib berkata pembunuhan Bernard Then oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf tiada kaitan dengan lawatan beliau ke Filipina. 18 November 2015.
AFP

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang mengesahkan pembunuhan mangsa culik Bernard Then Ted Fen pada Rabu, sambil mengutuk tindakan kejam itu, turut menggesa Filipina supaya memburu dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukannya.

"Saya, kerajaan dan semua rakyat Malaysia terkejut dan sedih dengan pembunuhan rakyat negara kami, Bernard Then, dan kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.

"Kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan tindakan kejam dan ganas ini serta memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam laman Facebook dan akaun Twitter rasmi beliau.

Najib berkata, Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi dan pihak berkuasa berkaitan yang bertanggungjawab dalam penyiasatan insiden berkenaan.

"Ingatan dan doa serta ucapan takziah kami buat keluarga dan rakan-rakannya," kata Najib.

Pada 14 Mei lepas, Bernard Then, jurutera elektrik, adalah antara dua mangsa yang diculik empat lelaki bersenjata dari Selatan Filipina dipercayai kumpulan Abu Sayyaf, yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan, Sabah.

Seorang lagi mangsa culik ialah Thien Nyuk Fun, 50 yang juga pengurus restoran berkenaan.

Pada 8 Nov lepas, Thien dibebaskan oleh kumpulan penculik itu selepas rundingan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan berkenaan.

Najib juga berkata, Malaysia sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Filipina dalam usaha mengambil tindakan dan membawa penculik berkenaan ke muka pengadilan.

Najib, yang kini berada di Filipina untuk Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-23 di Manila, berkata beliau telah membincangkan tentang insiden itu dengan Presiden Filipina Benigno S.Aquino III.

"Beliau beritahu saya bahawa kemungkinan mereka (penculik) mengambil tindakan itu kerana operasi Tentera Filipina telah memberi tekanan kepada mereka menyebabkan mereka terpaksa berpindah-randah dan bergerak dengan lebih pantas.

"... dan kehadiran rakyat Malaysia itu menyebabkan pergerakan mereka tersekat tetapi ia bukan satu alasan yang boleh diterima. Beliau (Bernard Then) sepatutnya dibebaskan," kata Perdana Menteri, seperti yang dilaporkan agensi Berita Nasional (Bernama) pada Rabu.

Menurut Najib tindakan kejam dan tidak berperikemanusian itu tidak boleh diterima.

Pada Selasa, Singapore Straits Times melaporkan bahawa Tentera Filipina telah mengesahkan bahawa mangsa culik rakyat Malaysia itu dipancung oleh militan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada Selasa, selepas permintaan sejumlah besar wang tebusan tidak dibayar, kata dua pegawai tentera.

Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu, Brigadier General Alan Arrojada mengesahkan Bernard Then yang berasal dari Sarawak, dipancung kira-kira 4 petang di kubu Abu Sayyaf di Pulau Jolo, wilayah Sulu, kira-kira 1,400 kilometer selatan Manila.

Kumpulan militan itu dikatakan membunuh Bernard Then di kawasan hutan di luar bandar Indanan, wilayah Sulu di mana kumpulan Abu Sayyaf dipercayai turut menahan tebusan rakyat Filipina dan rakyat asing lain, kata pegawai berkenaan yang memetik laporan risikan kepada media negara itu .

‘Buru’

Sementara itu, Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur pada Rabu turut mengutuk pembunuhan kejam Bernard Then Ted Fen oleh Kumpulan Abu Sayyaf.

“Pihak berkuasa Filipina akan terus memburu pelaku jenayah ini sehingga mereka dibawa ke muka pengadilan. Kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan militan itu sebagai tidak berperikemusiaan dan tiada alasan yang kuat.

"Kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan orang tersayang atas kehilangan tragis ini.

"Kami berharap dan berdoa semoga keluarganya mempunyai kekuatan dan ketabahan untuk mengatasi masa yang amat sukar ini dalam kehidupan mereka," kata kedutaan itu di dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Agensi berita Associate Press (AP) pula melaporkan, jurucakap tentera Filipina Kolonel Restituto Padilla berkata ibu pejabat tentera dan polis telah diberitahu mengenai perbuatan tidak berperikemanusiaan dan kejam itu yang berlaku di Pulau Jolo, katanya.

Bagaimanapun, Padilla berkata, insiden itu tidak ada kaitan dengan forum APEC yang bermula pada Rabu di Manila, dengan turut dihadiri pemimpin-pemimpin dunia utama termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Sementara itu, sumber tentera berkata, kepala Bernard Then ditemui, di dalam sebuah karung bertanda "Bernard Ghen Ted Fen" yang ditulis menggunakan pen Pentel, oleh seorang tukang sapu di Marina Street di perkampungan Walled City di Jolo, pada petang Selasa.

Namun, tubuhnya tidak ditemui tetapi dikatakan telah dikebumikan di tempat mangsa dipancung selepas perbuatan kejam itu, dilakukan kumpulan Abu Sayyaf yang dipimpin Alden Bagade dan Idang Susukan, lapor Inquirer.net.

Pada Ogos, media Malaysia melaporkan bahawa Bernard Then telah memberitahu isterinya, Chan Wai See, bahawa Abu Sayyaf merancang membunuhnya jika wang tebusan itu tidak disampaikan pada November.

Dalam pada itu, Komander Pasukan Petugas Sulu Kol Allan Arrojado berkata, sebelum kumpulan itu membunuh mangsa, pihak tentera melakukan pengeboman udara di sarang Abu Sayyaf di Bud Taran.

"Nampaknya kepala mangsa dipenggal hampir serentak dengan pengeboman itu," katanya.

Ditubuhkan pada tahun 1990-an dengan bantuan al-Qaeda, Abu Sayyaf telah dipersalahkan kerana beberapa serangan keganasan yang teruk di Filipina termasuk pengeboman dan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Amerika Syarikat dan Filipina telah menyenaraikan Abu Sayyaf, yang ditubuhkan pada 1990-an dengan bantuan al-Waeda, sebagai pertubuhan pengganas yang sering melakukan penculikan, memenggal kepala, memeras ugut dan melancarkan serangan bom.

Kumpulan militan itu pernah dilumpuhkan pihak berkuasa sebelum ini tetapi berjaya mengelak daripada dimusnahkan oleh serangan demi serangan pihak berkuasa yang disokong Amerika Syarikat sejak sedekad yang lalu.

Abu Sayyaf juga menculik seorang rakyat tempatan dari Filipina dan warga asing - dua dari Kanada dan seorang dari Norway - dari sebuah marina di selatan negara itu pada September lepas dan menuntut wang tebusan lebih $60 juta bagi pembebasan warga asing itu.

Abu Sayyaf pernah menyerbu sebuah resort di Malaysia pada April 2000 dan anggotanya yang bersenjata menculik 21 pelancong Eropah dan Asia. Mereka dibebaskan secara berperingkat-peringkat selepas wang tebusan dibayar pada tahun berikutnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.