Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan Bersatu Halang Notis Pembubaran Sementara
2018.04.11
Kuala Lumpur
Mahkamah Tinggi Malaysia pada Rabu menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuat semakan kehakiman bagi menghalang Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (RoS) membubar buat sementara, parti politik yang sah di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.
Hakim Kamaluddin Md Said menjelaskan, permohonan semakan kehakiman itu ditolak kerana pihak defendan sepatutnya memohon semakan kehakiman di bawah Seksyen 15 (2) Akta Pertubuhan 1966.
“Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 memberi kuasa kepada RoS untuk mengarahkan sesebuah parti politik untuk melampirkan dokumen tetapi pembubaran sementara PPBM dibuat di bawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966,” katanya semasa membuat keputusan tengahari Rabu.
Kamaluddin berkata oleh kerana permohonan untuk mencabar notis di bawah Seksyen 14(2) tidak lagi menjadi isu, maka permohonan untuk mencabar jika ada, perlu dikemukakan mengikut Seksyen 14(5).
Ketua Pengarah RoS , Surayati Ibrahim yang dinamakan sebagai pihak responden pada minggu lalu telah mengeluarkan perintah pembubaran sementara di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.
“Saya menyatakan bahawa prosedur untuk membuat rayuan bagi mengesahkan sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak responden berhubung perintah sementara di bawah Seksyen 14(5) boleh dikemukakan mengikut Seksyen 18(j) iaitu kepada menteri,” kata Kamaluddin
Beliau turut memaklumkan keputusan pendaftar pertubuhan itu tidak dapat dipertikaikan kerana pemohon telah mematuhi notis di bawah Seksyen 14(2) kerana telah mengemukakan dokumen yang dikehendaki.
Dalam keputusannya, beliau berpendapat bahawa permohonan yang berlainan diperlukan untuk mencabar kesahihan keputusan pihak RoS dalam mengeluarkan perintah pembubaran sementara tersebut.
Peguam Rosli Dahlan yang mewakili PPBM memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan permohonan yang baharu. Permohonan semakan itu telah difailkan oleh Setiausaha Agung PPBM, Shahruddin Md. Salleh selaku pihak pemohon pada 6 April lalu.
Pada prosiding mahkamah hari ini, Peguam Cara Kanan Persekutuan, Suzana Atan mewakili RoS.
Dalam permohonan mahkamah itu, PPBM turut memohon supaya Surat ROS bertarikh 2 April lalu diisytiharkan tidak berasas dalam mengeluarkan perintah pembubaran terhadap PPBM kerana menyalahgunakan seksyen tersebut untuk menghalang parti berkenaan bertanding di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Surayati pada 5 April lalu mengumumkan bahawa satu notis pembubaran sementara telah dikeluarkan terhadap Bersatu menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 ekoran kegagalan parti itu menyerahkan sepenuhnya dokumen yang diperintahkan di dalam tempoh yang diberikan sebelum ini.
Pengasas Bersatu yang juga merupakan pengerusi parti itu, Mahathir Mohamad , menyifatkan tindakan RoS sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan cubaan untuk mengelirukan rakyat ketika Malaysia bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14.
Kurang 24 jam selepas pembubaran sementara Bersatu diumumkan, Najib membuat pengumuman pada Jumaat untuk membubarkan Parlimen yang akan diikuti oleh PRU14.
PRU14 akan berlangsung pada 9 Mei manakala undi awal akan diadakan pada 5 Mei. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah menetapkan April 28 sebagai hari penamaan calon.
Cuti Umum
Putrajaya dalam kenyataan terbaru pada Rabu turut mengumumkan hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja diisytiharkan sebagai cuti umum tambahan bagi memberi ruang kepada pengundi luar kawasan untuk pulang mengundi.
Pengumuman tersebut dibuat selepas orang ramai meluahkan rasa marah dan tidak puas hati kerana SPR memilih hari bekerja sebagai hari mengundi.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media berkata 9 Mei depan diisytiharkan hari kelepasan am tambahan bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Pengumuman cuti umum ini dibuat selari dengan Seksyen 8 Akta Cuti Umum 1951 di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri masing-masing perlu mengumumkan cuti tambahan berdasarkan peruntukan dalam Ordinan Cuti Umum mereka,” kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, keputusan SPR menentukan hari Rabu sebagai hari mengundi telah menerima kecaman hebat dari beberapa pihak yang mendakwa ianya dilakukan dengan sengaja untuk menghalang pengundi dari menjalankan tanggungjawab mereka terutamanya yang bekerja di luar kawasan, yang sekaligus dilihat memberi kelebihan kepada blok pemerintah Barisan Nasional untuk menang dalam pilihan raya kali ini.
Selepas pengumuman tarikh pilihan raya dibuat, beberapa syarikat tempatan mengumumkan bahawa mereka tidak akan beroperasi pada tarikh tersebut untuk memberi ruang kepada pekerja-pekerja mereka untuk membuang undi.
Ini termasuklah sebuah syarikat pembinaan di Selangor yang mengatakan 12 orang pekerjanya yang datang dari Sabah dan Sarawak akan diberikan tiga hari cuti bergaji dan tiket kapal terbang berserta elaun untuk pulang mengundi.
Seorang pegawai Informasi Teknologi yang hanya mahu dikenali sebagai Austin, 38, dari Sarawak yang bekerja di Kuala Lumpur berkata satu hari cuti umum tidak cukup bagi beliau untuk pulang mengundi di kampungnya di Miri.
“Saya mengharapkan hari mengundi pada hari minggu seperti pilihan raya terdahulu, sekarang saya terpaksa menggunakan cuti tahunan untuk pulang mengundi,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Terdahulu itu, terdapat petisyen atas talian memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk cuti am pada hari mengundi.