BERSIH: Perhimpunan Kelima Untuk Desak Kerajaan Isu 1MDB
2016.08.03
Kuala Lumpur
BERSIH, sebuah gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil Malaysia mengumumkan pada Rabu akan mengadakan beberapa siri perhimpunan jalanan untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap skandal 1MDB yang membabitkan Perdana Menteri Najib Razak.
Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin, "Kita akan mengumumkan mengenai tarikh dan tempatnya dalam masa terdekat, iaitu sebaik saja kita sudah bersedia," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSIH pada Rabu.
Maria berkata, objektif utama perhimpunan BERSIH yang kelima itu adalah untuk memberi tekanan dan menggerakkan usaha membangkitkan kesedaran rakyat secara menyeluruh terhadap impak skandal 1MDB berikutan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dua minggu lepas.
Maria menegaskan, membantah bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan. Rakyat perlu membuat pendirian yang kuat terhadap apa yang disifatkan sebagai "rasuah besar dan pengkhianatan amanah” disamping mewujudkan kesedaran supaya rakyat memahami kemelut skandal yang melibatkan 1MDB terutamanya bagi golongan luar bandar.
"Kami mahu spektrum yang lebih luas dalam penyertaan peserta dan kita mahu lebih daripada 500,000 orang menyertainya jika boleh," tambah beliau.
Siasat dan tangkap
BERSIH dalam kenyataan media berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat, menangkap dan mendakwa segera individu yang disebut berulang kali dalam dokumen mahkamah DOJ sebagai “Malaysian Official 1” (MO1).
Gabungan itu juga melahirkan sokongan mereka terhadap perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 yang dirancang oleh sekumpulan anak muda pada 27 Ogos ini.
Jurucakap kumpulan anak muda itu, Anis Syafiqah Md Yusof pada satu sidang media awal minggu ini berkata, perhimpunan tersebut sedang dirancang dan pihaknya sedang menunggu untuk mendapatkan permit. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang atau ideologi politik.
"Isu 1MDB tidak lagi menjadi isu dalam negara ini, tetapi telah menjadi berita besar di seluruh dunia. Anak muda tidak lagi boleh menerima apabila negara menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa," kata beliau.
Protes jalanan terakhir dianjurkan oleh gabungan itu ialah BERSIH 4.0 pada Ogos tahun lepas di mana ia dianjurkan secara aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak polis.
BERSIH, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, merupakan sebuah platform yang berusaha mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.
Perhimpunan BERSIH disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, dengan perhimpunan paling buruk semasa BERSIH 3, iaitu pada 23 April 2012. Seramai 24 orang dilaporkan cedera termasuk 12 anggota polis yang bertugas,* dengan 512 individu ditahan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dipetik media tempatan sebagai berkata, BERSIH 2.0 akan diberi lampu hijau untuk menganjurkan perhimpunan kelima mereka, asalkan kumpulan yang menuntut reformasi pilihan raya itu mematuhi ketetapan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Saya menasihatkan mereka (penganjur Bersih 5) untuk mematuhi prosedur dan peraturan yang ditetapkan di bawah APA, dan polis tidak mempunyai masalah untuk membantu kumpulan itu dalam hal melibatkan keselamatan,” katanya.
Khalid pada 25 Julai lepas dilaporkan sebagai berkata, kumpulan itu tidak diberi izin untuk mengadakan perhimpunan jika ia bertujuan menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan, dengan memberi jaminan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak akan digunakan terhadap perhimpunan tersebut.
Najib berhadapan dengan gesaan untuk meletakkan jawatan sejak setahun lalu berhubung skandal berterusan yang melibatkan lebih daripada AS$1 bilion dalam bentuk dana yang dicuri dari syarikat pelaburan negara 1MDB yang berada dibawah penyeliaannya.
DOJ AS berkata tuntutan berkenaan 1MDB yang difailkan pada bulan lalu adalah kes terbesar yang pernah dibawa oleh Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi dengan lebih daripada AS$3.5 bilion (RM14.23 bilion) dana 1MDB didakwa disalahgunakan oleh pegawai peringkat tinggi di firma pelaburan kerajaan tempatan dan sekutu mereka di antara 2009 dan 2015.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.