Malaysia: Pemimpin Perhimpunan Bersih Dakwa Diancam Bunuh
2016.10.19
Kuala Lumpur
Menjelang perhimpunan Bersih 5 yang dirancang pada 19 Nov depan di Kuala Lumpur, beberapa pemimpin gabungan badan bukan kerajaan itu mendakwa mereka menerima ancaman bunuh manakala seorang pemimpin parti pemerintah ditahan pihak berkuasa pada Rabu kerana didakwa cuba menghasut rusuhan kaum di Malaysia yang pelbagai etnik itu.
Jamal Md Yunos, seorang ketua bahagian bagi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan pemimpin kumpulan aktivis Baju Merah, telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus pulang dari lawatannya ke Dubai, menurut laporan media.
Zainol Samah, ketua polis di daerah Dang Wangi, mengesahkan penahanan Jamal tetapi enggan mengulas lanjut, lapor agensi berita negara, Bernama.
Dalam satu temu bual telefon berikutan penangkapannya, Jamal memberitahu BeritaBenar beliau ditahan reman selama dua hari dan disiasat kerana didakwa melakukan fitnah, ugutan jenayah dan hasutan.
Katanya, beliau ditangkap bagi membantu siasatan terhadap dakwaan fitnah kerana menyiarkan komen dalam Facebook pada 21 Sept "di mana saya ingin mengingatkan negara tentang berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969, jika Bersih meneruskan perhimpunan mereka pada 19 Nov. "
Beliau merujuk kepada insiden berdarah 13 Mei 1969 apabila kira-kira 200 orang dikatakan terbunuh dalam pertempuran di sekitar Kuala Lumpur, selepas parti-parti pembangkang yang disokong masyarakat etnik Cina menang besar dalam pilihan raya umum.
Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum telah menyertai perhimpunan tahunan besar-besaran Bersih, tetapi kebanyakan penunjuk perasaan itu terdiri daripada kaum minoriti Cina.
Sejak 14 Sept, apabila mereka mengumumkan rancangan mengadakan Bersih 5.0, penganjur memulakan konvoi jelajah dalam usahanya mendapatkan sokongan bagi demonstrasi besar-besaran itu pada pertengahan November ini tetapi mendakwa mereka telah diancam oleh aktivis Baju Merah, menurut laporan tempatan.
Jamal memberitahu BeritaBenar bahawa matlamat konvoi jelajah Bersih adalah untuk memujuk lebih ramai orang daripada etnik majoriti Melayu-yang menguasai UMNO-untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan akan datang itu.
Bersih adalah sebuah gerakan yang diasaskan pada 2006 dengan menggesa supaya diwujudkan kerajaan yang bersih, telus dan mengadakan pilihan raya yang adil. Ia juga telah menerajui beberapa demonstrasi jalanan besar-besaran di Malaysia.
Pada Bersih 4.0 pada Julai 2014, penunjuk perasaan menggesa Perdana Menteri Najib Razak meletakkan jawatan berikutan kaitannya dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) - tuduhan yang dinafikan beliau.
IS menyusup masuk?
Minggu lalu, Jamal menimbulkan kontroversi apabila secara terbuka menyatakan bahawa ahli kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) telah menyusup masuk ke dalam Bersih.
Pada Selasa, pengerusi Bersih Maria China Abdullah berkata, beliau dan dua rakannya dalam gabungan itu telah menerima ancaman bunuh berserta paparan imej yang menunjukkan mereka bertiga melutut di hadapan pemenggal IS yang memegang pisau.
Pelaku itu “juga menghantar imej kad pengenalan tiga anak lelaki saya," katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Selasa.
Mesej itu dihantar dari nombor yang tidak dikenali menerusi aplikasi What’s App, kata Chin sambil menambah kata bahawa nombor itu telah diserahkannya kepada pihak polis.
Ahli Jawatankuasa Bersih Mandeep Singh, yang turut menerima ancaman itu, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau dan rakan-rakannya "tidak gentar sama sekali" dengan ugutan itu.
"Kami menolak semua jenis ugutan dan ancaman seperti ini dan kami meminta rakyat supaya menyertai konvoi kami dan datang pada 19 November untuk terus menyebarkan agenda reformasi institusi dan tuntutan lain Bersih," katanya kepada BeritaBenar.
Ketua Polis Negeri Selangor Polis Abdul Samah Mat memberitahu BeritaBenar bahawa pihaknya telah memulakan siasatan terhadap dakwaan ancaman itu.
"Kita tidak tahu sama ada ia dari IS atau tidak, kita lihat nanti sejauh mana siasatan ini. Bagaimanapun, ancaman masih merupakan ancaman, jadi kami beri perhatian serius, " kata Abdul Samah kepada BeritaBenar.
Jamal pada Rabu menuduh kepimpinan Bersih menyebarkan maklumat palsu mengenai mesej ancaman yang didakwa diterima mereka.
"Perkara itu sengaja direka oleh Bersih untuk meraih simpati daripada orang ramai, dan [mereka mahu] menggambarkan saya sebagai seorang yang jahat," kata Jamal.
"Tetapi, ia adalah hak mereka untuk membuat laporan polis dan biarkanlah polis menyiasat," katanya.