Kenyataan Razali Bagaikan Cemuhan Terhadap Hak Asasi Manusia: Maria Chin
2016.08.01
Kuala Lumpur

Gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil Malaysia menyelar kenyataan pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Razali Ismail, yang meminta rakyat Malaysia tidak mengadakan perhimpunan jalanan atas alasan “merosakkan banyak harta benda” dan mengotorkan kawasan.
Pengerusi Bersih, Maria Cin Abdullah berkata, kenyataan Razali itu bagaikan satu “cemuhan” terhadap usaha ribuan rakyat Malaysia yang mengorbankan keselesaan serta mengenepikan rasa takut terhadap pihak berkuasa dalam usaha untuk membersihkan kerajaan, membebaskannya daripada rasuah dan mewujudkan pilihanraya yang adil.
“Berpuluh-puluh ribu mempertahankan hak mereka dengan perbezaan pendapat dan menegakkan demokrasi berparlimen serta menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada kehancuran. Sepatutnya mereka dipuji dan tidak dicemuh,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Maria Chin menegaskan Razali yang telah diberi mandat untuk melindungi dan menggalakkan hak asasi manusia di Malaysia perlu mempertahankan hak perhimpunan secara aman tanpa senjata seperti diperuntukkan di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Razali dalam satu temuramah bersama akhbar berbahasa Inggeris The Star pada Ahad dipetik sebagai berkata, bahawa Bersih 2.0 tidak perlu berhimpun di jalanraya dan merosakkan harta benda awam memandangkan Malaysia tidak terdesak seperti negara Mesir.
Razali juga meminta BERSIH 2.0 memperjuangkan hak asasi manusia di negeri itu dengan lebih canggih.
"Tiada siapa yang boleh menghalang mereka [BERSIH] daripada meminta akauntabiliti. Tetapi jika anda mahu untuk membuat perincian, mengapa anda pergi ke jalanan? Anda merosakkan banyak harta dan semua itu. Kita tidak begitu terdesak di Malaysia seperti di Tunisia atau Tahrir Square (Mesir semasa kebangkitan ‘Arab Spring’), "katanya dalam satu temu bual.
BERSIH, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil, adalah sebuah platform yang berusaha mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.
Sejak beberapa tahun lepas, BERSIH telah mengadakan empat perhimpunan yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, dengan perhimpunan jalanan terbaru dan terbesar selama hampir tiga hari bermula 29 Ogos tahun lepas di beberapa bandaraya utama seluruh Malaysia, seperti di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
Perhimpunan paling buruk oleh kumpulan itu ialah semasa BERSIH 3 pada 23 April 2012, dimana seramai 24 orang dilaporkan cedera termasuk 12 anggota polis yang bertugas dengan 512 individu ditahan pada perhimpunan itu.
Maria turut menafikan kenyataan Razali itu dengan berkata, BERSIH tidak mengotorkan kawasan sebaliknya mengendalikan operasi mengutip sampah selepas perhimpuan diadakan dengan mendakwa Dataran Merdeka di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya lebih bersih selepas perhimpunan itu.
“Kami menjangkakan Pengerusi SUHAKAM untuk berada di barisan hadapan dalam mempertahankan hak asasi manusia supaya Malaysia dengan bangganya boleh menjadi di kalangan negara-negara maju dan demokratik di dunia yang mempertahankan hak asasi manusia,
Rakyat Malaysia yang patriotik, aman dan berdisplin berjaya mengenepikan rasa takut terhadap pihak berkuasa yang mungkin memukul, menyembur air gatal serta pelbagai lagi langkah untuk mengurangkan perhimpunan, tambah Maria Chin.
Anggapan kurang tepat
Sementara itu, Pengerusi Lawyers for Liberty Eric Paulsen ketika dihubungi meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan Razali yang kurang tepat dan mendesak bekas diplomat veteran itu untuk kembali kepada pendirian menegakkan hak asasi manusia Malaysia.
“Razali membuat beberapa anggapan yang kurang tepat dan saya rasa lebih baik Pengerusi SUHAKAM kembali kepada pendirian sebelum ini berkaitan hak berhimpun secara aman dengan melihat kembali kenyataan dan laporan yang dikeluarkan oleh badan hak asasi manusia itu,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Eric menegaskan bahawa adalah lebih wajar untuk Razali mempertahankan dan membela hak rakyat untuk berhimpun dengan aman daripada mengulangi dakwaan yang keterlaluan dan tidak munasabah seperti mana yang dikatakan oleh pihak berkuasa lain.
SUHAKAM telah ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 tetapi hanya mengadakan mesyuarat pertamanya pada 24 April 2000. Ia sebuah badan bertujuan untuk menjalankan siasatan terhadap kes-kes berkaitan hak asasi untuk menyebarkan kesedaran, memberi nasihat dan membantu kerajaan dalam menggubal undang-undang dan prosedur, selain menjadi berunding di peringkat antarabangsa berkaitan isu berkenaan.
Kerajaan Malaysia pada Jun lepas melantik Razali, bekas diplomat yang pernah berkhidmat sebagai presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa (PBB) dan pengerusi Majlis Keselamatan PBB serta dilantik sebagai wakil khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar dalam usaha pembebasan Aung San Suu Kyi daripada tahanan rumah, menurut SUHAKAM.