AS senarai tujuh pelanggaran dalam Laporan Hak Asasi Manusia bagi Malaysia
2023.03.20
Washington & Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 9.30 malam waktu tempatan ETS - 2023-03-20
Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menyenaraikan tujuh pelanggaran hak asasi manusia bagi Malaysia sambil menegur sikap Putrajaya yang tidak responsif terhadap penyiasatan pihak antarabangsa dan juga badan bukan kerajaan berhubung dakwaan penyalahgunaan hak asasi manusia dalam laporan tahun yang dikeluarkan pada Isnin.
Laporan setebal 41 muka surat yang disediakan oleh Biro Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Pekerja Jabatan Negara itu mendakwa Malaysia telah menyekat kebebasan bersuara termasuk terhadap orang awam, gagal menghormati integriti individu, tiada kebebasan menyertai proses politik, berlaku diskriminasi dan penindasan dalam masyarakat serta hak pekerja dan kurangnya ketelusan dalam kerajaan serta gejala rasuah.
“Kerajaan menangkap dan mendakwa beberapa pegawai yang terlibat dalam rasuah, penyelewengan dan pencabulan hak asasi manusia tetapi kumpulan masyarakat sivil mendakwa masih ramai yang bebas daripada hukuman.
“Pihak berkuasa awam ada kalanya tidak mengekalkan kawalan yang berkesan ke atas pasukan keselamatan. Terdapat laporan bahawa anggota pasukan keselamatan masih melakukan beberapa penyelewengan,” menurut laporan itu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken berkata laporan membabitkan 198 negara secara individu antara lain memberikan objektif fakta berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai tentang kejadian yang berlaku sepanjang 2022.
"Laporan Hak Asasi 2022 menerangkan kesan kompaun pelanggaran hak asasi manusia dan penyalahgunaan ke atas orang dalam komuniti terpinggir yang juga menderita secara tidak seimbang daripada kesan negatif ketidaksamaan ekonomi, perubahan iklim, migrasi, makanan dan cabaran global yang lain.
"Setiap laporan menerangkan dengan sendirinya mengenai sesebuah negara, penerangan amalan bagi tahun 2022 berdasarkan undang-undang antarabangsa serta Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan beberapa laporan mengetengahkan pelanggaran serta penyalahgunaan yang amat dahsyat," kata Blinken semasa membacakan laporan itu di Washington.
Laporan bagi Malaysia menyebut terdapat dakwaan bahawa pihak berkuasa atau ejennya telah melakukan pembunuhan di luar undang-undang atau secara sewenang-wenangnya dengan kebanyakan kes berlaku di penjara.
Laporan itu memetik kenyataan Setiausaha Polis Diraja Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin yang mengesahkan terdapat 19 kes kematian dalam tahanan setakat 15 Julai 2022 dengan sembilan daripadanya berlaku di dalam lokap dan lapan di hospital manakala dua lagi semasa dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan.
Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri pada masa itu pula memaklumkan Parlimen bahawa seramai 258 lelaki, 34 wanita dan enam kanak-kanak telah mati di depot tahanan imigresen di antara Januari 2020 dan Julai 2022.
"Pemerhati percaya bilangan kematian dalam tahanan pada tahun-tahun sebelum ini berkemungkinan lebih tinggi daripada yang dilaporkan," menurut laporan itu tanpa mendedahkan identiti pemerhati.
Pusat-pusat tahanan dan penjara Malaysia pula dilaporkan berada dalam keadaan yang teruk dan 'mengancam nyawa' disebabkan oleh kesesakan, menurut biro Jabatan Negara AS, dengan kebanyakan penjara menahan jumlah banduan melebihi kapasiti di antara 45 dan 50 peratus.
Laporan itu turut mendakwa pihak berkuasa Malaysia juga sentiasa menafikan hak orang yang ditangkap untuk mendapatkan akses kepada bantuan guaman dan menyoal siasat suspek tanpa ditemani peguam.
"Sementara pihak berkuasa secara amnya menghormati komunikasi antara peguam dan anak guam mereka, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia boleh menyoal para peguam yang menemani klien mengenai interaksi sesama mereka termasuk butiran perkara yang dibincangkan," katanya.
Selain itu, pihak berkuasa Malaysia dilapor melakukan salah guna kuasa dengan menakut-nakutkan atau menghukum pengkritik kerajaan termasuk melakukan tangkapan pada waktu malam, menjalankan sesi soal siasat yang panjang dan tempoh tahanan reman yang lama.
"Pada Mei, polis telah memulakan siasatan ke atas Lim Kit Siang, seorang Ahli Parlimen dari parti pembangkang iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenai dakwaan berkaitan muat naik di laman media sosialnya yang mampu menggugat keselamatan awam dan keharmonian negara," kata Jabatan Negara AS.
Penangkapan aktivis
Laporan itu juga banyak menegur tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Malaysia dengan memetik beberapa insiden yang menyaksikan aktivis ditangkap serta didakwa atas kesalahan memuat naik bahan 'dengan niat menyakitkan hati orang lain' dan memberi contoh kes pereka grafik Fahmi Reza pada Februari.
Fahmi telah didakwa di mahkamah kerana memuat naik lukisan tin bir dengan logo parti politik PAS pada 2021 yang merupakan sebahagian daripada kerajaan ketika itu.
"Undang-undang juga melarang hasutan dan komen dibuat di khalayak yang menyentuh topik-topik dianggap sensitif, termasuk berkenaan isu agama dan bangsa atau kritikan terhadap raja atau sultan. Ia melarang ucapan yang dibuat dengan niat untuk melukakan kepercayaan individu," menurut laporan itu.
Turut dilaporkan nasib wartawan yang terpaksa berdepan gangguan dan ugutan semasa menjalankan tugas dengan memetik insiden pihak Jabatan Imigresen merampas telefon dua wartawan sebuah portal berita yang menemu bual beberapa pelanggan mengenai kelembapan proses membuat pasport.
Kerajaan juga mempunyai kuasa untuk mengawal kandungan berita dan pernah mengenakan sekatan ke atas bahan bacaan yang dianggap mampu mengancam keamanan, moral atau keselamatan negara.
Mengenai layanan terhadap pelarian, laporan itu menyebut pelarian dan pemohon suaka berdepan risiko dihantar pulang pada bila-bila masa walaupun kerajaan jarang berbuat demikian.
Antara kes yang pernah berlaku ialah pada Oktober 2022 apabila kerajaan menghantar pulang 150 warga Myanmar, termasuk seorang pembelot tentera dan isterinya yang merupakan pemegang kad pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian.
"Kerajaan telah secara paksa menghalau keluar bot-bot dinaiki pelarian dan pencari suaka yang melarikan diri dari negara mereka di mana kebebasan atau nyawa mereka terancam...," menurut laporan itu yang menyebut pihak berkuasa imigresen Malaysia juga secara berterusan melakukan operasi menahan pelarian dan menyasarkan kumpulan yang membantu golongan tersebut.
Meskipun Malaysia memiliki undang-undang yang menjenayahkan perbuatan rogol, laporan itu mendakwa kerajaan tidak menguatkuasakannya dengan berkesan dan tiada siasatan secukupnya dibuat terhadap dakwaan rogol serta keganasan berasaskan jantina.
Perbuatan mencacatkan kemaluan wanita juga terus menjadi amalan dalam kalangan rakyat beragama Islam dan sesetengah komuniti Orang Asli dengan satu laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian dan Sumber Asia Pasifik untuk Wanita mendapati terdapat 'kelaziman tinggi' berhubung perkara itu dalam kalangan populasi Muslim.
Menurut Jabatan Negara AS, pemerhati melaporkan bahawa terdapat banyak kejadian ganas berlaku kepada golongan LGBTQI+ dan perbuatan itu didakwa turut dibenarkan berlaku oleh polis termasuk ketika individu terbabit berada dalam tahanan mereka.
Kerajaan turut menyediakan dana bagi program rehabilitasi yang bertujuan mengubah individu LGBTQI+ dengan pihak berkuasa agama negeri dilaporkan memaksa golongan itu menjalani 'terapi pengubahan, rawatan atau program rehabilitasi untuk mengubati seksualiti mereka.
Mengenai hak pekerja, laporan itu mendapati ada majikan yang tidak menghormati undang-undang negara mengenai gaji dan tempoh bekerja terutama dalam sektor penyediaan makanan serta industri perkhidmatan lain.
"Sesetengah pekerja mendakwa bahawa majikan menempatkan mereka dalam keadaan kediaman yang tidak berperikemanusiaan serta memukul mereka."