Bank Negara Gagal Cubaan Pindah Dana Secara Haram
2018.03.29
Kuala Lumpur

Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya mematahkan percubaan untuk memindahkan dana secara haram menggunakan sistem mesej Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia (SWIFT) palsu melibatkan institusi kewangan negara dan bank-bank pusat.
BNM, dalam satu kenyataan pada Khamis, bagaimanapun menegaskan bank pusat itu tidak mengalami sebarang kerugian kewangan dalam insiden terbaru keselamatan siber melibatkan institusi-institusi kewangan dunia.
“Pada 27 Mac 2018, BNM telah berjaya mengesan dan menangkis satu insiden keselamatan siber yang melibatkan percubaan untuk memindahkan dana secara haram menggunakan sistem mesej SWIFT palsu,” menurut kenyataan itu.
Bank pusat itu memaklumkan bahawa semua transaksi yang cuba dilakukan telah berjaya disekat menerusi tindakan pantas BNM dengan kerjasama SWIFT, bank-bank pusat dan institusi kewangan lain.
Jelasnya, bank yang terlibat tidak mengalami apa-apa kerugian kewangan berikutan insiden ini, malah sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dikendalikan bank terbabit juga tidak terjejas sama sekali.
“BNM sedang menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden ini dengan mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa,” jelas kenyataaan itu.
Tambah BNM, semua langkah kawalan risiko yang ada setakat ini sangat berkesan untuk menghalang insiden seumpama itu daripada berulang.
Bagaimanapun, BNM menegaskan bahawa bank pusat itu tetap mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan untuk melindungi pihak berkepentingan.
Bank itu juga akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga dan senantiasa bersiap sedia kerana insiden pada masa hadapan mungkin melibatkan perancangan dan pendekatan yang lebih sofistikated.
Sehubungan itu, menurut kenyataan tersebut, semua institusi kewangan di Malaysia dinasihati agar sentiasa berwaspada dalam menghadapi risiko keselamatan siber dan terus mengukuhkan sistem keselamatan masing-masing bagi menghadapi ancaman pencerobohan seperti yang berlaku.
BNM juga meyakinkan orang ramai bahawa sistem pembayaran dan penyelesaian kewangan di Malaysia kekal tidak terjejas serta terus beroperasi dalam keadaan baik dan selamat.
Pada 2016, Bank Pusat Bangladesh yang kehilangan AS$81 juta dalam insiden melibatkan pemindahan SWIFT palsu, telah mengetuai institusi kewangan di seluruh dunia untuk meningkatkan keselamatan. Pihak berkuasa belum berjaya memberkas dalang di sebalik serangan itu.”