Pertemuan Malaysia, Korea Utara Di Venue Berkecuali

Ray Sherman & Fadzil Aziz
2017.10.20
Kuala Lumpur
171020-KOREA-Malaysia-620.jpg Seorang lelaki Malaysia memakai topeng harimau bagi menunjukkan sokongan beliau terhadap pasukan bola sepak kebangsaan pada perlawanan separuh akhir AFF Piala Suzuki Asia menentang Vietnam, di Stadium Shah Alam, Kuala Lumpur, 7 Disember 2014.
AFP

Selepas tiga penangguhan dan larangan perjalanan yang dikeluarkan kerajaan Malaysia menghalang rakyatnya melakukan perjalanan ke Korea Utara, pasukan bola sepak negara itu akhirnya akan bermain di pertandingan kelayakan Piala Asia 2019 melawan Korea Utara pada November di gelanggang berkecuali - sama ada di Asia Tenggara atau China, kata pegawai kanan Persatuan Bola Sepak Asia kepada BeritaBenar pada Jumaat.

"Kita sedang berbincang dengan beberapa negara untuk jadi tuan rumah. Harap minggu depan kita akan mendapat jawapannya. Antara negara yang dibincangkan menjadi gelanggang berkecuali ialah China atau sebuah negara di Asia Tenggara,” kata Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia [AFC] Windsor Paul John kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga mengeluarkan satu kenyataan media mengumumkan bahawa perlawanan akhir kelayakan Piala Asia 2019 dan tarikh bagi dua aksi kumpulan B itu ditetapkan pada 10 November ini dengan Korea Utara terlebih dahulu tampil selaku tuan rumah diikuti Malaysia tiga hari kemudian.

AFC berkata “urutan perlawanan telah dikekalkan "untuk melindungi integriti sukan persaingan itu dan bagi menjaga dan menjamin keadilan, diputuskan bahawa kedua-dua acara akan berlangsung  di venue berkecuali dengan acara pertama menyaksikan Korea Utara sebagai tuan rumah dan Malaysia ketika acara  kedua”.

"Kami gembira kerana kedua-dua persatuan ahli, selepas beberapa perbincangan, telah bersetuju dengan pengaturan ini," kata Setiausaha Agung AFC Windsor John dalam kenyataan itu.

Perlawanan antara kedua-dua negara yang sepatutnya berlangsung di Stadium Kim Il-Sung di ibu negara Korea Utara, Pyongyang terpaksa ditangguh sebanyak tiga kali berikutan jadual asal perlawanan pada 28 Mac ditunda kepada 8 Jun lalu selepas ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara susulan pembunuhan Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin diktator Kim Jong-Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Feb lepas.

Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari beliau diserang dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa.

Dua wanita Asia Tenggara – dari Indonesia dan Vietnam, kini sedang dibicarakan atas pembunuhan itu.

Pertemuan yang dijadualkan semula pada 5 Oktober lepas, bagaimanapun dibatalkan selepas  Kementerian Luar mengeluarkan larangan perjalanan pada 28 September lalu kepada seluruh rakyat Malaysia yang ingin ke Korea Utara, sehingga diberitahu kelak.

Larangan perjalanan

Kementerian itu berkata ia membuat keputusan untuk melarang "semua rakyat Malaysia" daripada melakukan perjalanan ke Korea Utara "berikutan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea serta perkembangan berkaitan yang timbul daripada siri ujian peluru berpandu."

Pengumuman kementerian itu tidak secara khusus menyatakan nama Korea Utara tetapi ia meyebut tentang perkembangan di Semenanjung Korea baru-baru ini susulan ujian senjata nuklear dan peluru berpandu balistik. Siri ujian berkenaan yang dijalankan oleh Pyongyang pada tahun ini telah menimbulkan ketegangan di Asia Timur, yang menyebabkan Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun menjalankan latihan ketenteraan bagi menunjukkan kuasa mereka.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia mengecam pelancaran peluru berpandu Korea Utara dan menyuarakan kekesalannya terhadap kegagalan berterusan rejim komunis itu mematuhi sekatan PBB. Kuala Lumpur juga menggesa Pyongyang supaya menghentikan program peluru berpandu nuklear dan balistik kerajaannya.

Kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan sejak 1973, tetapi ia terjejas berikutan pembunuhan Kim Jong Nam dan pergolakan diplomatik dua hala selama enam minggu itu menyaksikan Malaysia dan Korea Utara masing-masing mengusir duta dan mengenakan larangan keluar rakyat dari negara mereka. Perdana Menteri Najib Razak menyertai Korea Selatan dan Amerika Syarikat dalam menyalahkan ejen-ejen kerajaan Korea Utara berhubung kematian Kim.

Pada akhir Mac lalu, Malaysia bersetuju untuk menyerahkan mayat Kim Jong Nam kepada Korea Utara sebagai pertukaran untuk pembebasan kakitangan dan keluarga kedutaan Malaysia yang telah terkandas di Pyongyang selepas larangan keluar dari negara itu ditarik balik.

Dalam pada itu, pada 19 September lepas, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, putera mahkota Johor dan yang Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia [FAM], bertemu dengan Kim Yu Song, Kaunselor Pentadbiran Kedutaan Pyongyang di Kuala Lumpur

Semasa pertemuan berkenaan, Putera Mahkota Johor itu telah diberi "penghormatan khas yang memberi akses sepenuh penggunaan ruang udara Korea Utara bagi Tunku Mahkota mengembara dari Johor ke Pyongyang pada bila-bila masa baginda mahu melawat negara berkenaan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Putera Mahkota Johor itu.

"Ini adalah penghormatan tertinggi, kerana mana-mana pemimpin dunia yang lain perlu berhenti di Beijing" sebelum dapat terbang terus ke ibu negara Korea Utara. Perbincangan ini menghasilkan keputusan yang sangat positif di mana ucapan dari Yang Teramat Mulia Tunku Mahkota telah disampaikan kepada pemimpin tertinggi Korea Utara," menurut kenyataan itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.