Negeri-Negeri Borneo Malaysia Tawar Undi Kukuh Untuk Gabungan Parti Pemerintah, Kata Penganalisis

Laja Laing
2018.04.13
Kuching, Malaysia
180413-SABAH-ELECTION-620.jpg Pengundi-pengundi beratur di luar tempat mengundi yang disediakan di sebuah sekolah di Kuching, ibu negeri Sarawak di Timur Malaysia, 16 April 2011.
[AP]

Sarawak dan Sabah - dua negeri separa autonomi di Borneo Malaysia - boleh memberi Perdana Menteri Najib Razak dan gabungan parti pemerintahnya, Barisan Nasional (BN), undi yang mereka perlukan untuk terus berkuasa pada pilihan raya umum yang akan diadakan bulan depan, kata penganalisis politik.

Gabungan parti pemerintah itu dan pakatan pembangkang yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri lama Mahathir Mohammad bakal bertarung dengan menampilkan beberapa isu untuk mendapatkan sokongan para pengundi  pada pilihan raya 9 Mei ini. Tetapi, Sabah dan Sarawak akan menawarkan undi kukuh kepada Barisan Nasional, kata penganalisis kepada BeritaBenar.

"Ya, Sabah dan Sarawak akan tetap menjadi 'negeri deposit tetap' untuk BN," kata Jeniri Amir, profesor bersekutu di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), dengan merujuk kepada istilah umum untuk undi dari negeri-negeri yang berpihak kepada gabungan parti kerajaan dalam pilihan raya-pilihan raya  terdahulu.

Ramalan yang dibuat Jeniri terpaksa diakui oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH)  negeri-negeri di Borneo dan Semenanjung Malaysia.

"(Tetapi) saya harap tidaklah," Xavier Jayakumar, seorang wakil rakyat pembangkang di Sri Andalas, sebuah bandar di negeri Selangor yang terletak di Semenanjung Malaysia, kepada BeritaBenar.

BN, yang terdiri daripada parti utamanya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan 12 parti lain,  yang berkuasa sejak tahun 1950-an, memenangi hanya 86 kerusi di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum Mac 2008 - yang digambarkan oleh akhbar tempatan sebagai "tsunami politik."

Sebaliknya, pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat,  memenangi 89 kerusi di Parlimen yang mempunyai 222 anggota.

Tetapi, 54 kerusi yang dijamin oleh BN di Sabah dan Sarawak memberikan gabungan parti itu hanya majoriti yang sedikit untuk membentuk kerajaan sekali lagi.

Najib dan BN di Semenanjung menerima kejutan pilihan raya sekali lagi pada pilihan raya umum 2013 yang menyaksikan mereka kehilangan lebih banyak kerusi kepada pembangkang.

"Sekali lagi, rakan BN di Sabah dan Sarawak - di mana rakyatnya mahukan lebih banyak autonomi, pengembalian hak mereka - yang terus mengangkat nasib  politik Najib," kata Jeniri kepada BeritaBenar.

Perjanjian yang masih belum diselesaikan

Dalam manifesto untuk pilihan raya umum akan datang, yang disebut sebagai "Buku Harapan," Pakatan Harapan telah berjanji untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi laluan kepada pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963. Ikrar pilihan raya pembangkang itu bertujuan memberi lebih autonomi kepada Sabah dan Sarawak daripada  kerajaan Persekutuan.

MA63 adalah perjanjian yang ditandatangani oleh negeri-negeri Melayu Bersekutu di Semenanjung, Singapura dan bekas wilayah British Borneo Sarawak dan Borneo Utara - kini dinamakan semula sebagai Sabah. Singapura menarik diri dari Malaysia pada 1965.

Sejak tahun 1970-an, sebagai sebahagian daripada dasar Malaysia untuk merapatkan jurang kekayaan dengan masyarakat Cina yang lebih kaya, etnik  Melayu dan kaum asli di Borneo - yang dikenali tempatan sebagai "bumiputra" atau "anak negeri" - menikmati keistimewaan dalam pendidikan dan perniagaan.

Selepas pilihan raya 2013, Najib yang berusia 64 tahun, telah melantik enam menteri dari Sabah dan tujuh dari Sarawak untuk kabinet Persekutuannya bagi  "memberi ganjaran" kepada negeri yang membantu beliau untuk mengekalkan kuasanya.

Jeffrey Kitingan, seorang pemimpin Star, parti pembangkang tempatan di Sabah, berkata, pelantikan menteri adalah ganjaran kepada kedua-dua negeri itu untuk terus menjadi negeri deposit tetap Najib walaupun kedua-dua timbalan ketua menteri Sarawak, Douglas Uggah dan James Masing, menyatakan bahawa pelantikan Kabinet pada 2013 tidak menepati apa yang diharapkan mereka.

Tetapi Najib, yang berkuasa sejak 2009, menaburkan lebih banyak ganjaran kepada Sabah dan Sarawak dengan meluluskan projek-projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo yang bernilai RM25 bilion (US$6.47 bilion). Beliau juga berjanji untuk mengembalikan semua hak yang hilang "secara  sengaja atau tidak sengaja" sambil beliau membina lebih banyak jalan raya berturap.

Kelvin Yii, pilihan pembangkang untuk kerusi Parlimen Stampin di Sarawak, berkata, kedua-dua negeri itu menawarkan "deposit tetap yang rapuh" kerana Najib, menurut pandangannya, mengambil ringan akan kedua-dua negeri berkenaan.

"Walaupun mereka (Najib dan BN) menaburkan banyak ‘gula-gula’, pada akhirnya nanti, mereka tidak menangani keinginan dan keperluan sebenar negeri berkenaan iaitu pengembalian hak istimewa," katanya.

Namun, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg mempertahankan kerajaan Persekutuan dan berkata bahawa perkara itu ada dibincangkan.

Abang Johari, seorang ahli politik BN, pernah berkata bahawa isu-isu itu yang akan dibincangkan itu melibatkan "perlembagaan yang rumit" dan memerlukan masa dan kajian terperinci.

Mengundi untuk isu berkaitan punca pendapatan


Sementara itu, walaupun skandal rasuah membelenggui Najib berhubung dana pelaburan 1MDB yang menyebabkan gesaan meluas di Semenanjung Malaysia supaya beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, para pengundi luar bandar di kedua-dua negeri Borneo itu tetap akan mengundi  BN kerana mereka mempunyai "tahap celik politik yang rendah," kata Jeniri.

Sebanyak 47 kerusi yang dimenangi BN di Sarawak dan Sabah pada pilihan raya 2013 adalah sebahagian besarnya kerusi luar bandar yang para pengundinya berasal daripada lebih 100 suku kaum. Orang Dayak adalah suku terbesar di Sarawak manakala Kadazadusun, Dusun, Suluk dan Bajau adalah suku utama di Sabah, yang mempunyai lebih daripada 1.1 juta pemilih berdaftar.

Di Sarawak, sebanyak  25 daripada 31 kerusi Parlimen adalah di luar bandar.

Suku kaum di kawasan luar bandar akan tetap mengundi BN kerana bimbang sekiranya mereka mengundi pembangkang, ia boleh mengakibatkan kehilangan peruntukan pembangunan iaitu kewangan penting untuk membiayai projek pembangunan di kawasan masing-masing, kata Jeniri.

Untuk menyokong pendapat Jeniri, analisis Unimas pada Januari meramalkan bahawa 60 peratus pengundi Sarawak akan menyokong BN pada pilihan raya akan datang kerana "mereka lebih prihatin dengan isu-isu berkaitan punca pendapatan."

"Itulah hakikatnya," kata Vatz Lamit, yang berusia 43 tahun, seorang penduduk rumah panjang Saratok iaitu kediaman tradisi pribumi. Ramai penduduk yang tinggal di rumah panjang terpencil di pedalaman negeri turut berkongsi sentimen itu, katanya.

"Mereka mahukan air paip, air yang dirawat, jalan dari rumah panjang mereka ke jalan utama dan elektrik 24 jam dari grid kuasa," katanya, sambil memberitahu walaupun beberapa janji masih tidak ditunaikan oleh gabungan parti pemerintah pada masa lalu, para pengundi luar bandar masih percaya hanya BN mampu memberi semua kemudahan asas itu.

Tetapi, kata Jeniri, Najib dan gabungan parti pemerintah mestilah berwaspada.  Beliau mengingatkan bahawa jika mereka gagal untuk memberi ganjaran kepada Sabah dan Sarawak dan menangani rungutan rakyat terhadap kegagalan kerajaan Persekutuan untuk menghormati MA63, pilihan raya umum akan datang mungkin menyaksikan peralihan kuasa politik.

"Sekiranya Najib tidak terus membawa projek pembangunan besar-besaran ke Sabah dan Sarawak dan gagal menangani MA63, rakyat mungkin tidak mengundi BN," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.