Pemimpin Malaysia Bubar Parlimen Beri Laluan Kepada Pilihan Raya

Hareez Lee & Hata Wahari
2018.04.06
Putrajaya, Malaysia
180405_MY_NAJIB_620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 di Putrajaya, 4 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Najib Razak pada Jumaat telah mengumumkan mengenai pembubaran parlimen Malaysia yang berkuatkuasa pada Sabtu, untuk memberi laluan bagi mengadakan apa yang dijangka sebagai pilihan raya umum paling sengit dalam tempoh beberapa minggu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya umum ke-14, yang mengikut undang-undang hendaklah diadakan dalam tempoh dua bulan dari tarikh pembubaran parlimen dan mungkin berlangsung sebelum Ramadan bermula sekitar 15 Mei.

“Dengan ini saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telahpun mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-1, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenaan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018,” kata pemimpin Malaysia itu.

Najib menambah dengan berkata, “Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Baginda telahpun memperkenaankan bagi parlimen ke-13 dibubarkan pada hari sabtu, 7 April 2018.”

Katanya, pembubaran parlimen itu sekaligus menzahirkan komitmen kerajaan Barisan Nasional terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan pilihan raya umum bagi kali yang ke-14 bagi negara itu, semenjak tahun 1959 dijalankan menurut lunas undang-undang

Najib, 64 yang memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), tulang belakang parti gabungan Barisan Nasional yang telah menerajui kerajaan sejak kemerdekaan kemudiannya melancarkan ucapan kempen, meminta pengundi Malaysia memberikan mandat baru kepada kerajaan yang dipimpinnya sejak tahun 2009.

"Kami telah berjaya melaksanakan tanggungjawab, dan kami akan terus melaksanakannya," katanya dalam siaran secara langsung di televisyen dari pejabat beliau di Putrajaya, dengan menambah. "Selaku Ketua Kerajaan bersama pucuk pimpinan bahawa, kita akan membangunkan negara dari Perlis sampai ke Sarawak membawa ke Sabab, agar tidak ada satu pun kawasan atau rakyat yang akan ketinggalanm atas prinsip tiada siapa yang akan tertinggal.”

Pilihan raya ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dan menyaksikan bekas perdana menteri berusia sembilan puluhan Mahathir Mohamad meninggalkan dunia persaraan untuk memimpin pembangkang dalam usahanya menjatuhkan Barisan Nasional. Mahathir memimpin UMNO ketika beliau menjadi perdana menteri selama lebih dua dekad.

“UMNO tidak dapat dipulihkan, sukar untuk mengembalikannya kepada keadaan sebelum ini. Ia menjadi amat teruk. Ia dengan jelas, dan ketaranya menjadi sangat korup. Pemimpin-pemimpinnya korup. Mereka tidak menyuarakan pandangan rakyat,” kata Mahathir kepada BeritaBenar pada 2016.

Dalam pilihan raya akan datang, parti yang memenangi majoriti mudah dalam parlimen yang mempunyai 222 kerusi akan membentuk kerajaan persekutuan berikutnya. Barisan Nasional ketika ini memiliki 130 kerusi.

Bagaimanapun pilihan raya umum tahun ini menjanjikan cabaran sengit buat Najib, kerana parti gabungannya akan menentang satu perikatan pembangkang pimpinan Mahathir, 92, yang masih popular.

Pernah menjadi mentor Najib, Mahathir keluar dari UMNO pada 2016, dan menuduh pemimpin-pemimpin parti melindungi perdana menteri itu daripada dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB, dana pelaburan negara yang diilhamkan oleh Najib. Mahathir telah dicalon sebagai PM seterusnya jika gabungan Pakatan Harapan menewaskan Barisan dalam pilihan raya umum.

Sejak tiga tahun lepas, nama Najib telah dikaitkan dengan skandal yang membabitkan ratusan juta dolar yang didakwa dicuri dari dana yang dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad, namun beliau telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah melakukan apa-apa kesalahan.

Najib telah mengaku menerima hampir US$681 juta menerusi akaun bank peribadinya, namun berkata wang itu adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi. Perdana Menteri dan para pegawai 1MDB telah menyangkal dakwaan berlakunya penggelapan wang.

Kontroversi berkaitan skandal 1MDB telah mencetuskan tinjauan pendapat yang negatif terhadap Najib sejak 2015, namun pembangkang terpaksa bertungkus-lumus untuk menggoyahkan sokongan luar bandar kepada Najib, menurut penganalisis lain.

Najib semasa mengumumkan mengenai pembubaran parlimen itu turut berkata,"Saya dengan penuh rendah hati, memohon untuk diberi mandat baharu kepada Barisan Nasional untuk terus membawa Malaysia ke mercu kejayaan."

 

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri Najib Razak memasuki Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya menjelang pengumuman pembubaran Parlimen, 6 April 2018. [S. Mahfuz / BeritBenar]


Perdana menteri dalam penantian

Dalam pilihan raya 2008, Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga yang telah dinikmati oleh UMNO dan rakan kongsinya sejak 1957. Najib telah dilantik setahun kemudian, dalam usaha bagi membendung rencatan populariti parti pemerintah di tengah-tengah kelembapan ekonomi.

Pada 2013, pembangkang telah membuat kejutan lanjut dengan memenangi 52 peratus undi popular, namun Najib dan sekutunya berjaya mempertahankan kuasa dengan memenangi 133 kerusi parlimen.

Anwar Ibrahim, yang mengetuai blok yang mencabar Najib pada pilihan raya lepas, telah meringkuk dalam penjara sejak 2015 atas sabitan meliwat susulan satu perbicaraan yang disifatkan oleh panel hak asasi PBB sebagai bermotifkan politik. Beliau dijangka dibebaskan padda 8 Jun.

Mahathir telah berikrar untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas tarikh itu jika pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.

Blok pembangkang Pakatan Harapan terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu atau PPBM), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah.

Orang Melayu dan kumpulan asli lain menyumbang hampir 70 peratus daripada populasi penduduk Malaysia yang berjumlah 31 juta, dengan kaum Cina sebanyak 23 peratus manakala bakinya terdiri daripada kaum India dan lain-lain. Kebanyakan parti politik Malaysia adalah berasaskan kaum, termasuk UMNO.

Bagaimanapun, parti yang berasaskan Islam turut memainkan peranan, dengan beberapa pemerhati berkata Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang bersekutu dengan blok pembangkang pada 2013, berupaya menjadi pengimbang yang memihak kepada penyandang tahun ini.

Gesaan PAS pada 2015 untuk melaksanakan satu Kanun Keseksaan Syariah di negeri Kelantan, yang merupakan kubu kuatnya, meretakkan blok pembangkang ketika itu. Sejak itu, ia telah diperbaharui dengan mereka yang telah keluar dari UMNO dan menjadi sebuah parti Islam yang sederhana.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.