Malaysia mahu gubal undang-undang buli siber sebagai jenayah

Putrajaya ambil tindakan segera susulan kematian pempengaruh akibat ugutan dalam talian.
Ili Shazwani Ihsan dan Nisha David
2024.07.16
Kuala Lumpur
Malaysia mahu gubal undang-undang buli siber sebagai jenayah Pemilik rumah kebajikan, P Shalini (kiri) berjalan keluar selepas didenda RM100 setelah mengaku salah mengeluarkan kata-kata kesat berkaitan kes mangsa buli siber Rajeswary di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, 16 Julai 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Malaysia pada Selasa berkata mahu menggubal undang-undang khusus bagi menjadikan buli siber sebagai satu kesalahan jenayah selepas pihak berkuasa mengaitkan kematian seorang pempengaruh media sosial awal bulan ini dengan dakwaan dia menjadi mangsa gangguan dan ugutan dalam talian.

Putrajaya mempertimbang untuk meminda peruntukan dalam Kanun Keseksaan kerana undang-undang semasa tidak menangani secara khusus kesalahan buli siber, kata Menteri Azalina Othman Said sambil menjelaskan bahawa lebih 3,000 aduan buli siber telah dibuat pada 2023.

Pempengaruh TikTok, A. Rajeswary, 29, yang juga dikenali sebagai Esha oleh pengikutnya ditemui maut di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai, sehari setelah beliau memfailkan laporan polis mendakwa dua individu mengganggunya serta melakukan ugutan seksual menerusi aplikasi Tik Tok, menurut laporan media tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu, menyifatkan kematian Rajeshwary sebagai “amat memilukan hati” dan jelas terdapat kelompongan undang-undang berkaitan kesalahan buli siber.

“Menyedari perkara ini (kelompongan undang-undang) dan mengambil kira keperluan mendesak bagi penyelesaian segera, kerajaan sedang mempertimbang cadangan pindaan kepada kanun keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang spesifik bagi kesalahan buli siber.

“Cadangan pindaan itu, selain memberikan tafsiran kepada terma ‘buli siber’, ia akan mengklasifikasikan perbuatan buli siber sebagai satu kesalahan di Malaysia secara spesifik.

“Bersama cadangan pindaan kepada kanun keseksaan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri juga akan meneliti pindaan berbangkit kepada Kanun Tatacara Jenayah untuk memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif,” kata Azalina dalam hantaran di X beliau.

Hantaran itu dibuat pada hari yang sama pendakwaan dilakukan terhadap dua individu yang terkait dengan kematian pempengaruh tersebut di dua mahkamah berasingan di Kuala Lumpur dengan kedua-duanya mengaku bersalah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia merekodkan 3,199 aduan berkaitan buli siber pada 2023.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Selasa berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian bagi membincangkan langkah memperketatkan undang-undang berkaitan buli siber dari pelbagai sudut termasuk takrifan dan hukuman yang boleh dilaksanakan.

"Secara prinsipnya memang di peringkat Jemaah Menteri, terdapat tiga, empat menteri telah bersetuju untuk duduk berbincang bersama bagi meneliti aspek perundangan yang perlu kita tambah baik.

“Azalina telah memaklumkan boleh dilakukan segera pindaan kepada Kanun Keseksaan dan saya percaya ini yang sedang beliau usahakan.

“Saya juga telah sebut pada Jumaat lalu bahawa Perdana Menteri telah menzahirkan pandangan bahawa platform media sosial tidak terlepas daripada mengambil tanggungjawab atas kejadian termasuklah buli siber,” kata Fahmi yang juga jurucakap kerajaan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam kenyataannya pada Sabtu turut mencadangkan agar undang-undang baharu digubal terhadap pemilik platform media sosial untuk menghalang penyalahgunaan daripada berterusan.

“Kita harus memastikan bahawa undang-undang digubal untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyalahgunaan dan sekiranya berlaku tindakan pantas harus diambil.

“Undang-undang sedia ada khususnya Akta Komunikasi Multimedia, Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Komputer memang wujud dan boleh dikuatkuasakan,” tambah beliau.

Tindakan drastik

Dalam tindakan drastik berkaitan kes buli siber itu, dua individu didakwa secara berasingan di Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa setelah didapati mempunyai kaitan dengan kematian Esha, dalam tempoh seminggu mereka ditahan pihak berkuasa.

Pada Selasa, seorang pemilik sebuah rumah kebajikan P Shalini, 35, mengaku bersalah di hadapan Majistret M S Arunjothy berhubung kes buli siber Rajeswary dan didenda RM100 [AS$21.3] kerana mengeluarkan kata-kata kesat menerusi TikTok untuk membangkitkan kemarahan bagi mengganggu keamanan di sebuah premis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada awal pagi, 1 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan dihukum di bawah seksyen sama yang boleh didenda maksimum RM100.

Mengikut fakta kes, pengadu menemui satu akaun TikTok dengan profil 'alphaquinnsha' memfitnah mangsa dan membuat beberapa ugutan bagi mencederakannya dengan nada paling ganas selain membuat siaran langsung di TikToknya dengan ancaman terhadap individu yang menentangnya.

Di Mahkamah Sesyen pula seorang pemandu lori, B Sathiskumar, 44, mengaku bersalah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan nama profil Tiktok "@dulal_brothers_360" pada 30 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 [AS$10,660] atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

KES_BULI_08.jpg

Seorang pemandu lori, B Sathiskumar dibawa oleh anggota polis bagi menghadapi pertuduhan mengaibkan dan menganggu ibu mendiang Rajeswary, mangsa buli siber di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 16 Julai 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Sathiskumar turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengaibkan dan mengganggu kesantunan P R Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Rajeswary melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok dengan menggunakan nama profil Tiktok sama pada tarikh, masa dan tempat sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan 16 Ogos ini bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 [AS$ 7,675] secara bercagar bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Ibu Esha, R Puspa ketika ditanya tentang keputusan mahkamah tersebut berkata denda RM100 itu amat sukar diterima.

"Saya hairan, RM100 saja? Kali ini giliran saya, entah lain kali siapa pula? Anak siapa pula nak kena, tak tahu. Tuhan saja tahu, saya memang sedih dengan keputusan mahkamah ini," katanya.

Hukuman perlu setimpal

Cadangan pindaan yang diumumkan kerajaan itu disambut baik oleh Benjamin YH Loh, pensyarah kanan pengajian media dan komunikasi dari Universiti Taylor di Selangor dengan menyatakan bahawa satu undang-undang khusus perlu menjelaskan takrifan buli siber.

"Perlu memastikan pelaku dihukum dengan setimpal memandangkan buli siber boleh berlaku secara tidak langsung seperti mengajak pengikut mengganggu seseorang individu," ujarnya.

Beliau berkata undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menangani isu buli siber yang kompleks apabila kebanyakan pelaku utama tidak terlibat secara langsung mengganggu dan menyakiti mangsa.

“Undang-undang harus mengambil kira banyak sisi yang terlibat dengan buli siber. Oleh itu takrifan dan aktiviti yang dikategorikan sebagai jenayah tersebut haruslah diberikan secara jelas dan tepat.

“Sekiranya takrifannya terlalu meluas, ia akan mempunyai kesan yang sama seperti Akta Hasutan yang boleh diguna pakai secara sewenang-wenangnya ke atas sesiapa sahaja mengikut budi bicara kerajaan,” kata Benjamin.

Peguam jenayah veteran Naran Singh berkata pindaan yang bakal dibuat perlu dirangka secara menyeluruh dengan memberikan penekanan kepada tafsiran buli siber yang jelas, bentuk dan tahap keseriusan kesalahan serta hukuman setimpal.

Menurutnya buat masa ini terdapat peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang boleh diguna pakai berkaitan buli siber seperti kesalahan membuat hantaran bersifat provokasi atau jelik namun ia hanya boleh ditambah baik dari segi hukuman supaya dapat dijadikan pengajaran kepada orang ramai.

“Pindaan yang bakal dilakukan haruslah menekankan aspek bentuk jenayah, apakah yang didefinisikan sebagai siber buli serta hukuman yang sewajarnya dan bersifat mencegah,” kata beliau kepada BenarNews.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Lee Lam Thye pula berkata kehilangan tragis aktivis sosial disebabkan buli siber telah membangkitkan keperluan untuk Jemaah Menteri meneliti tentang kepelbagaian dimensi isu buli siber dan mencari penyelesaian dalam menangani krisis tersebut.

“Undang-undang sedia ada hendaklah dikemas kini untuk menangani buli siber dengan takrifan yang jelas serta hukuman lebih berat termasuklah meletakkan tanggungjawab menapis kandungan dan memelihara pengguna (daripada salah laku) ke atas pemilik platform atas talian berkenaan," katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.