COVID-19: Strain ‘Cepat Berjangkit’ Ditemui di Filipina, Malaysia

Aie Balagtas See & Nisha David
2020.08.18
Manila & Kuala Lumpur
200818-PH-covid-620.jpg Pesakit di luar Pusat Perubatan Capitol di Bandar Quezon, Filipina, menjalani saringan COVID-19, 4 Ogos 2020.
(Luis Liwanag/BeritaBenar)

Strain COVID-19 yang terdapat di Eropah dan negara-negara Amerika telah dikesan di Malaysia dan Filipina serta boleh menyebabkan lonjakan jangkitan penyakit itu, kata pihak berkuasa.

Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Pusat Genom Filipina dan Institut Penyelidikan Perubatan Tropika menyatakan sampel varian itu ditemui di Bandar Quezon, yang terletak di utara metropolitan Manila dan menjadi tempat kediaman kira-kira 2.9 juta orang.

"Terdapat bukti bahawa mutasi ini memudahkan virus memasuki sel sasarannya dan boleh dikaitkan dengan beban viral yang lebih tinggi pada orang yang dijangkiti. Ini boleh membawanya ke paras jangkitan lebih tinggi,” menurut kenyataan itu, dengan kedua-dua pihak belum mempunyai bukti sahih mengenai perkara itu.

Varian D614G virus itu, yang menyebabkan COVID-19, telah dikaitkan dengan penularan pandemik itu di Eropah dan New York serta dikesan di Singapura sejak Februari, menurut laporan.

Varian itu berbeza sedikit dengan strain koronavirus novel yang muncul di Wuhan, China pada akhir 2019 tetapi menjadi dominan di seluruh dunia pada Mac, kata para saintis.

Mutasi ini "membolehkannya memasuki sel-sel manusia umpama pencuri memilih kunci," lapor Washington Post pada Julai.

"Sekurang-kurangnya lima eksperimen makmal menunjukkan bahawa mutasi ini menjadikan virus tersebut lebih mudah menular, walaupun hanya satu daripada hasil kajian itu yang telah disemak oleh para pengkaji," katanya.

Di Manila, Pusat Genom Filipina mendapati bahawa saringan strain baru itu hanya dilakukan di Bandar Quezon sehingga kini. Jurucakap jabatan kesihatan Maria Rosario Vergeire memberitahu bahawa ukuran sampel adalah terlalu kecil untuk menentukan sejauh mana kewujudan strain itu di Filipina.

Bandar Quezon mencatatkan 8,755 kes jangkitan COVID-19 dan 363 kematian akibat COVID-19, menurut pegawai kesihatan.

Sehingga Selasa, Filipina mencatat 169,213 kes COVID-19 dan 2,687 kematian. Di peringkat global, lebih daripada 22.9 juta kes jangkitan dan 775.000 kematian direkodkan, menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.

Ia dilaporkan sehari selepas Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan bahawa langkah-langkah kuarantin, yang diperketatkan pada awal Ogos berikutan peningkatan kadar jangkitan itu, akan dilonggarkan di Manila dan wilayah jiran termasuk Bandar Quezon mulai Rabu.

Kes di Malaysia

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah mengumumkan bahawa empat kes varian D614G telah ditemui di Malaysia dalam kluster yang berkaitan dengan kes import dari India dan Filipina.

Tindakan kesihatan awam yang pantas dapat mengawal kluster berkenaan, katanya, sambil mengingatkan bahawa strain baru itu adalah "10 kali" mudah berjangkit berbanding varian sebelumnya.

"Pada masa ini, strain ini hanya dikesan dalam tiga kes kluster Sivagangga dan satu dalam kluster Ulu Tiram. Kami masih menjalankan ujian makmal terhadap sampel daripada kluster lain,” katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

Malaysia perlu menutup semula sempadannya dan mengehadkan perjalanan rentas negeri berikutan perkembangan terbaru ini, kata Gerard Lawrence, pakar penjagaan utama di Global Doctors Hospital di Kuala Lumpur.

"Sudah tentu, ini boleh menjejaskan ekonomi kita tetapi jika kita mengalami gelombang kedua pandemik dengan 'superbug' ini, keadaan akan menjadi lebih buruk," kata Lawrence kepada BeritaBenar.

Tetapi Wang Linfa, pengarah program penyakit berjangkit di Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura, berkata tidak ada data saintifik yang menunjukkan bahawa D614G "lebih mudah disebarkan" atau lebih membawa maut berbanding versi virus asal, lapor Straits Times.

"Mutan itu, D614G, telah menular di seluruh dunia sejak sekian lama, sejak Februari, dan kami mengesannya di Singapura ... bagi orang awam, mereka mentafsirkannya sebagai lebih mudah disebarkan atau lebih mudah membawa maut, tetapi itu tidak benar," katanya.

'Fasa baru'

Sementara itu, pengarah wilayah Pasifik Barat bagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata bahawa pandemik tersebut telah memasuki fasa baru di Asia.

"Dalam fasa ini, negara-negara semakin mampu meminimumkan gangguan skala besar terhadap kehidupan dan ekonomi penduduk dengan menggabungkan pengesanan awal dan tindakan pantas dalam menangani kemunculan jangkitan, dan penduduk juga mematuhi langkah-langkah pencegahan," kata Dr. Takeshi Kasai kepada wartawan pada Selasa.

Pada masa sama, angka kematian dan jangkitan semakin meningkat di seluruh dunia, dan "semakin ramai orang muda dan sihat yang  mendorong penyebaran virus ini," katanya.

"Ramai yang tidak menyedari bahawa mereka dijangkiti - dengan gejala yang amat ringan atau tiada sama sekali. Ini boleh menyebabkan mereka, secara tidak sedar, menyebarkan virus itu kepada orang lain," kata Kasai, sambil menambah bahawa usaha membendung koronavirus akan bergantung kepada "tindakan kerajaan dan penduduk seluruh rantau ini."

"Kita perlu terus memperkemas, belajar dan menyesuaikan maklum balas kita dalam mengikuti 'normal baru,' kerana COVID-19 mungkin masih ada pada masa depan," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.