Pengarah menang anugerah Cannes kesal filem ditapis, hilang karya asal
2023.10.20
Kuala Lumpur
Sebuah filem Malaysia yang memenangi anugerah utama Minggu Kritik di Festival Cannes pada Mei lepas telah ditapis dengan amat ketat oleh pihak berkuasa untuk tayangan di Malaysia sehingga ia menjadi sesuatu yang bukan lagi karya asal, menurut pengarah filem Amanda Nell Eu pada Jumaat.
Eu, warga Malaysia pertama yang berjaya memenangi hadiah utama bagi kategori ciri-ciri terbaik di Minggu Kritik Cannes, mengkritik penapisan yang dilakukan terhadap filem "Tiger Stripes" arahannya, di mana cerita mengenai "kegembiraan menjadi anak gadis di Malaysia" telah dipotong pihak berkuasa.
Meluahkan rasa kecewanya di media sosial, Eu berkata "filem yang akan ditayangkan di pawagam tempatan itu bukanlah filem yang kami buat."
Filem berkenaan telah mula ditayangkan di panggung-panggung wayang di Malaysia sejak 19 Okt.
"Saya tidak bersetuju dengan pemotongan yang dibuat terhadap filem yang ditayangkan di pawagam tempatan," kata pengarah filem berusia 37 tahun itu di akaun Facebook dan Instagram miliknya pada Jumaat.
Tiger Stripes, kata beliau, dihasilkan untuk rakyat Malaysia sebagai penonton utama dan oleh itu "menayangkannya di tanah air merupakan pengalaman paling bermakna buat saya".
Tanggungjawab menapis filem di Malaysia berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri dan BenarNews telah menghubungi kementerian berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai adegan yang dipotong serta sebab di sebalik pemotongan berkenaan, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
Pada bulan lepas, kerajaan Malaysia telah mengharam sebuah filem tempatan mengenai seorang gadis yang meneroka perspektif agama-agama berlainan mengenai konsep kelahiran semula susulan kematian ibunya. Pihak berkuasa menyatakan bahawa filem tersebut "bertentangan dengan kepentingan awam", dan dikritik ramai pembuat dan penerbit filem sebagai mengekang kebebasan untuk bersuara.
Tiger Stripes merupakan sebuah filem seram dalam bahasa Melayu berdurasi 95 minit, mengkisahkan mengenai gadis berusia 12 tahun bernama Zaffan (Zafreen Zairizal) yang menjadi individu pertama mencecah akil baligh di kalangan rakan-rakannya, mula menyedari yang dirinya sedang mengalami perubahan yang menakutkan. Selain itu beliau juga dipulaukan oleh kawan sekolah, gadis itu mula belajar untuk menerima apa yang berlaku pada dirinya dan berjuang untuk kebebasan.
Watak utama dalam filem berkenaan adalah gadis Melayu bertudung, walaupun kebanyakan cabaran yang dihadapi mereka - akil baligh, masalah buli di sekolah, dan masalah komunikasi dengan guru serta ibu bapa - bukan sesuatu yang hanya dihadapi sesetengah budaya.
"Ia menyedihkan kami apabila jenis watak gadis sebegini terpaksa ditapis daripada tontonan umum. Walaupun kami menghormati kepelbagaian pendapat serta sensitiviti di negara kita, kami berharap diberikan lebih banyak kebebasan untuk membincangkan isu-isu secara terbuka dan tidak dihukum serta dikritik sesama sendiri dengan cepat, atau perlu bersembunyi daripada perkara yang kita takuti.
"Ini adalah satu perkara yang dapat dilakukan dengan bagus oleh seni, dan kerana itulah kami amat menyukainya dan terus berkarya dalam hidup kami - untuk berbincang, mempersoal dan meluahkan secara bebas," kata Eu yang menetap di Kuala Lumpur.
Filem Tiger Stripes dihasilkan bersama antara Malaysia, Indonesia, Singapura, Perancis, Jerman, Belanda dan Qatar.
Eu yang pernah belajar di sekolah perfileman di United Kingdom berkata beliau akan meneruskan perjuangan dan menggesa supaya semua artis tidak mengekang diri mereka sendiri semasa berkarya dan cuba mencari jalan lain untuk menangani isu penapisan filem di Malaysia.
"Ia merupakan satu perjuangan yang besar, kami tahu. Selain berdepan ancaman dari segi kewangan dan perasaan, keselamatan kami juga terancam disebabkan perkara ini. Namun kita harus terus berjuang wahai rakan-rakan semua!"
Penapisan
Syahid Johan, seorang produser filem bebas, berkata ia adalah sesuatu yang malang untuk rakyat Malaysia kerana tidak dapat menonton versi penuh filem yang berjaya memenangi anugerah semasa festival filem Cannes tahun ini.
Langkah penapisan berkenaan merupakan sesuatu yang mengecewakan, kata beliau, dan membuatkan para pembuat filem indie tertanya-tanya apakah yang telah dipotong daripada filem berkenan.
Kata Syahid, amalan pemotongan filem selalu berulang dan ada kalanya ia disebabkan subjek sensitif yang berkaitan dengan isu agama, akhlak atau kepelbagaian kaum dalam masyarakat negara berkenaan. Tambah beliau, tindakan sedemikian mengekang kebebasan berkarya di kalangan artis Malaysia kerana mereka tidak boleh menyentuh isu-isu yang relevan.
Menurut beliau, filem Malaysia perlu membincangkan "isu sebenar" sebagai intipati karya untuk membolehkannya diiktiraf di peringkat global.
"Kita sepatutnya mampu berdepan dengan isu-isu yang memberikan kesan kepada kita. Ini yang membuatkan kita unik. Kita tidak patut membuat pemotongan filem. Sehingga bila kita mahu terus menerus menolak daripada membincangkan isu yang memberi kesan pada kita?"
Kata Syahid, pembuat filem mempunyai peranan penting untuk membangkitkan isu-isu tersebut kepada khalayak umum bagi meningkatkan kesedaran melalui karya seni. "Ia tidak harus diketepikan atau dipotong," tambahnya.
Beberapa orang pengguna media sosial pula mencadangkan supaya satu parti dianjurkan untuk menayangkan versi asal filem itu.
Afif, seorang pengguna platform X, meminta supaya rakyat Malaysia menunggu sehingga "Tiger Stripes" ditayangkan oleh perkhidmatan streaming popular Netflix atau Prime.
"Penapis filem Malaysia tidak bijak," tulis Afif dalam meluahkan rasa tidak puas hati beliau terhadap penapisan yang dilakukan pihak berkuasa terhadap "Tiger Stripes".
Seorang lagi pengguna, 'The Voice in Your Head' pula menyifatkan mereka yang berkuasa di Malaysia sebagai mempunyai minda tertutup.
"Mereka patut berfikir bagi pihak rakyat."
Juice Malaysia pula menggesa supaya orang ramai memberikan sokongan kepada filem versi yang asal: "Sesetengah netizen mencadangkan supaya satu parti dianjurkan untuk mereka yang mahu menonton dan menyokong filem ini dalam bentuk asalnya."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.