Buruh Paksa: AS Sekat Import Minyak Sawit Keluaran FGV Malaysia

Shailaja Neelakantan & Noah Lee
2020.09.30
Washington & Kuala Lumpur
200930-MY-Palm-harvest1000.jpg Seorang pekerja Malaysia sedang menuai buah kelapa sawit di sebuah ladang di Semenanjung Malaysia, 6 Mac, 2019.
[AP]

KEMASKINI pada 7.30 petang waktu tempatan ETS - 2020-09-30


Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan mengenai sekatan segera terhadap import minyak sawit dan produk berkaitan dari sebuah syarikat Malaysia, dengan menyatakan bahawa siasatan selama setahun mendedahkan berlakunya penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran berkenaan.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan untuk menahan kemasukan produk sawit dan minyak sawit dari FGV Holding Berhad di pelabuhan  mengikut undang-undang persekutuan yang melarang import barangan dihasilkan oleh buruh paksa.

"Kami mengeluarkan Perintah Menahan Pelepasan terhadap kesemua  minyak sawit dan produk minyak sawit yang dikeluarkan oleh FGV Holdings Berhad," kata Brenda Smith, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan CBP dalam taklimat media secara maya pada Rabu, yang merujuk kepada satu daripada syarikat minyak sawit terbesar di dunia dengan kerajaan Malaysia mempunyai 12.4 peratus pemilikan saham.

Beliau berkata arahan sekatan itu dikeluarkan “susulan maklumat yang diterima CBP bahawa adanya penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.”

Menurut Smith tindakan itu diambil selepas siasatan selama setahun terhadap tuduhan pelbagai sumber termasuk kumpulan hak pekerja. Ini adalah kali pertama CBP mengambil tindakan terhadap pengeluar minyak sawit itu, katanya.

"Siasatan itu mendedahkan beberapa petunjuk adanya penggunaan buruh paksa termasuk salah guna kerentanan, penipuan, sekatan pergerakan, pengasingan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, menyimpan dokumen pengenalan diri, menahan gaji, ikatan hutang, melanggar syarat persekitaran tempat kerja dan tempat tinggal serta kerja lebih masa yang melampau. Kami juga mempunyai petunjuk bahawa  buruh paksa kanak-kanak berpotensi digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV,” kata Smith.

Penggunaan buruh paksa tidak diterima oleh AS, kata Smith.

Kelapa sawit adalah bahan lazim dalam produk yang digunakan oleh pengguna AS setiap hari di kedai runcit dan pasar raya Menurut laporan Jabatan Pertanian AS, minyak sawit semakin banyak terdapat dalam makanan yang diproses, kosmetik, farmaseutikal, sabun dan biodiesel.

Malaysia dan Indonesia mengeluarkan 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia, iaitu sebahagian daripada industri global yang bernilai AS$65 bilion, menurut laporan agensi berita antarabangsa Associated Press [AP].

FGV Holdings adalah satu daripada pengeluar terbesar di dunia yang mempunyai kira-kira 30,000 pekerja asing dan menguruskan kira-kira 1 juta ekar ladang sawit, lapor AP. Ia melaporkan pendapatan RM13.26 bilion (AS$3.1 bilion) pada 2019, menurut penyata kewangannya.

Pegawai AS tidak menyebut mengenai pengeluar minyak sawit Indonesia pada Khamis, walaupun laporan penyiasatan yang diterbitkan AP minggu lalu mendakwa adanya salah guna industri merangkumi "ikatan hutang hinggalah perhambaan terang-terangan" oleh pengeluar di Malaysia dan Indonesia.

"Kami ada menerima dakwaan tentang industri kelapa sawit yang besar ini, jadi kami akan terus melakukan siasatan terhadap mana-mana syarikat lain dalam industri ini yang menjadi kebimbangan kami," katanya.

"Kami ingin menggesa komuniti pengimport AS supaya melakukan usaha sewajarnya dan memastikan rantaian bekalan adalah bebas daripada sebarang buruh paksa, dan kami menggalakkan pengguna AS supaya mengemukakan pertanyaan mengenai dari mana asal produk mereka.”

Maklum balas syarikat

Susulan pengumuman CBP itu, FGV Holdings Berhad memberitahu BeritaBenar di Kuala Lumpur bahawa dakwaan berlakunya salah guna tenaga buruh yang dinyatakan agensi AS itu adalah pada 2015 dan perkara itu telah pun diselesaikan.

"FGV telah memperjelaskan bahawa rangkaian peristiwa yang melibatkan kontraktor FGV yang pada dasarnya berlaku pada 2015 dan telah pun diselesaikan," kata Azhar Abdul Hamid, Pengerusi FGV Holdings Berhad pada Rabu.

"Sekiranya mereka [AS] mahu memanjangkan perkara ini yang kini tidak lagi relevan, itu adalah budi bicara mereka."

Azhar merujuk kepada laporan siasatan Wall Street Journal pada 2015 mengenai amalan buruh dalam syarikat itu, yang pada ketika itu dikenali sebagai Felda Global Ventures. Pada masa itu, WSJ melaporkan dakwaan berlakunya salah guna kuasa di ladang kelapa sawit syarikat tersebut termasuk buruh paksa, penahanan upah, ikatan hutang, keadaan kawasan pekerjaan yang berbahaya dan tiadanya rawatan perubatan atau pampasan.

Smith berkata apa yang diketahui CBP, FGV Holdings dan Felda Global Ventures adalah satu dan entiti yang sama dari segi skop siasatan walaupun terdapat perubahan pada nama.

Pada 2018, setelah melakukan siasatan sendiri berdasarkan artikel WSJ, Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) telah menyekat kemasukan produk syarikat itu dan menggantung keanggotaannya. Sekatan itu turut dikenakan terhadap beberapa ladang syarikat tersebut tahun ini, menurut beberapa laporan.

Berpejabat di Zurich, RSPO adalah entiti multinasional yang memantau kesan ekologi dan amalan buruh dalam industri, tetapi sering dikritik sebagai tidak berkesan oleh kumpulan alam sekitar.

Tuduhan terbaru

Sementara itu, AP dalam laporan siasatannya yang diterbitkan pada 24 September mendakwa berlakunya "eksploitasi meluas dalam industri kelapa sawit, daripada ikatan hutang hinggalah perhambaan secara terang-terangan."

Wartawannya telah menemu bual lebih 130 pekerja dan bekas pekerja di 24 syarikat di seluruh Malaysia dan Indonesia, termasuk FGV Holdings, kata agensi berita itu.

"Mereka menggambarkan perbagai bentuk eksploitasi, dengan penganiayaan yang paling serius termasuk menggunakan buruh kanak-kanak, perhambaan secara terang-terangan dan dakwaan berlakunya rogol," kata agensi berkenaan dalam laporan susulannya.

Dalam maklum balasnya, FGV Holdings mengeluarkan kenyataan pada 26 September yang  menyatakan bahawa syarikat berkenaan komited kepada menghormati hak asasi manusia dan mendukung piawaian buruhnya.

“Agenda kelestarian dan hak asasi manusia FGV tetap menjadi keutamaan dengan kami terus mendedikasikan tenaga untuk meningkatkan amalan buruh kami," kata kenyataan syarikat itu.

Syarikat berkenaan menyatakan bahawa ia telah melaksanakan rancangan jangka panjang "dengan antara lainnya bertujuan memperkukuhkan lagi pelbagai aspek amalan buruhnya seperti proses pengambilan pekerja, program latihan hak asasi manusia, keadaan persekitaran tempat kerja dan kehidupan serta mekanisme pengaduan.”

Aktivis salahkan kawalan longgar

Aktivis Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa pekerja dalam industri kelapa sawit di negara itu bekerja dalam keadaan yang tidak menentu dengan ada yang dibayar upah rendah, kurang penjagaan kesihatan serta tinggal dan bekerja dalam persekitaran yang tidak selamat dan tidak bersih.

Aktivis berkenaan menyalahkan kerajaan Malaysia dengan mendakwa ia tidak melakukan yang secukupnya bagi memastikan keselamatan dan piawaian yang betul dilaksanakan di ladang kelapa sawit.

Tiada juga hukuman bagi sebarang pelanggaran undang-undang berkenaan, kata mereka.

Alex Ong, penyelaras di Migrant Care Malaysia, berkata kerajaan  kedua-dua negara itu perlu serius semasa menyiasat dakwaan amalan buruh yang buruk oleh syarikat minyak sawit.

"Kenal pasti jurang dasar, perkenalkan dasar yang telus dan pelaksanaan prosedur operasi standard dengan pendekatan lembut tetapi tegas, ketepikan politik demi tadbir urus yang baik," kata Ong kepada BeritaBenar.

FGV Holdings "mesti telus dan terbuka kepada pemeriksaan umum," katanya.

Pegawai kerajaan Malaysia tidak melayani permintaan BeritaBenar bagi mengulas perkara itu.

Semasa mengulas laporan AP, Persatuan Minyak Sawit Malaysia dalam satu kenyataan berkata bahawa laporan itu mengandungi  tuduhan serius, yang jika benar, "merupakan pelanggaran serius" dalam undang-undang pekerjaan dan imigresen Malaysia.

Penulis artikel AP itu perlu memberikan bukti kepada pihak berkuasa berkenaan supaya mereka boleh menyiasat  perkara itu, kata persatuan tersebut.

Ia turut menyalahkan pesaing minyak sawit seperti pengeluar canola dan rapeseed serta "kekuatan kewangan" mereka untuk melakukan "serangan berterusan terhadap industri itu, walaupun pada hakikatnya ladang kelapa sawit dikendalikan dengan lebih lestari pada masa ini."

Menurut kenyataan itu para pesaing berkenaan "amat sedar bahawa kelapa sawit boleh menggantikan semua minyak yang boleh dimakan, yang memungkinkan berjuta-juta hektar tanah pertanian di negara beriklim sejuk kembali menjadi hutan."

 

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

aneez hafizah
Aug 25, 2021 10:15 PM

penulisan yang baik