Amerika Syarikat tarik balik sekatan import sarung tangan getah syarikat Malaysia

Supermax dan kesemua anak syarikatnya dibenarkan mengimport sarung tangan ke Amerika Syarikat berkuatkuasa serta merta, kata Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan negara itu.
Ili Shazwani Ihsan
2023.09.20
Kuala Lumpur
Amerika Syarikat tarik balik sekatan import sarung tangan getah syarikat Malaysia Seorang pekerja sedang memeriksa sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan di sebuah kilang di Shah Alam, pinggir Kuala Lumpur, 26 Ogos 2020.
[Mohd Rasfan/AFP]

Amerika Syarikat telah menarik balik larangan import sarung tangan getah keluaran syarikat dari Malaysia – Supermax - berkuatkuasa serta merta, demikian menurut agensi kastam negara itu pada Selasa.

Supermax bersama tiga lagi anak syarikatnya yang telah dikenakan sekatan sejak 2021, kini boleh meneruskan aktiviti eksport produk mereka bermula Isnin, dengan syarat mematuhi undang-undang yang ditetapkan, kata Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang agensi berkenaan.

CBP dalam pengumumannya menyatakan keputusan menarikbalik Perintah Penahanan Pelepasan, atau dikenali sebagai WRO yang dikeluarkan pada 21 Oktober, 2021 adalah berikutan kejayaan Supermax dalam pemulihan petunjuk buruh paksa yang dilaksanakan oleh rantaian bekalan syarikat terbabit.

“Tindakan yang diambil hari ini jelas menunjukkan impak berterusan hasil dari usaha penguatkuasaan oleh pihak CBP dalam memacu pemulihan serta menamatkan amalan buruh paksa dari rantaian bekalan,” kata Pesuruhjaya Tugas Rasmi Kanan CBP, Troy A Miller.

Beliau menegaskan bahawa “setiap orang berhak untuk menerima layanan berperikemanusiaan dan bermaruah tidak kira siapa pun mereka atau di mana mereka tinggal, dan kerana itulah tugas [yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa] ini penting.”
Supermax dalam satu kenyataan di Bursa Saham Malaysia pada Rabu mengumumkan khabar gembira berkaitan keputusan CBP ke atas syarikat tersebut.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Supermax Corporation Bhd dan seluruh anak syarikat penuh miliknya kini dibenarkan untuk meneruskan kembali akiviti mengeksport sarung tangan pakai buangnya ke AS berkuatkuasa 18 September, 2023.”

Dalam pengumuman tersebut turut dinyatakan keputusan CBP adalah “pengikhtirafan terhadap kejayaan Supermax dalam usaha mengatasi isu indikator buruh paksa yang dikenalpasti dalam rantaian bekalannya.”

Pada 13 April lalu, Supermax dalam satu kenyataan media menggesa bekas pekerja asing untuk memohon pembayaran balik apa-apa yuran yang dibayar bagi mendapatkan pekerjaan di syarikat itu dalam usaha untuk menyelesaikan transformasi dasar buruhnya.

“Supermax sedang meneruskan usaha yang telah dilakukan di Nepal dan Bangladesh, untuk meminta bekas pekerja yang telah membayar yuran untuk mendapatkan pekerjaan untuk memohon pembayaran balik.

“Mencari setiap pekerja yang membayar yuran untuk mendapatkan pekerjaan adalah matlamat kami bagi melengkapkan transformasi polisi buruh syarikat.

“Apa yang dilakukan ini adalah menjangkaui apa yang telah dibuat oleh syarikat lain dalam situasi yang sama,” kata Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax Stanley Thai.

CBP mula mengeluarkan WRO ke atas Supermax dan anak-anak syarikat penuh miliknya pada 2021 setelah mengenalpasti kehadiran 10 daripada 11 petunjuk penggunaan buruk paksa berdasarkan garispanduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam operasi pembuatan syarikat tersebut.

Susulan sekatan yang dikenakan, Supermax dalam kenyataan menerusi Bursa Saham Malaysia pada ketika itu menegaskan bahawa langkah segera dan wajar bagi menangani isu buruh paksa di mana memenuhi 11 piawaian ILO berhubung pekerja migran telahpun dimulakan oleh syarikat itu sejak tahun 2019.

Piawaian terbabit termasuk sekatan pergerakan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, situasi tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk serta kerja melebihi masa yang berlebihan.

BenarNews pada 21 Oktober, 2021 melaporkan bahawa syarikat tersebut menyatakan akan mempercepatkan lagi proses untuk memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh ILO dan telahpun melantik sebuah firma antarabangsa pada 11 Oktober untuk melakukan audit berhubung pekerja asing di kilangnya.

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Perdagangan Pejabat CBP, AnnMarie R Highsmith menegaskan kewaspadaan agensi itu terhadap isu pelaksanaan WRO keatas Supermax menunjukkan komitmen agensi tersebut dalam menghapuskan eksploitasi buruh paksa.

“Kewaspadaan kami dalam isu ini jelas menunjukkan bukan sahaja kepada industri terlibat malah kepada dunia bahawa kami komited sepenuhnya dalam meningkatkan standard etika barangan yang masuk ke AS selain membanteras penggunaan buruh paksa,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.