Malaysia Tahan 93 Rakyat China Terbabit Sindiket Judi Atas Talian, Penipuan

Nisha David
2020.04.22
Kuala Lumpur, Malaysia
200422-MY-China-Judi1000.jpg Pihak berkuasa kesihatan Malaysia bersama Polis DiRaja Malaysia membuat saringan COVID-19 keatas warga China yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian sebelum mereka dibawa ke pusat tahanan, di Ibupejabat Polis Daerah Ampang, Selangor, 22 April, 2020.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia telah membuat beberapa siri tangkapan melibatkan warga China yang dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian dan pelaburan dalam talian yang menyasarkan dan menipu rakyat di China.

Polis DiRaja Malaysia telah menahan kira-kira 95 warga China dalam siri tangkapan di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata dalam tangkapan terkini pada Selasa, seramai 25 warga China berumur antara 18 hingga 45 tahun, berasal dari wilayah Jianxi dan Guizhou ditahan hasil serbuan keatas sebuah rumah banglo di Ampang berdekatan Kuala Lumpur.

"Kesemua 25 warga China ini bekerja dengan sindiket perjudian atas talian yang mampu mengaut keuntungan sekitar RM135,000 (AS$30,900) dengan hanya beroperasi dari satu bilik yang dilengkapi komputer dalam banglo yang disewakan pada harga RM16,000 ringgit (AS$3,667) sebulan," katanya kepada BeritaBenar.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah melalui permainan judi serta pertaruhan dalam talian dengan mempromosinya dalam aplikasi WeChat dan Text Message.

"Permainan yang ditawarkan ialah Lucky Draw Canada 28 dan Beijing 28 berdasarkan angka ‘big’ dan ‘small’ dengan mensasarkan kaki judi di negara China.

“Permainan itu senang dimainkan dan peluang untuk menang tinggi, iaitu menggunakan Kod QR kepada pelanggan untuk mencuba nasib dengan segala transaksi perjudian dipercayai dari negara China menggunakan mata wang Renminbi.

“Mereka yang ditahan memasuki Malaysia sejak Februari lalu menggunakan visa pelancong, dan visa mereka juga didapati telahpun tamat tempoh,” kata Huzir Mohamed semasa dihubungi.

Polis turut merampas 74 buah telefon bimbit, 19 komputer riba, satu komputer peribadi, dua router dan satu modem dari sindiket tersebut.

Pelaburan antarabangsa

Sementara itu, di Iskandar Puteri iaitu sebuah daerah di Johor, sebuah negeri di selatan Malaysia, pihak berkuasa negara itu telah menahan 14 lelaki warga China yang dipercayai menjadi ahli kumpulan sindiket pelaburan antarabangsa melalui penjualan dan pembelian mata wang digital (bitcoin) yang juga mensasarkan rakyat China.

"Sindiket itu turut berselindung di sebalik rumah banglo di kawasan perumahan elit dan berpagar di Horizon Hill, sebagai markas operasi. Semua lelaki ini bekerja sebagai pegawai pemasaran yang berpangkalan di negara China.

“Mereka akan melakukan kegiatan penipuan pelaburan membabitkan jual beli bitcoin yang tidak wujud dengan menyasarkan warganegara China sebagai mangsa. Polis melakukan risikan hampir dua bulan sebelum melakukan serbuan di lokasi itu," menurut sumber yang dekat dengan siasatan yang tidak boleh dinamakan kerana tidak dibenarkan memberi kenyataan kepada media.

Menurutnya, sindiket menggunakan modus operandi dengan mempromosikan pakej pelaburan terhadap mangsa melalui aplikasi WeChat dan QQ.

"Ahli sindiket ini menggunakan teknik menyamar sebagai mentor pelaburan bagi meyakinkan mangsa dan suspek yang ditahan ini tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," kata sumber itu lagi.

Sehari sebelum itu, polis Bukit Aman turut menahan 54 warga China termasuk empat wanita yang bekerja dengan sindiket yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di Puchong, Selangor iaitu kira-kira 19 kilometer dari Kuala Lumpur.

Huzir turut mengesahkan penahanan itu sambil menyatakan bahawa sindiket berbabit turut menggunakan banglo mewah tiga tingkat sebagai pusat panggilan bagi kegiatan itu dengan menjadikan tingkat bawah banglo terbabit sebagai ruang makan, tingkat dua untuk tidur dan tingkat atas sebagai tempat bekerja.

“Siasatan mendapati mereka terlibat dalam kegiatan mempromosi judi dalam talian melalui aplikasi WeChat, mensasarkan pelanggan warga China dengan keuntungan sehari sekitar RM350,000 (AS$80, 225) sejak tiga bulan lalu,” katanya sambil menambah sindiket itu juga mampu mengaut keuntungan mencecah RM80,000 (AS$18,337) bagi tempoh sehari.

Beliau juga berkata sindiket itu menyewa banglo tersebut antara RM3,000(AS$687) dan RM4,000(AS$916) sebulan dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemilik banglo serta individu yang menghantar makanan kepada kesemua suspek.

Huzir juga memberita yang kesemua suspek perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibawa ke lokap untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan kesihatan mustahak kerana kita (polis) tidak mahu bawa suspek tidak sihat ke lokap, jika positif (COVID-19) ia boleh merebak,” katanya.

Bagi kes di Ampang dan Puchong, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (C)Akta Pertaruhan 1953 dengan boleh didenda sehingga RM50,000(AS$11,460) bagi setiap peranti yang dirampas atau penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Manakala kes di Johor, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka dalam ketiga-tiga kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 atas kesalahan imigresen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.