Pengarang Komik Pro-China Letak Jawatan Selepas Kerajaan Haram Komik
2019.10.24
Kuala Lumpur, Malaysia
Pengarang komik kontroversi pro-China bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ pada Khamis telah meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (JBC) iaitu sehari selepas komik itu diharamkan oleh pentadbiran Putrajaya.
Pentadbiran Putrajaya pada Rabu telah mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap komik tersebut yang diterbitkan dalam bahasa Melayu - Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama, Inggeris dan Cina yang dikatakan mengandungi propaganda komunisme dan sosialisme.
Sehari selepas tindakan kerajaan Pakatan Harapan itu, Hew Kuan Yau, pengarang komik berkenaan tampil membuat pengumuman yang beliau meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif JBC berkuat kuasa serta merta dan muktamad.
"Untuk memastikan operasi JBC berjalan lancar, saya telah menyerahkan peletakan jawatan saya kepada pengerusi, Tan Kok Wai. Ia berkuat kuasa serta merta dan keputusan saya adalah muktamad," katanya yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif JBC pada Januari lalu.
Hew yang merupakan bekas ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertindak keluar daripada parti itu selepas mencetuskan kontroversi berkenaan kenyataan beliau yang menyatakan bahawa Laut China Selatan adalah milik China pada 2016.
Kementerian dalam kenyataannya itu berkata, “KDN pada hari ini [Rabu] telah mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan dalam versi bahasa Melayu, Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U (A) 288/2019”
“Warta Perintah Larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut berkata, penerbitan komik tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin boleh mengemparkan fikiran orang ramai.
“Kandungan penerbitan ini antara lain cuma mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis. Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia,"
“Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia,” tambah kenyataan itu lagi.
Sesiapa yang melanggari perintah larangan tersebut boleh disabitkan penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000(AS$4,779) atau kedua-duanya sekali seperti yang ditetapkan dibawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kandungan kontroversi
Antara kandungan kontroversi yang tertera dalam komik itu ialah mengenai gambaran orang Melayu yang menyatakan rasa simpati terhadap komuniti Islam Uyghur di China yang dianggap sebagai “radikal”.
Komik Pro-China yang dikarang Hew dan diterbitkan oleh Asia Comic Cultural Museum mengundang kecaman awal minggu ini selepas ia diedarkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia secara percuma dengan difahamkan lebih 3,000 naskah komik telahpun diedarkan.
Kementerian Pendidikan Malaysia kemudiannya memberitahu yang pengedaran komik tersebut tidak pernah diluluskan dan mengarahkan sekolah untuk tidak menerimanya.
Perkara itu telah menarik kecaman hebat terhadap Hew dan juga dari dalam DAP.
Hew dalam kenyataan media beliau itu turut berkata, “Dalam tempoh saya memegang jawatan sebagai CEO selama 8 bulan, saya telah memberikan sepenuh tumpuan untuk memperkuatkan ekonomi dan dagangan, mempromosikan hubungan antara dua negara secara pertukaran budaya Malaysia dan China yang boleh dikaitkan dengan Inisiatif Belt and Road.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang peranan untuk mempromosikan ideologi Beijing.
"Saya percaya China akan menjadi pengaruh yang hebat pada masa akan datang," katanya "tetapi pada masa ini, kita tidak perlu mempromosikan idea dan ideologi China sebaliknya kita perlu mencari cara bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripada mereka."
Rampas komik
Dalam pada itu, stesen televisyen tempatan Malaysia, Astro Awani melapurkan yang KDN telah merampas 13 naskah komik Belt and Road Initiative for Win-Winism’ versi bahaas Cina di George Town, Pulau Pinang pada Khamis.
Rampasan itu dibuat semasa pemeriksaan di Muzium Kebudayaan Komik Asia dan menurut sumber yang dipetik stesen berkenaan sebagai berkata, 'Rampasan dibuat berikutan pihak KDN mendapati komik berkenaan masih lagi dipamerkan dan dijual di premis berkenaan,'
Dalam pada itu kartunis satira Malaysia, Zulkiflee Anwarul Haque atau terkenal dengan nama Zunar menyuarakan bantahannya terhadap pengharaman komik kontroversi itu.
“Saya nak tegaskan, saya sendiri mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan kandungan komik itu, tapi saya sangat-sangat membantah pengharamannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata komik dan kartun bergantung kepada interpretasi pembaca, justeru bukanlah menjadi masalah jika seseorang tidak bersetuju dengan kandungan sesuatu komik, namun ia tidak patut dijadikan asas untuk mengharamkan komik tersebut.
Tak suka? Jangan baca!” kata Zunar, yang bukunya banyak diharamkan di era pentadbiran Barisan Nasional.
Kartunis itu bagaimanapun mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju komik tersebut diedarkan ke sekolah-sekolah.