Malaysia perluas aktiviti carigali minyak di Laut Cina Selatan, China memerhati
2024.10.02
Kuala Lumpur
Tindakan Malaysia memperluaskan operasi carigali minyak dan gas dalam kawasan perairan Laut Cina Selatan yang menjadi pertikaian boleh menarik tumpuan lebih ketat daripada China dengan kapal peronda pantainya melaksanakan pemantauan setiap hari, menurut laporan sebuah badan pemikir AS pada Selasa.
Menurut hasil kajian terbaru oleh Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI), kapal-kapal ronda milik agensi pengawal pantai China telah menjalankan rondaan hampir setiap hari di kawasan perairan yang didakwa Malaysia sebagai sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif negara itu, terutamanya di sekitar Gugusan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) berhampiran negeri Sarawak yang diketahui kaya dengan sumber petroleum.
Walaupun situasi tegang masih berada dalam kawalan, penganalisis memberikan amaran mengenai risiko peningkatan rondaan China yang dikatakan mampu menggugat kepentingan tenaga negara itu di masa depan.
"Sejak 1 Januari hingga 30 September, AMTI mendapati sembilan buah kapal berbeza [milik pengawal pantai China) menjalankan rondaan di kawasan EEZ Malaysia serta sempadan benua (continental shelf)," kata laporan itu.
"Sekurang-kurangnya satu kapal Pengawal Pantai China akan berada di lokasi hampir setiap hari, dan kekal di kawasan berkenaan sehingga tempoh enam minggu sebelum digantikan kapal lain."
Kapal-kapal berkenaan selalu didapati berada dalam lingkungan 1,000 meter dari pelantar-pelantar minyak utama di Timi, Kasawari dan Jerun yang dioperasikan syarikat petroleum negara Petronas yang terletak berhampiran Gugusan Beting Patinggi Ali, kata AMTI.
Kawasan beting tersebut terletak kira-kira 100 kilometer (62.14 batu) dari garisan pantai Malaysia, dan negara itu bertegas bahawa ia adalah sebahagian daripada EEZ miliknya seperti termaktub di dalam peta kawasannya pada tahun 1979. Bagaimanapun, kawasan berkenaan juga terletak di dalam peta "9 garis putus-putus" (nine-dash line), iaitu peta kontroversi yang diterbitkan China untuk menuntut sejumlah besar kawasan di Laut China Selatan.
"Dengan peluasan aktiviti carigali Malaysia dan ketegangan antara China dan Filipina yang mungkin akan mereda, Beijing boleh menambah tekanan ke atas pengeluaran hidrokarbon oleh Malaysia," kata AMTI.
Walaupun dengan kehadiran kapal-kapal ronda milik China, Malaysia telah berterusan meningkatkan aktiviti pencarian minyak dan gas di Laut Cina Selatan dengan Petronas menggali sebanyak 23 telaga baru pada 2023, bilangan tertinggi pernah direkodkan sejak 2015.
Menurut syarikat itu, usaha berkenaan telah membawa kepada penemuan sumber minyak luar pesisir yang dianggarkan melebihi 1 bilion tong, sesuatu yang penting untuk ekonomi Malaysia.
Pada 2024, Malaysia telah menggali sejumlah 15 telaga penerokaan di perairan Sarawak, menurut rekod awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut.
BenarNews telah menghubungi Petronas bagi mendapatkan komen samada syarikat itu pernah berhadapan dengan peningkatan aktiviti kapal-kapal China berhampiran tapak penggalian telaga mereka, namun masih belum mendapat sebarang maklumbalas.
Laut Cina Selatan merupakan isu sensitif bagi negara-negara yang mempunyai tuntutan wilayah bertindih, iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, Taiwan dan China, dengan 9 garis putus-putus menjadi masalah utama antara mereka.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan lepas juga telah mempertahankan aktiviti penerokaan minyak dan gas dilaksanakan Malaysia, dengan penegasan bahawa kesemua operasi tersebut berlaku di dalam kawasan perairan Malaysia. Kenyataan itu susulan kebocoran satu nota diplomatik oleh Beijing yang membantah aktiviti dijalankan Malaysia.
"Kita telah menjawab dengan jelas bahawa segala aktiviti penerokaan minyak dilakukan di dalam kawasan perairan kita," kata Anwar semasa Forum Ekonomi Timur di Rusia. "Kita telah memaklumkan Beijing, dan mereka telah menghantar beberapa bantahan serta mendakwa bahawa kawasan berkenaan milik mereka."
Sementara itu, hubungan di antara China dengan Filipina semakin tegang baru-baru ini berkaitan dengan pertikaian mereka mengenai Kepulauan Spratly, tetapi kedua-dua belah pihak dilaporkan cuba mencari jalan untuk meredakan suasana.
China dan Filipina berkata mereka telah mencapai "persetujuan sementara" berkaitan misi bekalan semula oleh Filipina ke Second Thomas Shoal, di mana ia mempunyai sebuah kem tentera (outpost) yang dibantah China, tetapi masih terdapat beberapa perkara spesifik di dalam perjanjian itu yang tidak dapat dipersetujui.
Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan semasa berucap di Perhimpunan Agung PBB pada Sabtu berkata semua pihak yang menuntut kawasan di Laut Cina Selatan "mesti mengejar visi yang lain secara bersama-sama".
"Kita tidak boleh membenarkan situasi ini didominasi perasaan curiga yang semakin meningkat. Ia tidak membawa sebarang faedah kepada mana-mana pihak. Ia hanya akan menjejaskan lagi keselamatan dan kestabilan perdagangan dunia...Kita mesti mengutamakan kewujudan secara damai," kata beliau.
Tekanan Beijing
Ray Powell, pengarah inisiatif maritim SeaLight di Universiti Stanford, berkata bilangan pengawal pantai China berhampiran Gugusan Beting Patinggi Ali berkemungkinan akan semakin meningkat dari semasa ke semasa kerana Beijing akan meneruskan usahanya untuk mengembangkan kawasan.
"Saya rasa mereka akan kekal seperti ini dalam masa terdekat," kata Powell kepada BenarNews.
"Tetapi, pada jangka panjang, Malaysia akan melihat lebih banyak kapal di dalam EEZnya apabila China meningkatkan bilangan armada pengawal pantai dan tentera bagi menyokong usahanya melebarkan wilayah."
Seorang lagi penganalisis, Shahriman Lockman, berkata rondaan dibuat pengawal pantai China mungkin tidak akan memaksa Malaysia untuk menghentikan operasi penerokaan bahan api, atau sekurang-kurangnya pada masa sekarang.
"Kita telah sekian lama mencapai satu keadaan seimbang dalam interaksi antara Malaysia dengan China," kata Shahriman, yang merupakan penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia kepada BenarNews. "China akan terus cuba mengukuhkan tuntutannya di kawasan berkenaan sementara Malaysia juga akan mempertingkatkan aktiviti minyak dan gasnya."
"Ini adalah sebab utama kenapa Malaysia memilih untuk senyap dalam isu tuntutan bertindih dan ia akan terus begitu selagi mana Malaysia boleh menjalankan aktiviti penggalian."
Bagaimanapun, Lockman mengingatkan bahawa keseimbangan berkenaan mungkin tidak akan bertahan untuk jangka masa panjang.
"Samada cara ini adalah sesuatu yang mampan, ia adalah satu perkara yang boleh didebatkan. Namun, buat masa ini, tiada insentif untuk Malaysia mengubah caranya," kata beliau.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.