Melaka Tamatkan Projek Pelabuhan Disokong China Bernilai AS$10.5 Bilion

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-11-18
Share
201118-MY-construction-620.JPG Kelihatan bangunan-bangunan kediaman sedang dibina di Johor, Malaysia, 20 Ogos 2018.
(Reuters)

Negeri Melaka di Malaysia menamatkan projek pembangunan pelabuhan yang disokong China bernilai AS$10.5 bilion ekoran kegagalan syarikat pemaju menyiapkan projek itu mengikut tempoh ditetapkan, kata kenyataan pejabat ketua menteri.

Syarikat Malaysia, KAJ Development Sdn. Bhd., yang disokong oleh PowerChina milik China, perlu segera mengembalikan tapak seluas 609 ekar itu di mana ia bersetuju untuk membina taman ekonomi dan tarikan pelancongan di pulau-pulau buatan berkenaan.

Kenyataan pejabat ketua menteri menyatakan bahawa perjanjian projek Melaka Gateway, yang ditandatangani pada 4 Oktober 2017, telah tamat tempoh selepas tiga tahun pada 3 Oktober.

“Syarikat pemaju KAJ Development Sdn. Bhd. didapati gagal menyiapkan projek tersebut. Oleh itu, satu notis penamatan perjanjian telah dikemukakan kepada syarikat itu pada 16 November,” menurut kenyataan media pejabat ketua menteri itu.

Pejabat ketua menteri enggan mengulas ketika dihubungi oleh BeritaBenar. Selain itu, pegawai KAJ dan Kedutaan China juga tidak membalas pertanyaan e-mel dan pesanan teks daripada BeritaBenar.

Syarikat berdaftar tempatan, KAJ, telah diberi kontrak untuk membangunkan semula Pulau Melaka, iaitu sebuah pulau buatan di Selat Melaka pada 2011, yang akan menjadi sebahagian daripada projek Melaka Gateway.

Pada 13 Mei 2017, KAJ menandatangani perjanjian kerjasama dengan tiga syarikat China –PowerChina International Group Ltd., Shenzhen Yantian Port Group dan Rizhao Port Group - untuk membangunkan tiga pulau lain bagi mewujudkan Melaka Gateway.

Semasa perjanjian itu dimeterai pada Oktober 2017, perdana menteri ketika itu, Najib Razak, mengumumkan sokongannya terhadap projek Melaka Gateway dengan menyatakan bahawa ia turut disokong oleh PowerChina, yang terletak di bawah State Power Investment Corp milik kerajaan China.

Kemudian, berlaku perubahan kerajaan di Malaysia pada Mei 2018.

Pada 2 Julai pada tahun itu, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu wartawan bahawa projek itu ditangguhkan berikutan isu-isu yang melibatkan perjanjian dengan pelabur China. Beliau tidak memberikan butiran lain kecuali memaklumkan bahawa pulau pertama dalam projek empat pulau itu sudah pun siap 60 peratus.

Sepuluh hari kemudian, Menteri Pengangkutan ketika itu, Anthony Loke, menyuarakan kebimbangannya.

"Kami mendapati ada beberapa masalah dengan projek ini. Tidak nampak sebarang perkembangan sama sekali, ” katanya dalam sidang media pada 12 Julai 2018 di Klang, menurut laporan media tempatan.

Dirancang sebagai projek marina swasta terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai kemudahan untuk melabuhkan empat kapal pesiaran serentak, sebuah taman perdagangan dan pelancongan serta zon perdagangan bebas, Melaka Gateway menyaksikan lesennya untuk beroperasi sebagai sebuah pelabuhan telah ditarik balik pada 5 Oktober 2018 oleh kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketika itu. Sebab pembatalan lesen itu tidak dinyatakan kepada umum.

Kerajaan pimpinan Mahathir tumbang pada Februari 2020.

Dalam tindak balasnya, syarikat-syarikat pemaju itu mengemukakan rayuan pada 13 Mac 2019 bagi meminta pengisytiharan bahawa pengumuman penarikan balik lesen itu adalah terbatal dan menuntut ganti rugi berjumlah RM139 bilion ($34 bilion) kerana kelewatan menjalankan projek akibat daripada keputusan itu.

Dua bulan kemudian, Kementerian Pengangkutan membenarkan pengembalian lesen itu, yang mendorong KAJ untuk menarik balik rayuannya.

Bukan Dalam Satu Jalur, Satu Laluan

Berbeza dengan laporan yang menyatakan Melaka Gateway adalah sebahagian daripada projek Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) China, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, menyatakan bahawa ia adalah usaha sama swasta di luar pemantauan kerajaan China.

"Nampaknya, sejak awal lagi ini adalah projek swasta China-Malaysia  yang berusaha gigih untuk menyertai laluan satu daripada apa yang dikatakan sebagai syarikat gabungan OBOR, tetapi ia tidak pernah diperakukan," kata Oh kepada BeritaBenar pada Rabu. "Oleh itu, ia mengikut laluannya sendiri dan gagal berkembang.”

Oh berkata projek OBOR yang lain termasuk East Rail Rail Link mungkin diteruskan.

OBOR adalah program impian hebat Beijing untuk membina rangkaian pelabuhan, lebuh raya, landasan kereta api, jambatan dan loji tenaga global yang menghubungkan China ke pasaran luar negara serta negara-negara lain yang kelak dapat membekalkan sumber kepada negara paling ramai penduduk di dunia itu.

Laporan pada 2019 oleh Francis E. Hutchinson, felo kanan dan penyelaras Program Pengajian Malaysia di Institut Pengajian Asia Tenggara Yusof Ishak (ISEAS) di Singapura, menyatakan bahawa terdapat kebimbangan ekonomi mengenai projek Melaka Gateway itu. Beliau menarik perhatian kepada jarak kedekatan projek itu dengan pelabuhan-pelabuhan lain di Malaysia.

"Pada masa ini, terdapat kelebihan kapasiti dalam sektor pelabuhan Malaysia dan pertumbuhan lalu lintas kapal-kapal kontena ke rantau ini juga telah meningkat," katanya.

Hutchinson berkata Mahathir pernah menyatakan bahawa negara itu tidak memerlukan pelabuhan lagi.

China, bersama-sama dengan Amerika Syarikat, adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia. Pada 2019, kerajaan Malaysia meluluskan pelaburan bernilai $3.74 bilion (RM15.28 bilion) dari China, menurut data yang dikeluarkan susulan lawatan Menteri Luar China Wang Yi pada Oktober.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut <a href='/english/about/terms-of-use'>Syarat Penggunaan BeritaBenar</a>. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.