NGO Bidas TPM Berhubung Komen Kes Terbaru Perkahwinan Kanak-Kanak
2018.09.18
Kuala Lumpur, Malaysia
NGO tempatan dan UNICEF pada Selasa mendesak kerajaan baru Malaysia supaya melindungi kanak-kanak bawah umur daripada berkahwin, selepas laporan berita menyatakan bahawa mahkamah syariah di negeri Kelantan membenarkan seorang lelaki berusia 44 tahun untuk menikahi seorang gadis berusia 15 tahun.
Pertubuhan bukan kerajaan Malaysia secara khususnya membidas Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berhubung komennya mengenai kes itu di mana beliau menyatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan perkahwinan itu.
"Dalam maklum balas yang mengejutkan itu, Timbalan Perdana Menteri memberi alasan mengapa perkahwinan kanak-kanak berlaku dan mendakwa Putrajaya tidak berkuasa untuk campur tangan," kata Latheefa Koya, pengarah eksekutif kumpulan peguam yang memperjuangkan hak, Lawyers for Liberty, dalam satu kenyataan.
Perkahwinan itu adalah yang kedua sejak beberapa bulan lalu di Kelantan, negeri yang konservatif agama, yang melibatkan budak perempuan bawah umur. Kes pertama melibatkan seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang berasal dari Thailand dan seorang lelaki Kelantan berusia 41 tahun, yang dinikahkan seorang imam pada pertengahan Jun lalu di selatan Thailand, negara jiran Malaysia.
"Maklum balas daripada TPM akan menjadi lesen bagi pedofilia di seluruh negara untuk mempersiap, menyakin atau memaksa kanak-kanak untuk ‘berkahwin’ bagi tujuan melakukan persetubuhan dengan mereka," katanya sambil meminta Wan Azizah memastikan polis menyiasat sama ada kes di Kelantan itu adalah satu daripada langkah persiapan seksual yang mungkin melanggar undang-undang kanak-kanak negara.
Latheefa merujuk kepada kenyataan Wan Azizah pada Selasa mengenai pernikahan terbaru itu yang melibatkan budak perempuan bawah umur di Kelantan. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan persekutuan sedang berusaha untuk menaikkan usia minimum bagi perkahwinan kepada 18 tahun tetapi beliau mengingatkan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan keputusan mahkamah syariah negeri berhubung perkahwinan membabitkan gadis berusia 15 tahun itu.
"Mereka telah berkahwin dengan izin Mahkamah Syariah, jadi kita perlu mematuhinya kerana ia mengikut peraturan negeri," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di KiniTV.
'Kita mahu selamatkan gadis ini'
Wan Azizah, yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata, beliau tidak bersetuju dengan perkahwinan bawah umur tetapi, pada masa yang sama, beliau memahami keadaan kehidupan keluarga berkenaan.
"Jika anda tahu cara hidup mereka, anda akan faham mengapa ia berlaku.
Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu bagaimanapun, para pegawai kementeriannya sedang meneliti kes itu dan telah bertemu dengan pengantin perempuan dan ibu bapanya.
"Kita mahu menyelamatkan gadis ini. Kita boleh melakukannya jika kita semua mengumpulkan sumber dan memberi sokongan penuh," katanya.
Wan Azizah mengulas berita mengenai perkahwinan itu, yang didedahkan oleh akhbar New Straits Times. Ia melaporkan bahawa Mahkamah Syariah di Kelantan, yang kerajaannya diterajui Parti Islam Se-Malaysia (PAS), membenarkan lelaki berusia 44 tahun itu untuk menikahi gadis berusia 15 tahun itu sebagai isteri keduanya pada Julai lalu.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang menetapkan usia minimum 16 tahun bagi perempuan untuk berkahwin, perkahwinan seseorang Muslim berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri, yang juga boleh meluluskan perkahwinan bawah umur dengan syarat alasannya kukuh dan sah.
Menurut laporan akhbar itu, keluarga gadis tersebut bersetuju untuk menikahkan anak mereka itu - yang bongsu daripada 13 beradik - kepada lelaki tersebut, yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat, kerana "mereka mahukan dia mempunyai kehidupan yang lebih baik."
Bapanya, Che Rahim Che Deraman, 60, berkata, dia tidak mahu anaknya hidup dalam kesusahan. Dia mempunyai sebuah kedai runcit di Tumpat, berdekatan dengan sempadan Thailand-Malaysia, dan dilaporkan hidup dalam kemiskinan dengan hanya memperoleh antara RM200 dan RM300 (AS$48 hingga AS$72) sebulan.
Wakil UNICEF Gesa Haramkan Kahwin Bawah Umur
NGO lain yang turut berang dengan perkahwinan bawah umur terbaru itu adalah Sisters of Islam, yang menggesa kerajaan baru supaya mengambil tindakan.
"Kerajaan tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan bahawa mereka 'tidak berdaya' untuk mengambil tindakan segera terhadap perkahwinan bawah umur. Setiap kali mereka memilih untuk berbuat demikian, lebih ramai budak perempuan akan tersungkur masuk ke dalam rekahan yang enggan dibaiki mereka,"kata kumpulan itu dalam catatan Twitter.
Marianne Clark-Hattingh, wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia juga mengutuk perkahwinan bawah umur itu di Kelantan.
"Ia tidak boleh diterima kerana seorang lagi budak perempuan berkahwin dengan lelaki tua. Kes terbaru di Kelantan adalah bukti tentang perlunya meningkatkan kesedaran mengenai kesan perkahwinan terhadap kanak-kanak dan meminda perundangan bagi mengharamkan amalan itu, "kata dalam catatan Twitter.
Beliau juga mencadangkan supaya undang-undang baru mengenai perkahwinan kanak-kanak turut diiringi dengan langkah-langkah lain termasuk wajib mendapatkan pendidikan peringkat menengah, pendidikan kesihatan reproduktif seksual dan mengurangkan kemiskinan.
Sehingga kini, hanya Selangor iaitu negeri terkaya dan paling maju di Malaysia yang melingkari ibu kota persekutuan Kuala Lumpur, telah memecahkan status quo tersebut dan berjanji untuk meningkatkan umur perkahwinan bagi lelaki dan wanita kepada 18 tahun.