Malaysia-China erat hubungan ketika Trump kembali memimpin

Langkah PM Anwar Ibrahim rapatkan hubungan dengan Beijing berisiko cetus pertembungan dengan kepentingan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump, kata penganalisis.
Iman Muttaqin Yusof
2024.11.07
Kuala Lumpur
Malaysia-China erat hubungan ketika Trump kembali memimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping ketika mengadakan kunjungan hormat di Great Hall Of People, Beijing, China, 7 November 2024.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing pada Khamis dalam lawatan ketiganya ke China sejak memegang jawatan pada 2022, memuji pemimpin China itu sebagai “suara baharu untuk Global Selatan dan antarabangsa.”

Lawatan Anwar berlangsung ketika penganalisis meramalkan presiden baru Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump, yang terkenal dengan pendekatan konfrontasinya terhadap China, mungkin meningkatkan ketegangan antara Washington dan Beijing yang berpotensi merumitkan pendirian diplomatik neutral Malaysia.

Semasa ucapan pembukaannya di Beijing, Anwar memuji Xi atas komitmennya terhadap "nilai dan peradaban" dan pendirian membantu rakyat, orang miskin dan kemanusiaan."

“Kami melihat anda bukan sahaja sebagai pemimpin di China tetapi juga sebagai suara baharu untuk Global Selatan dan antarabangsa,” kata Anwar.

Beliau menyifatkan China sebagai “rakan dan sekutu yang dipercayai,” dengan kerjasama ekonomi menjadi teras hubungan Malaysia dengan gergasi Asia itu.

Penganalisis bagaimanapun memberi amaran bahawa hubungan Malaysia yang semakin erat dengan China boleh memberikan risiko kepada hubungannya dengan Amerika Syarikat, terutamanya di bawah pentadbiran Trump yang mungkin menggunakan pendekatan lebih mengutamakan transaksi dan menghukum.

Trump kembali ke Rumah Putih sebagai Presiden ke-47 AS selepas menewaskan pencabarnya daripada Demokrat, Kamala Harris, yang sebelum ini merupakan Naib Presiden pada Pilihan Raya Presiden selepas memperolehi kemenangan luar biasa pada Rabu.

Janji kempen Trump termasuk potensi tarif 60 peratus ke atas import China dan cukai menyeluruh 20 peratus ke atas import lain, bertujuan untuk meningkatkan pembuatan domestik, yang boleh memberi kesan yang ketara di seluruh negara.

Professor madya sains politik Universiti Islam Malaysia Antarabangsa Lee Pei May berkata, “saya tidak terlalu optimistik tentang hubungan AS-Malaysia apabila Trump menjadi Presiden AS”.

“Kita tahu Trump telah memulakan perang dagang dan saya fikir di bawah pentadbirannya nanti, perang dagang akan makin hebat. Keadaan itu akan menjejaskan Malaysia memandangkan negara ini banyak menempatkan firma China dan syarikat tempatan menjalankan perniagaan bersama mereka.

"Jika terdapat syarikat China dikenakan sekatan, maka syarikat tempatan akan terjejas sama," katanya semasa dihubungi BenarNews.

Bagi Profesor sains politik di Universiti Nasional Singapura Chong Ja Ian yang dihubungi BenarNews pula berkata, “risikonya adalah apabila pentadbiran Trump nanti melihat langkah Malaysia menyebelahi China dalam persaingan AS-China yang mungkin boleh menyebabkan Malaysia dikenakan hukuman tambahan oleh Amerika Syarikat."

Anwar mengakhiri lawatan empat hari ke China pada Khamis termasuk menyertai Ekspo Import Antarabangsa China di Shanghai, pertemuan dengan pemimpin China, pelabur dan lebih 23 'kapten' industri terkemuka membabitkan sektor teknologi dan pembuatan termaju dan penglibatan berasingan dengan eksekutif Huawei di Beijing.

241107-MY-Anwa-XI-2.jpg

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia mengadakan pertemuan bersama pelabur berpotensi iaitu China Investment Corporation (CIC) dan China International Capital Corporation (CICC) di Beijing, 7 November 2024. [Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perbincangan Anwar dengan pegawai China tertumpu kepada meluaskan kerjasama dalam inisiatif ekonomi digital, pembuatan dan pembangunan infrastruktur, memberikan isyarat kepada usaha untuk membawa hubungan Malaysia-China “ke peringkat seterusnya,” kata Benedict Weerasena, Pengarah Penyelidik di Bait Al Amanah kepada BenarNews.

Penjajaran strategik itu, katanya, membina hubungan selama sedekad, dengan perdagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$190 bilion pada tahun lepas.

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia, menyumbang kira-kira 55 peratus daripada import dan menduduki tempat kelima dalam pelaburan langsung asing.

Kerjasama China, ASEAN dan negara Teluk

Terdahulu ketika berucap di Universiti Peking, Anwar menggariskan visi untuk Asia Tenggara yang berinteraksi secara konstruktif dengan kuasa global "sambil mengekalkan kemerdekaan dan mempromosikan kestabilan serantau."

Malaysia dijangka mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Anwar menggunakan platform itu untuk menyeru blok itu untuk menolak "sebarang keputusan unilateral untuk memberikan arahan kepada negara lain."

Anwar juga menjemput Xi untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tiga hala pada 2025 yang akan menghimpunkan ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China, yang katanya untuk memupuk hubungan ekonomi, budaya dan strategik di seluruh rantau ini.

“Dengan menghubungkan China, ASEAN dan GCC, kita boleh membina jambatan antara Asia Timur, Asia Tenggara dan Timur Tengah, membolehkan hubungan ekonomi, budaya dan strategik yang lebih mendalam,” kata Anwar.

“Ini akan menyumbang kepada mewujudkan visi bersama untuk kerjasama.”

GCC terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, semua negara kaya minyak dengan pelaburan yang besar di Asia Tenggara.

Shahriman Lockman, penganalisis kanan dengan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia berpendapat cadangan forum ASEAN-GCC-China mempamerkan cita-cita Malaysia untuk memanfaatkan kuasa bersidangnya di pentas antarabangsa.

"Ia adalah rangka kerja baharu, jadi sukar untuk diramal sama ada sesuatu yang substantif akan terhasil daripadanya," kata Shahriman kepada BenarNews.

“Banyak bergantung kepada pemain utama seperti Putera Mahkota Saudi Mohammed Salman dan Sheikh Mohammed Zayed dari UAE sekiranya mereka hadir.”

Bagi Malaysia, potensi manfaat forum tiga hala melangkaui keuntungan ekonomi, kata Lee lagi.

"Dengan memasukkan China dalam forum itu, ia menyediakan platform untuk negara-negara ini membincangkan cara bekerjasama antara satu sama lain,” kata Lee.

“Ini adalah percubaan pertama untuk membina jambatan antara Asia Timur, Asia Tenggara dan Timur Tengah, yang membolehkan perbincangan mengenai isu kritikal seperti kestabilan serantau dan konflik Timur Tengah.”

Lawatan Anwar juga dilakukan ketika Malaysia menyelaraskan lebih rapat dengan inisiatif seperti BRICS, blok ekonomi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, yang baru-baru ini menerima Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand sebagai negara rakan kongsi.

Disokong oleh China, BRICS dilihat oleh beberapa penganalisis sebagai pengimbang kepada pengaruh Barat di Asia, untuk menyediakan perkongsian alternatif yang boleh mengurangkan pergantungannya kepada pasaran Barat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.