Kapal China terlibat curi peninggalan perang British di perairan Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia temui lebih 100 butir peluru masih aktif dalam kapal pengangkut China yang ditahan di perairan Johor.
Iskandar Zulkarnain & Iman Muttaqin Yusof
2023.05.31
Kuala Lumpur
Kapal China terlibat curi peninggalan perang British di perairan Malaysia Foto tidak bertarikh yang dikeluarkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menunjukkan sebuah kapal pengangkut barangan yang didaftarkan di China sedang ditahan pihak berkuasa kerana berlabuh secara haram di perairan di timur Johor, 30 Mei 2023.
[MMEA/AFP]

Malaysia berkata sebuah kapal yang didaftarkan di China berkemungkinan terlibat dalam kegiatan mencuri peninggalan perang daripada dua bangkai kapal Perang Dunia Kedua milik British selepas meletupkan hampir 150 butir peluru usang masih aktif yang ditemui atas kapal yang ditahan pada Ahad lalu.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan para penjarah telah mencuri dari bangkai HMS Prince and HMS Repulse, yang tenggelam selepas dibedil dengan peluru torpedo dari pesawat Jepun pada tahun 1941, dengan tindakan penjarahan terkini itu disifatkan oleh kerajaan Britain sebagai mencemar kubur perang.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Warisan dan Jabatan Laut Malaysia telah berjaya menemui lebih 100 butir peluru dipercayai masih aktif dalam kapal pengangkut dari China yang ditahan oleh Zon Maritim Tanjung Sedili pada 28 Mei lalu.

“Maritim Malaysia tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar di Fuzhou, China terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal perang lama British di perairan negara,” demikian menurut Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, kesemua peluru yang dijumpai di atas kapal MV Chuang Huang 68 itu dipercayai masih aktif dan telah diambil oleh Unit Pemusnah Bom Polis Johor untuk dimusnahkan.

"Siasatan Maritim Johor terhadap kapal itu lebih kepada kesalahan bersauh tanpa kebenaran manakala PDRM dan Jabatan Warisan Negara sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes tersebut," katanya lagi.

Malaysia telah menahan kapal pengangkut China yang membawa muatan besi buruk dan peluru meriam lama setelah dikesan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 20 batu nautika timur Tanjung Siang, sekitar perairan Kota Tinggi di Johor.

Kapal yang membawa 32 orang anak kapal itu ditahan oleh APMM setelah gagal menunjukkan permit kebenaran berlabuh semasa pemeriksaan rutin di perairan Malaysia pada Ahad lalu.

Penemuan itu juga adalah susulan daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Johor terhadap sejumlah lagi peluru usang zaman Perang Dunia Kedua yang masih aktif yang dijumpai pada minggu lepas.

Polis Johor dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan Unit Pemusnah Bom (UPB) negeri itu telah memusnahkan 142 butir peluru usang yang dirampas daripada kapal berkenaan.

“Pada 30 Mei 2023 - sekitar jam 2.30 petang, Unit Pemusnahan Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama UPB IPD Kota Tinggi telah menjalankan tindakan pemusnahan ke atas (142) butir Unexploded Ordnance (UXO) jenis Artillery Shell 133mm dan Shell 40mm di Kawasan Perairan Tanjung Siang , Kota Tinggi, Johor.

“Penemuan UXO di tempat kejadian adalah hasil daripada tindakan pembersihan keselamatan selepas menerima laporan dari APMM yang membuat pemeriksaan di atas kapal MV Chuang Huang 68 semasa menjalankan Op Jaksa/ OpTiris/Op Todak/ Op Jangkar Haram,” kata Polis Johor dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Jeremy M. Joseph, seorang pakar undang-undang maritim memaklumkan BenarNews bahawa besi, tembaga dan loyang, telah dijual sebagai besi buruk dan mempunyai nilai yang tinggi.

“Peluru meriam dijual kepada para pengumpul barang-barang warisan. Nilainya bergantung kepada harga yang sedia dibayar oleh pembeli.

“Bagaimanapun, peluru hidup sewajarnya diletupkan dan adalah satu kesalahan untuk menjual berdasarkan kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan Ordinan Kapal Dagang 1952,” ujarnya lagi.

Nyawa terkorban

Berdasarkan catatan, seramai 842 anggota Tentera Laut Britain terkorban dalam serangan pada 10 Disember 1941, yang disifatkan sebagai satu tragedi terburuk dalam sejarah negara itu.

Serangan itu berlaku tiga hari selepas serangan tentera laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour, serta dua hari selepas pencerobohan Jepun di Asia Tenggara.

Berdasarkan kepada laporan media tempatan, kapal Prince of Wales adalah sebuah kapal diraja yang paling penting namun ia tidak dilindungi oleh pesawat pejuang.

Kapal-kapal berkenaan tenggelam ke dasar Laut China Selatan, yang terletak 100km dari persisir pantai timur laut Malaysia.

Perbuatan menjarah dua kubur kapal perang dunia berkenaan dikecam hebat oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK).

Agensi berita BBC melaporkan jurucakap Kementerian Pertahanan UK di London: “Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang penghinaan terhadap mana-mana kubur tentera maritim.

“Jika kami mempunyai bukti penjarahan bangkai kapal Tentera Laut Diraja, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan kerajaan serantau dan rakan-rakan kongsi untuk mencegah aktiviti tidak sewajarnya berlaku di tapak sedemikian.”

Dalam reaksinya, Kedutaan China di Malaysia menyeru kerajaan Malaysia untuk menjalankan siasatan secara adil serta melindungi keselamatan rakyatnya.

“Kami berharap pihak Malaysia dapat mengendalikan kes ini dengan adil mengikut undang-undang, komited melindungi keselamatan dan hak serta kepentingan warga China dan melaporkan perkembangan siasatan tepat pada masanya,” kata jurucakap kedutaan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kedutaan China turut mendakwa kapal berkenaan telah diupah oleh sebuah syarikat Malaysia.

“Berdasarkan maklumat yang ada, kapal yang beroperasi di perairan Malaysia itu telah diupah oleh syarikat tempatan Malaysia,” ujar jurucakap berkenaan lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.