Pendidikan, pengembangan perniagaan dorong warga China beli hartanah di Malaysia
2024.06.25
Kuala Lumpur
Hartanah mewah di bandar raya Malaysia menarik minat pembeli warga China apabila mereka berpindah ke sini untuk merebut peluang dalam bidang pendidikan dan mengembangkan perniagaan terutama industri yang terkait dengan usaha mewujudkan hab semikonduktor di Asia Tenggara, kata penganalisis.
Jualan pascapandemik menunjukkan peningkatan permintaan sekali gus menyaksikan harga hartanah melonjak sebanyak 15 peratus sejak tahun lepas, menurut pemilik firma hartanah di Pulau Pinang yang menempatkan kilang semikonduktor global utama. Lokasi panas lain di Semenanjung Malaysia ialah Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Terdapat peningkatan minat sejak awal 2023 dengan jerayawara dan projek yang menyasarkan pasaran antarabangsa, kata Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Tan Kian Aun.
“Pada 2022, pembeli warga China masih agak keberatan namun sejak tahun lepas, kami melihat terdapat minat baharu,” katanya kepada BenarNews.
Pada awal tahun ini, media tempatan melaporkan sejumlah 24,765 warga China telah menyertai program Malaysia Rumah Keduaku. Ia membolehkan warga asing mendapatkan visa jangka panjang untuk tinggal di negara itu.
Pulau Pinang khususnya amat menarik minat pembeli warga Cina kerana kemudahan kebudayaan dan 40 peratus penduduknya adalah terdiri daripada etnik Cina Malaysia.
Pulau itu telah menyaksikan minat baharu dalam kilang berkaitan pembuatan bateri untuk kereta elektrik yang menyaksikan perniagaan dari China sama ada menyewa atau membina hartanah komersial baharu, kata Tan.
Orang ramai membanjiri sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, 26 April 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Kenaikan 15 peratus harga hartanah di kawasan mewah adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan daripada golongan pelajar dan perniagaan, kata Long Soo Keat, pemilik utama Shijie Property, sebuah syarikat hartanah di Pulau Pinang.
"Kami menyedari trend ini sejak Jun lepas terutama dalam pelajar dan perniagaan yang ingin berada di pulau itu," kata Long kepada BenarNews sambil menambah pelanggan warga China lebih memilih kawasan premium dengan kemudahan moden untuk makanan, hiburan, pendidikan dan membeli-belah.
“Hartanah terbabit menelan kos lebih RM1 juta [AS$212,240] atau kadar sewanya bermula daripada RM4,000 [$849] sebulan,” katanya.
Di selatan Semenanjung Malaysia iaitu negeri Johor, perniagaan dari tanah besar China berminat membeli tanah untuk operasi kilang di kawasan Kulai dan Pulai, kebanyakannya untuk cip mikro, kata Chia Zi Jin, perunding hartanah yang berpangkalan di Johor.
Beliau berkata keadaan yang menggalakkan dari segi sumber bahan mentah dan pembuatan telah menarik minat pelabur dari China.
“Belum ada minat untuk membeli hartanah seperti kediaman di Johor namun ramai warga China yang berhasrat membeli tanah terutama di bahagian utara negeri itu yang masih murah berbanding bahagian selatan yang lebih dekat dengan Singapura, ” katanya kepada BenarNews.
Pada Julai 2023, penganalisis menjangkakan nilai hartanah bagi projek Forest City di Johor akan jatuh kerana pemaju dari China iaitu Country Garden berdepan masalah kewangan yang boleh mengganggu nilai jualan semula dan kadar sewa.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di laman Facebook pada awal bulan ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata Zon Kewangan Khas Forest City dijangka dimuktamadkan pada Ogos ini. Zon itu diramal mampu menarik minat institusi kewangan untuk melabur dalam projek itu.
Pada Mei, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan kerajaannya untuk melabur sebanyak RM25 bilion (AS$5.3 bilion) dalam mengembangkan industri semikonduktor dan melatih 60,000 jurutera tempatan sebagai sebahagian daripada usaha ini.
Pautan ke Singapura
Di Johor Bahru, rangkaian Sistem Transit Aliran Ringan (RTS) yang akan datang dengan jirannya, Singapura, memacu permintaan hartanah di bandar raya berhampiran pantai di Malaysia itu.
Chia menyifatkan ia sebagai "pencetus perubahan."
Dijadualkan dibuka pada awal 2026, RTS dijangka diintegrasikan dengan sistem aliran massa (MRT) Singapura bagi Laluan Thomson-Pantai Timur yang secara signifikan mampu mengurangkan tempoh perjalanan disebabkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor, yang menghubungkan negeri Johor dengan Singapura.
Chia berkata rakyat Singapura dan warga China yang bekerja di Singapura membeli hartanah di Johor disebabkan kadar pertukaran mata wang satu dolar Singapura adalah bersamaan kira-kira RM3.50.
"Dengan RTS, mereka boleh ke Singapura dalam tempoh lima minit berbanding terperangkap dalam kesesakan tambak selama tiga jam," katanya.
Sebuah bas kelihatan melintasi Tambak Johor-Singapura dari Johor Bahru, Malaysia, 29 Nov 2021. [Vincent Thian/AP]
Sementara itu, Tan dari MIEA berkata Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia yang terkenal dengan Menara Berkembar Petronas yang ikonik dan Menara Merdeka 118 iaitu bangunan kedua tertinggi di dunia terus menarik minat pelabur China untuk mengembangkan e-dagang serta membuka pusat data.
Pelabur China juga membeli serta menyewa hartanah di Sepang, sebuah perbandaran yang terletak kira-kira 50 kilometer (31 batu) dari Kuala Lumpur, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh Universiti Xiamen Malaysia yang menawarkan ijazah dalam bidang sains, keselamatan siber dan komunikasi, menurut Tan.
Antara sebab utama untuk belajar di Sepang ialah kos sara hidup yang lebih murah berbanding bandar raya di Beijing atau Shanghai.
"Pelajar datang kerana perbandaran di sini memiliki kemudahan yang moden dan terdapat komuniti pelajar di kawasan ini," kata Tan.
Kira-kira 2,200 warga Cina adalah antara 7,500 pelajar dari 44 negara yang melanjutkan pengajian di cawangan pertama Universiti Xiamen di luar republik itu, demikian menurut agensi berita Malaysia Bernama.
Pelaburan berlebihan
Ahli ekonomi Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway pula mengaitkan minat warga China yang semakin meningkat kepada hubungan perdagangan serta pelaburan di antara Malaysia dan China.
Bagaimanapun, beliau turut memberi amaran bahawa pelaburan berlebihan oleh kerajaan boleh menyebabkan kekurangan sumber dan kenaikan harga.
Pencakar langit termasuk Menara Berkembar Petronas (kiri, belakang) memenuhi latar langit Kuala Lumpur, 7 Jun 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan bahawa pelaburan China di Malaysia telah mencapai RM11.6 bilion (AS$2.5 bilion) dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023.
Ini adalah sebahagian besar daripada RM225 bilion (AS$47.8 bilion) jumlah pelaburan yang diluluskan dalam negara sepanjang tempoh ini.
“Persekitaran yang menggalakkan ini telah membawa kepada peningkatan minat daripada pelabur China untuk membuka perniagaan di Malaysia dengan hartanah menjadi bahagian teras operasi mereka,” kata Yeah kepada BenarNews. "Pemilikan hartanah berfungsi sebagai asas kepada aktiviti mereka."
Bagaimanapun, beliau berkata sumber yang mencukupi dan tenaga kerja mahir adalah penting untuk mengekalkan kemasukan pelaburan tanpa mendatangkan kemudaratan.
Sebagai contoh, beliau berkata terlalu banyak pusat data dan penggunaan industri yang tinggi boleh mengakibatkan kekurangan dari segi bekalan air dan elektrik.
"Justeru, kita perlu berhati-hati untuk tidak terlalu memanaskan pasaran," kata Yeah. "Pelaburan berlebihan boleh mengakibatkan permintaan yang melampau dan tekanan terhadap sumber sekali gus melonjakkan harga."