Kunjungan kapal tentera China ke Malaysia ikut protokol diplomatik

Kebenaran untuk kapal latihan Qi Jiguang dan JinggangShan dari China berlabuh tidak melanggar peraturan negara, kata Menteri Luar Malaysia
Ili Shazwani Ihsan
2024.10.14
Kuala Lumpur
Kunjungan kapal tentera China ke Malaysia ikut protokol diplomatik Kapal latihan tentera China Qi Jiguang memasuki perairan Pulau Pinang sebelum berlabuh di Swettenham Pier Cruise Terminal, George Town, Pulau Pinang, 5 Oktober 2024.
[Ihsan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur melalui Facebook]

Malaysia pada Isnin menjelaskan bahawa kunjungan kelasi dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang pada minggu lalu telah mematuhi protokol diplomatik selepas parti pembangkang mengkritik ia sebagai 'tidak sensitif' ketika Beijing didakwa menceroboh perairan negara itu.

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan berkata di Parlimen bahawa kunjungan tersebut adalah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dengan menambah pelajar mengibarkan bendera China seperti tular di media sosial adalah warga republik itu yang belajar di sekolah swasta di negara ini.

"Kapal latihan Qi Jiguang dan JinggangShan dari Zhanjiang dari China telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertahanan manakala Kementerian Luar memberi kelulusan diplomatik untuk kedua-dua kapal tersebut masuk ke perairan Malaysia dan berlabuh di Pulau Pinang pada 5 Oktober, " kata Menteri Luar Mohamad Hassan.

“Permohonan diplomatik daripada Kedutaan China juga jelas ada memohon untuk membuat lawatan ke sekolah yang berunsurkan ajaran Konfusianisme dan lain-lain.

“Ini diuruskan oleh pihak keselamatan dan kita harap kalau ada apa-apa perlanggaran, ia perlu disiasat tetapi setakat ini permohonan diplomatik tersebut tidak melanggar peraturan negara kita,” kata Mohamad ketika menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) pada sidang Dewan Rakyat.

Terdahulu sambutan ‘luar biasa’ yang diberikan kepada Pasukan Tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya seramai 1,000 orang semasa tiba di Swettenham Pier Cruise Terminal, George Town dalam rangka lawatan selama empat hari dua minggu lalu mendapat kritikan ramai selepas ia tular di beberapa platform media sosial.

Pelatih tentera laut itu juga melakukan kunjungan ke Sekolah Menengah Persendirian Chung Ling, Pulau Pinang.

Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan kewajaran memberikan sambutan sedemikian rupa sebaliknya kerajaan perlu lebih peka terhadap perasaan rakyat ketika negara berhadapan dengan isu dakwaan pencerobohan aset China di perairan negara selain protes negara berkenaan terhadap Petronas berkaitan kerja-kerjanya di projek pembangunan gas di Sarawak.

Sambutan meriah

Sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang disifatkan 'tidak masuk akal' terutama ketika perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak diceroboh oleh aset negara berkenaan, kata Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Saifuddin Abdullah.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata kerajaan perlu lebih sensitif dalam mengendalikan sesuatu majlis agar tidak menimbulkan kemarahan rakyat.

Pada hari yang sama, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz juga menyifatkan sambutan yang diberikan kepada dua kapal yang melaksanakan ‘port-call’ (persinggahan) secara bersama walaupun tiada keperluan logistik untuk berbuat demikian di Pulau Pinang merupakan sesuatu di luar norma kebiasaan.

"Sambutan luar biasa dari kerajaan negeri Pulau Pinang kepada kelasi dan kadet Tentera Laut China yang sebelum ini jarang-jarang melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di pelabuhan awam di Malaysia, apatah lagi aktiviti ‘port call’ oleh Pasukan Tugas 83 ini tidak dibuat sempena pelaksanaan eksesais dengan Angkatan Tentera Malaysia atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," kata beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan media.

Ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China

Mohamad bagaimanapun menjelaskan sambutan yang diuruskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang itu bukanlah bersifat luar biasa sebaliknya hanya meriah sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Kita tidak kata sambutan luar biasa, sambutan yang meriah yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang ini selaras dengan ulang tahun 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China,” kata beliau.

Kunjungan 165 kadet kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) di sekolah menengah swasta tersebut turut mengudang kemarahan segelintir pihak apabila dua keping gambar dimuat naik menerusi media sosial memaparkan pelajar sekolah terbabit memegang dan mengibarkan bendera republik itu yang memberi gambaran seolah-olah pelajar warga Malaysia lebih menyanjungi negara itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tampil menjelaskan pelajar yang dipaparkan di dalam gambar tersebut bukan rakyat Malaysia sebaliknya sebahagian daripada 33 warga China yang belajar di sekolah swasta tersebut.

"Mereka bukan warganegara Malaysia, mereka belajar di sekolah berkenaan dan ada gambar lain yang menunjukkan pelajar dari China dan pelajar Malaysia kedua-duanya di sekolah tersebut bersama-sama dalam satu aktiviti dan masing-masing mengibar bendera negara atau negeri masing-masing," jelas beliau yang juga jurucakap kerajaan kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga telah mengenal pasti individu yang menyebar maklumat palsu kononnya pelajar Malaysia mengibarkan bendera China dan pihak berkuasa sedang dalam proses untuk mengambil tindakan selanjutnya, tegas Fahmi.

“Saya sudah arah SKMM siasat mereka yang menyebarkan maklumat palsu, sengaja mengadu domba dalam kalangan masyarakat dan saya minta pihak polis juga mengambil tindakan tegas kerana mereka cuba menimbulkan kegusaran dalam masyarakat," ujarnya lagi.

Menurut hasil kajian terbaru oleh Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI), kapal-kapal ronda milik agensi pengawal pantai China telah menjalankan rondaan hampir setiap hari di kawasan perairan yang didakwa Malaysia sebagai sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara itu, terutamanya di sekitar Gugusan Beting Patinggi Ali berhampiran negeri Sarawak yang diketahui kaya dengan sumber petroleum.

Bagaimanapun, kawasan berkenaan juga terletak di dalam peta "9 garis putus-putus" (nine-dash line) iaitu peta kontroversi yang diterbitkan China untuk menuntut sejumlah besar kawasan di Laut China Selatan.

Mohamad menegaskan isu Laut China Selatan merupakan sesuatu yang kompleks dan sensitif sambil menambah bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.

“Buat masa ini, negara-negara ASEAN dan China sedang merundingkan, Kod Tata Laku Laut China Selatan (COC) bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.

“Ia adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing," kata tambah beliau di Dewan Rakyat.

Pada Ahad, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas tindakan pihak yang sengaja membangkitkan kontroversi berhubung isu dua kapal tentera laut China berlabuh di Pulau Pinang sedangkan persinggahan kapal negara asing di Malaysia sudah menjadi amalan biasa sejak sekian lama.

"Malaysia sentiasa membenarkan kapal dari semua negara berlabuh kecuali Israel kerana mengamalkan dasar berbaik dengan semua negara," ujarnya.

Minggu lalu, Anwar berkata ASEAN dan China sepakat untuk mengelak sebarang tindakan keganasan di Laut China Selatan dan menyelesaikan pertikaian melalui kaedah diplomatik.

"Kita usulkan, yang dipersetujui semua, termasuk China adalah elak keganasan, gunakan jalur diplomatik, ada rundingan dan saya cadangkan kalau boleh guna jalur ASEAN bersama.

"Tentunya sedikit perkembangan membabitkan Filipina membimbangkan kita dan ia sudah disampaikan (kepada China) dan ada jaminan daripada Perdana Menteri, Li Qiang," katanya kepada pemberita Malaysia selepas berakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 di Laos pada Jumaat lalu. 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.