Kapal Peninjau China Tinggalkan Perairan Malaysia 2 Minggu Selepas Bantahan
2021.10.18
Kapal peninjau China, Da Yang Hao, telah meninggalkan perairan Malaysia, kira-kira dua minggu selepas Kementerian Luar negara itu memanggil duta besar China bagi mengemukakan bantahan berhubung perkara itu.
Data pengesanan kapal pada Isnin menunjukkan bahawa kapal seberat 4,600 tan itu kini dalam perjalanan menuju ke arah utara, lebih dari 200 batu nautika di bahagian barat Filipina.
"Sukar untuk mendapatkan kepastian mengenai keputusan China berbuat demikian," kata Sharihman Lockman, penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).
"Da Yang Hao jelas berada di sana sebagai suatu bentuk protes terhadap aktiviti minyak dan gas Malaysia, oleh itu China mungkin beranggapan bahawa ia telah pun berbuat demikian dan memutuskan untuk berlayar pergi," katanya kepada BenarNews.
Sejak akhir September, Da Yang Hao beroperasi di kawasan yang merangkumi zon ekonomi eksklusif (EEZ) tiga negara - Brunei, Malaysia dan Filipina.
Pada satu ketika, jaraknya hanyalah 40 batu nautika dari Pulau Balabac di Filipina dan 60 batu nautika dari pesisir Malaysia.
Pada 4 Oktober, Kementerian Luar Malaysia menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia telah memanggil Duta Besar China, Ouyang Yujing, untuk membantah "keberadaan dan aktiviti" kapal-kapal China di perairan Malaysia.
Antaranya ialah kapal peninjau Da Yang Hao, yang berulang alik di luar pesisir pantai timur Sabah dan Sarawak. Kapal pertama dilihat muncul buat pertama kalinya di kawasan itu antara 25 hingga 26 September.
Kuala Lumpur menyatakan aktiviti itu "adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982."
UNCLOS mentakrifkan EEZ sebagai berada dalam jarak 200 batu nautika (370 kilometer) dari pantai, dan memberikan hak kepada negara pesisir itu untuk meneroka dan mengeksploitasi sumber-sumber semula jadi di kawasan itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar itu, Malaysia "juga membantah pencerobohan kapal-kapal asing lain dalam perairan kita sebelum ini."
Malaysia sentiasa berhati-hati dalam berurusan dengan China yang merupakan rakan dagang terbesarnya, tetapi kata-kata kerasnya kali ini menunjukkan bahawa kepemimpinan Malaysia berasa tertekan untuk menunjukkan sikap yang lebih tegas terhadap peningkatan sikap mendesak Beijing di Laut China Selatan.
Sharihman berkata beliau tidak pasti sama ada bantahan Malaysia itu "menjadi penentu dalam hal ini, tetapi ia mungkin dibantu dengan menghebahkan perbuatan China itu."
Dalam kejadian serupa pada tahun lalu, kapal peninjau lain China, Haiyang Dizhi 8, hanya meninggalkan perairan itu selepas sebulan memantau kapal penggerudi Malaysia yang dikontrak oleh syarikat milik kerajaan, Petronas.
Sebuah lagi kapal peninjau China, Haiyang Dizhi 10, berada di kawasan minyak dalam EEZ Indonesia sejak akhir Ogos dan masih berada di sana pada Isnin.
Kapal-kapal China sering muncul tanpa diundang di perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, terutamanya ketika adanya kegiatan maritim oleh negara jiran dan sekutunya.
Kapal-kapal tentera laut dari A.S., U.K. dan negara-negara lain telah melakukan eksesais dan kunjungan ke pelabuhan-pelabuhan di kawasan Indo-Pasifik, dengan yang terbaru adalah latihan dua minggu yang dikenali sebagai Bersama Gold 2021.
China menuntut "hak bersejarah" di hampir 90 peratus Laut China Selatan, yang kaya dengan sumber itu. Kawasan itu turut dituntut sebahagiannya oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Negara-negara Asia Tenggara dan China sedang membincangkan mengenai apa yang dikenali sebagai Kod Tata Laku di Laut China Selatan, dalam usaha menyelesaikan perselisihan secara aman dan mematuhi undang-undang antarabangsa. Para pakar menyatakan bahawa kesepakatan itu tidak mungkin dicapai dalam waktu terdekat ini kerana ia melibatkan kepentingan pihak-pihak yang saling bertikai itu.