China beri komitmen bantu rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan di Myanmar
2023.11.16
Kuala Lumpur
Malaysia pada Khamis berkata China telah berjanji untuk membantu membawa pulang rakyat negara itu yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan kini terkandas di Myanmar, dengan kebanyakan daripada mereka tidak memiliki pasport.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Fadillah Yusof yang sedang mengadakan lawatan kerja ke China berharap agar satu kaedah dapat dicapai agar kesemua mangsa dapat dibawa keluar melalui sempadan China dan Myanmar walaupaun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang diperlukan.
Tambah beliau, masih terdapat mangsa yang masih terkandas di Myanmar walaupun telah berjaya menyelesaikan masalah perundangan dan denda kerana isu berhubung pasport yang dipercayai berada dalam simpanan majikan.
"Kita meminta bantuan dan sokongan daripada Naib Premier China Liu Guozhong untuk mereka mempermudahkan (urusan menyelamat) kerana sekarang ini banyak kes rakyat kita terperangkap di Myanmar disebabkan penipuan pekerjaan.
"Apabila mereka ditipu, mereka tidak dapat keluar daripada negara itu disebabkan tidak mempunyai pasport. Jadi pihak kita telah meminta bantuan dari negara China dan mereka memberikan komitmen untuk membantu memudahkan kaedah membawa keluar mangsa," kata Fadillah kepada pemberita di Beijing pada Khamis.
Timbalan Perdana Menteri itu sedang mengadakan lawatan rasmi sulung ke China bermula 12 hingga 19 November depan, di mana turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China, Yu Jianhua serta Liu.
Tambah Fadillah, pegawai kerajaan Malaysia akan berbincang dengan rakan sejawat mereka di China bagi memperincikan inisiatif untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih terkandas di Myanmar.
Ratusan rakyat Malaysia dilaporkan telah menjadi mangsa aktiviti penipuan pekerjaan yang menawarkan peluang kerja berpendapatan lumayan di negara luar, sebelum mereka dibawa ke negara jiran seperti Kemboja, Myanmar dan Laos untuk dikerah bekerja dengan sindiket penipuan atas talian.
Kebanyakan mangsa menyedari telah ditipu selepas sampai ke sesebuah lokasi yang dikawal ketat menyebabkan mereka tidak dapat melepaskan diri, dan dipaksa bekerja serta dipukul oleh anggota sindiket sekiranya gagal menurut arahan.
Awal bulan ini, Timbalan Menteri Luar Malaysia Mohamad Alamin memberitahu Parlimen bahawa Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang seramai 518 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan setakat November, manakala 26 lagi sedang dikesan melalui kedutaan Malaysia di Yangon.
Dalam kes terbaharu, media tempatan melaporkan seramai tiga orang rakyat Malaysia termasuk pasangan suami isteri telah dibawa pulang dari Myanmar pada 27 Oktober lalu selepas berjaya diselamatkan daripada sindiket dengan bantuan kumpulan bukan kerajaan tempatan.
Sebelum itu, seorang lagi mangsa, seorang lelaki berusia 28 tahun yang berasal dari negeri Pahang, telah meninggal dunia pada 14 Oktober ketika berada dalam tahanan pihak berkuasa imigresen Myanmar, selepas diselamatkan daripada sindiket.
Radio Free Asia, sekutu BenarNews pada Oktober 2022 melaporkan bahawa kira-kira 700 pekerja migran Malaysia ditahan di sebuah premis kasino dan resort milik warga China yang terletak di utara Laos, di mana mereka dipercayai didera oleh pengurus yang mahukan sejumlah wang yang besar dibayar sebagai tebusan jika mahu dibebaskan.