China tarik kemasukan Muslim Malaysia, bantu pulih industri pelancongan

Kelonggaran peraturan visa dan tawaran pakej mesra halal dorong lebih ramai pengembara Islam Malaysia kunjungi China, kata pakar industri.
Iman Muttaqin Yusof
2024.09.09
Kuala Lumpur
China tarik kemasukan Muslim Malaysia, bantu pulih industri pelancongan Iklan pakej pelancongan mesra Islam ke beberapa destinasi di China kelihatan lebih menonjol pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 di Kuala Lumpur, 6 September 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

China sedang meningkatkan usaha menarik pelancong Muslim dari Malaysia dengan pakej pelancongan mesra halal, satu langkah yang membantu memulihkan industri pelancongan selepas dilanda pandemik sambil mengeratkan hubungan dengan Malaysia, negara majoriti Muslim di Asia Tenggara.

Pada pameran pelancongan hujung minggu lalu di Kuala Lumpur, pakej pelancongan China menyaksikan permintaan yang tinggi, dengan satu pertiga daripada tawaran khusus untuk populasi Islam yang semakin meningkat di Malaysia.

Pakar industri berkata faktor kelonggaran peraturan visa dan pilihan mesra halal telah mendorong peningkatan hingga 15 hingga 20 peratus kedatangan pelancong Islam Malaysia ke China, termasuk ke Xinjiang - wilayah di mana Beijing telah dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap Muslim Uyghur

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong yang merupakan penganjur pameran itu berkata pembukaan semula China kepada pelancong asing telah mencetuskan minat baharu.

"Era pascapandemik dan penarikan balik sekatan perjalanan ke China benar-benar mendorong lonjakan ini," kata Wong kepada BenarNews.

“Dengan peningkatan kesedaran terhadap kemudahan mesra halal dan pilihan makanan, destinasi seperti Xinjiang, Xi’an dan Ningxia menjadi lokasi utama untuk pelancong Muslim.”

Pakej melibatkan destinasi pelancongan China menguasai ruang seluas 0.9 hektar di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, dengan paparan menonjol mempromosikan pakej mesra Muslim.

Pakej pelancongan ke China terutamanya ke kawasan barat yang mempunyai lebih ramai penduduk Islam boleh menjadi lebih mahal berbanding destinasi lain di republik itu. 

Pakej ke Xinjiang boleh melebihi RM5,000 (AS$1,144) untuk perjalanan selama lima hari, berbanding RM2,000 (AS$458) hingga RM3,000 (AS$687) bagi perjalanan ke bandar utama timur seperti Beijing dan Shanghai.

Di antara destinasi tersebut, Xinjiang mempunyai daya tarikan tertentu walaupun terdapat kontroversi antarabangsa yang berterusan membabitkan wilayah itu.

Sejak 2021, kerajaan Amerika Syarikat menuduh Beijing menjalankan kempen "pembunuhan beramai-ramai" terhadap minoriti Muslim Uyghur di wilayah barat jauh itu.

Kerajaan China telah menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai bermotifkan politik dan didorong oleh kuasa asing yang cuba menjejaskan imej global republik itu.

“Masjid Id Kah Xinjiang di Kashgar dan Jalan Sutera yang bersejarah sangat terkenal dalam kalangan pengembara Islam, kebanyakan mereka tertarik ke wilayah itu atas faktor sejarah Islam yang telah berakar umbi,” tambah Wong.

Peningkatan kemasukan pelancong Islam Malaysia ke China bertepatan dengan kemudahan visa yang dipertingkatkan antara Beijing dan Kuala Lumpur seperti diumumkan semasa lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke Kuala Lumpur pada Jun sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 kedua-dua negara.

Malaysia dilaporkan telah melanjutkan pengecualian visa bagi warganegara China sehingga 2026 manakala China telah memberikan pengecualian yang sama untuk rakyat Malaysia sehingga 2025.

Menurut laporan agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi telah mencadangkan pelanjutan tempoh bebas visa untuk rakyat Malaysia daripada 15 kepada 30 hari, semasa lawatan kerja beliau ke China, serta menolak tamat tempoh pengecualian itu hingga Disember 2026.

Namun di sebalik tarikan Xinjiang bagi pelancong Muslim, wilayah itu tetap menjadi bahan penelitian antarabangsa yang ketat.

Radio Free Asia, sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews melaporkan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk memperbaharui gesaan agar siasatan penuh dijalankan terhadap penyalahgunaan yang didokumenkan di Xinjiang.

Pada 2022, PBB menuduh China melakukan "jenayah terhadap kemanusiaan" di wilayah itu.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia telah mengambil sikap berhati-hati dalam isu berkenaan dengan menjauhkan diri daripada membuat sebarang ulasan awam mengenai perkara itu.

Pada 2022, Malaysia mengambil sikap berkecuali dalam undian di PBB untuk membahaskan layanan China terhadap Muslim Uyghur, sebaliknya memilih untuk mengekalkan kedudukan neutral.

Walaupun ia tidak mengutuk secara terbuka dakwaan penganiayaan China terhadap Uyghur, Malaysia pada 2020 ketika pentadbiran Mahathir Mohamad telah menolak permohonan untuk mengekstradisi pelarian Uyghur kembali ke China.

Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

BenarNews menghubungi Kementerian Luar Malaysia untuk mengulas mengenai pendirian semasa negara itu berkenaan isu Uyghur Muslim namun belum mendapat maklum balas.

Meskipun kebimbangan hak asasi manusia telah mendominasi wacana Barat, agensi pelancongan China melaporkan bahawa pelancong Malaysia kurang menunjukkan kebimbangan untuk melawat Xinjiang.

"Kami tidak menerima sebarang aduan atau kebimbangan daripada pelancong mengenai situasi di Xinjiang," kata Chong Yu Ken, naib presiden pelancongan luar negara MATTA kepada BenarNews.

“Malah, China menjadi pilihan yang lebih menarik bagi pengembara Islam ekoran syarat kemasukan ketat di negara Asia lain seperti Korea Selatan atau tiket mahal ke negara Eropah.”

Kuasa diplomasi

Sementara itu, usaha China untuk menarik pelancong Muslim adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk menggiatkan sektor pelancongannya yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, kata Sam Huang, seorang profesor pelancongan di Universiti Edith Cowan.

“Kerajaan China melihat pelancongan sebagai alat diplomasi pintar dan sebahagian daripada strategi 'kuasa lembutnya'.

“Dasar dan tindakan industri pelancongan boleh menjadi strategi besar di peringkat nasional...China mempunyai penduduk Islam di wilayah yang berbeza dan ia tidak sepatutnya terlalu sukar untuk membangunkan lebih banyak pelancongan halal di China,” katanya kepada BenarNews.

Mengikut syariat Islam, penganutnya dilarang memakan daging babi dan haiwan tertentu seperti anjing dan monyet.

Daging yang halal dimakan seperti ayam dan daging lembu wajib disembelih mengikut kaedah ditetapkan oleh Islam selain dilarang mengambil minuman beralkhohol.

Di bandar besar seperti Beijing, Guangzhou dan Shanghai, terdapat lebih banyak restoran menerima pensijilan halal dan terdapat peningkatan bilangan hotel dan pusat peranginan yang menawarkan makanan halal dan kemudahan tempat solat.

Usaha tersebut telah memudahkan pengembara Islam untuk menjelajah ke wilayah China yang luas tanpa perlu risau tentang sekatan pemakanan.

"Semakin banyak restoran mendapat pensijilan halal dan di beberapa bandar yang kurang maju, perniagaan tempatan turut mula melayani pelancong Muslim," kata Ong Tan Cheah, seorang perunding di Suka Travel, yang mempunyai kepakaran dalam percutian mesra Muslim ke China kepada BenarNews.

Seorang pelancong Muhammad Nurabrar, warga Malaysia berusia 24 tahun yang melawat Shanghai, Guangzhou dan Yiwu baru-baru ini berkata ketersediaan makanan halal yang semakin meningkat merupakan perubahan yang dialu-alukan.

"Terdapat banyak restoran dan kafe Arab di bandar-bandar utama di China," katanya.

"Masakan Cina Muslim, seperti 'mi tarik' memang sedap tetapi rasanya tidak sama seperti makanan di rumah."

"Setiap tahun, kami melihat lebih banyak restoran halal dibuka," tambah Nurabrar.

"Ia masih belum sempurna, tetapi pastinya semakin mudah untuk mencari makanan halal."

Walaupun kos yang lebih tinggi, permintaan melancong ke China kekal tinggi dengan agensi pelancongan memberitahu BenarNews bahawa mereka menerima aliran tetap tempahan daripada pelancong Muslim.

"Kami telah bekerja keras untuk memenuhi pasaran yang semakin berkembang ini," kata Ong dari Suka Travel.

“Jumlah pengembara Islam semakin berkembang, malah pusat peranginan membuka restoran halal untuk menarik lebih ramai pelancong.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.