PM China akhiri lawatan ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik

Li Qiang puji kebebasan diplomatik Malaysia manakala Beijing-Kuala Lumpur kukuhkan hubungan dagangan dan ekonomi.
Iman Muttaqin Yusof dan Harry Pearl
2024.06.20
Kuala Lumpur dan Melbourne
PM China akhiri lawatan ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) memperkenalkan rakan sejawatannya, Li Qiang (dua dari kanan) dengan barisan menteri-menteri Kabinet Malaysia pada majlis sambutan ketibaan pemimpin nombor dua China itu di Putrajaya, 19 Jun 2024
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

KEMASKINI pada 4.45 petang waktu tempatan ETS - 2024-06-20

Kuala Lumpur dan Beijing meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka dengan meningkatkan pelbagai pakatan ekonomi dan perdagangan apabila Perdana Menteri China Li Qiang mengakhiri lawatan rasmi ke Malaysia pada Khamis.

Li mengakhiri lawatan tiga hari ke Malaysia yang menyaksikan kedua-dua negara sepakat meningkatkan hubungan melalui pelbagai kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Lawatan Li itu merupakan perhentian terakhir perjalanan beliau, termasuk ke New Zealand dan Australia, ketika Beijing berusaha memperkukuh pengaruhnya di rantau itu susulan persaingan geopolitik yang semakin meningkat dengan Amerika Syarikat (AS).

Pemimpin nombor dua China itu dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mempamerkan kemesraan serta tidak menyentuh hampir semua isu yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.

Pada majlis makan tengah hari, Anwar berkata beliau mendapati kepimpinan China bersikap mesra, menghormati dan memahami perbezaan budaya sambil menambah "ia bukan seperti yang digambarkan di tempat lain."

“…Malaysia adalah sahabat sejati anda. Dan kepada rakyat Malaysia, China adalah sahabat sejati kita," kata Anwar.

Dalam pada itu, kenyataan bersama yang dikeluarkan setelah Li berlepas pulang memaklumkan kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa pertikaian di Laut China Selatan harus diselesaikan secara aman "melalui perundingan dan rundingan yang mesra" berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Kedua-dua negara dijangka mengadakan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim secepat mungkin, menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, Li mengadakan perbincangan tertutup dengan Anwar di ibu kota pentadbiran kerajaan Malaysia iaitu Putrajaya.

Selepas itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian 14 memorandum persefahaman termasuk mengenai pelancongan, teknologi, jenayah rentas sempadan, tenaga hijau serta pembaharuan pelan perdagangan dan pelaburan lima tahun.

China juga bersetuju mengimport durian segar Malaysia - buah berduri dengan bau menyengat - yang dianggap sebagai makanan istimewa di Asia Tenggara.

Malaysia memaklumkan ia akan melanjutkan pengecualian visa untuk pelancong China hingga 2026.

MY-CH-Anwar-Li2.jpg

Perdana Menteri China Li Qiang memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada majlis sambutan rasmi di Dataran Putra, Putrajaya, 19 Jun 2024. [Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Collins Chong Yew Keat, pakar hal ehwal luar Universiti Malaya, berkata perjanjian itu menunjukkan hubungan ekonomi sedang dipertingkat "tetapi dalam sektor sasaran yang juga akan memberi manfaat kepada China dalam pengertian geopolitik yang lebih besar."

“Sudah tentu ia akan memberi isyarat dorongan baharu oleh China untuk menarik Malaysia lebih dekat ke orbitnya dan menghantar isyarat kepada rantau ini serta Barat bahawa ruang pengaruh konvensional dan hubungan ekonomi Beijing yang kuat di rantau ini berdasarkan kelebihan masa,” katanya kepada BenarNews.

"Dengan menggunakan kelebihan geografi, hubungan sejarah dan langkah ekonomi serta jaminan kemakmuran bersama, China menangkis peningkatan tawaran Barat."

Pembangunan bersama

Pada majlis makan malam negara petang Rabu, Li memuji kebebasan diplomatik Malaysia serta silaturahim yang sekian lama terjalin dalam "dunia yang penuh dengan perubahan dan pergolakan."

Beliau berkata penyelarasan lanjut strategi dan kepentingan pembangunan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Adalah penting untuk membangunkan sinergi yang lebih besar antara Inisiatif Belt and Road dan rangka kerja Ekonomi Madani, meningkatkan perdagangan produk pertanian dan produk lain serta memanfaatkan potensi kerjasama dalam bidang baharu muncul seperti tenaga hijau dan pembuatan canggih,” kata Li.

Rangka kerja Madani yang menjadi jenama konsep pentadbiran Anwar menetapkan beberapa bidang utama untuk pembangunan Malaysia menjelang 2030.

Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya pula berkata langkah mengukuhkan hubungan dengan China bukanlah mengenai keuntungan jangka pendek sebaliknya adalah bagaimana mendapatkan faedah jangka panjang.

"Kami percaya bahawa adalah demi kepentingan strategik Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, bukan menentangnya," kata beliau pada majlis makan malam itu.

Selain itu, Anwar berikrar bahawa Malaysia akan kekal berkecuali di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit antara China dan AS, sambil cuba meletakkan negara berkenaan sebagai hab bukan partisan untuk pembuatan produk berteknologi tinggi di susulan peralihan rantaian bekalan global.

Terdahulu, menjelang lawatan Li, Anwar berkata Malaysia berminat menyertai blok BRICS yang disokong Beijing dan Moscow bagi mempelbagaikan pilihan ekonominya.

MY-CH-Anwar-Li3.JPG

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Li Qiang berbual pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia- China di Kuala Lumpur, 19 Jun 2024. [Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Brian Wong, felo di Pusat Kontemporari China dan Dunia Universiti Hong Kong, berkata Beijing melihat Malaysia sebagai tonggak diplomasi ekonomi Asia Tenggara dan Indo-Pasifiknya.

“Kepimpinan Malaysia, terutama di bawah Anwar dan komitmen negara itu yang teguh sejak sekian lama terhadap keadilan di Timur Tengah, semakin bimbang dengan apa yang dilihat sama ada ia bebas daripada tindak balas sewenang-wenangnya oleh AS dan sekutunya dalam konteks perang Gaza,” katanya BenaNews.

“Oleh itu, China melakukan pembukaan strategik dalam membina lebih banyak hubungan pelbagai dimensi bersama Malaysia dengan cara yang tidak mementingkan diri sendiri.”

Jajaran kereta api Pan-Asia

Dalam lawatannya, Li menghadiri majlis pecah tanah bersama Anwar bagi hab pengangkutan bersepadu yang akan menjadi sebahagian daripada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Malaysia.

ECRL ialah projek rel bernilai AS$16 bilion yang dibina di bawah pemacu infrastruktur merentasi dunia Beijing iaitu Inisiatif Belt and Road (BRI).

Projek rel sepanjang 665 kilometer (414 batu) itu, yang merentasi negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan telah dilancarkan pada Ogos 2017 namun berdepan masalah kelewatan serta peningkatan kos.

Ia merupakan contoh utama projek infrastruktur besar-besaran China di Asia Tenggara dan pada Rabu, Li berkata Beijing bersedia meneroka kaedah untuk menghubungkan ECRL dengan jajaran di Laos serta Thailand.

“Ia akan menggalakkan kemajuan dalam pembinaan Koridor Baharu Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa dan memberi sumbangan yang lebih besar untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan memperdalam pembangunan Komuniti ASEAN,” kata Li merujuk kepada laluan perdagangan antara China barat dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Chong berkata komen Li mengenai projek itu mencerminkan "impian sekian lama" China mengenai kereta api Pan-Asia yang menghubungkan republik itu melalui darat ke tanah besar Asia Tenggara.

"Ini melengkapkan kitaran penuh untuk China dalam memiliki dua akses ke wilayah penting melalui laluan maritim dan darat.

"Ia juga bakal menyediakan laluan logistik alternatif kepada Beijing sekiranya tercetus konflik maritim di Laut China Selatan," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.