Polis Malaysia Tahan Warga China Dalang Sindiket Penipuan 'Macau Scam'
2020.12.01
Kuala Lumpur
Malaysia mengumumkan penahanan seorang lelaki warga China dipercayai ketua sindiket ‘Macau Scam’ yang juga bertindak sebagai pengantara bagi dua negara dalam kegiatan penipuan dan judi haram dalam talian menurut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bersama lima lagi rakan senegaranya dan seorang tempatan, demikian pada pihak berkuasa pada Selasa.
Pengesahan penangkapan selama 38 hari terhadap lelaki dikenali sebagai Chen De Wei berusia 31 tahun yang turut dikehendaki oleh pihak berkuasa China itu dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Huzir Mohamad pada sidang media di Ibupejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.
“Lelaki warga China dikenali sebagai Chen De Wei, 31, dipercayai mengetuai sindiket Macau Scam di negara ini ditahan dalam operasi khas di Mont Kiara (Kuala Lumpur) yang diadakan antara 15 hingga 20 Oktober lepas. Chen serta lima lagi rakan senegaranya dan seorang rakyat tempatan telah ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi tempoh selama 38 hari.
“Chen berperanan sebagai penghubung di antara sindiket penipuan itu di Malaysia dan China termasuk mempunyai kaitan dengan dua suspek utama warga tempatan [Addy Kana dan Goh Leong Yeong] serta dua anggota polis yang ditahan sebelum ini ,” tambah Huzir.
Menurut beliau Chen bersama rakan-rakannya akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah dan Keganasan (LPJK) untuk tindakan lanjut sebaik sahaja tempoh tahanan reman mereka tamat pada 8 Januari depan.
Dua nama yang disebut Huzir iaitu Addy Kana dan Goh adalah merujuk kepada dua suspek utama warga tempatan yang telah ditahan bersama dua anggota polis berpangkat korporal pada Oktober lalu selepas didapati terlibat dalam sindiket yang sama. Kesemua mereka kini sedang menjalani hukuman tahanan selama dua tahun di pusat pemulihan khas di Simpang Renggam, Johor; Pokok Sena, Kedah; dan Bentong, Pahang.
Sindiket didalangi Chen bersama rakan-rakannya termasuk rakyat tempatan itu mula menjadi perhatian umum selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa selebriti tempatan Malaysia bagi membantu siasatan kes penggubahan wang haram yang berkaitan dengan aktiviti Macau Scam pada awal Oktober.
Huzir memberitahu jumlah tangkapan dibawah akta berkenaan yang melibatkan sindiket itu adalah seramai 130 orang termasuk Chen dan lima lagi rakan-rakannya.
POCA adalah akta yang telah digubal pada 1959, iaitu dua tahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan pindaan pertama dibuat pada 1989. POCA sekali lagi dipinda pada 2013, susulan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada 2011.
Pindaan seterusnya adalah pada 2015, yang dibuat bertujuan memperluaskan usaha menangani jenayah berat dan jenayah terancang, khususnya aktiviti gengsterisme dengan memberi kuasa kepada satu Lembaga Pencegahan Jenayah, yang dipengerusikan seorang Hakim untuk melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun sekiranya perlu.
Di bawah akta ini, seseorang itu boleh direman selama 38 hari dan reman boleh dilanjutkan sehingga maksimum 59 hari.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, Zainuddin Yaacob dalam kenyataan sebelum ini, kebanyakan mangsa yang terpedaya dalam sidiket Macau Scam ini adalah wanita berusia 51 tahun dan keatas, yang berada dalam keadaan tertekan dan takut setelah menerima panggilan.
Macau Scam adalah satu sindiket penipuan dalam talian di mana pemanggil akan menyamar sebagai anggota pihak berkuasa, dengan memberitahu mangsa telah melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan, yang kemudiannya membawa kepada ugutan meminta mangsa untuk membuat pembayaran wang bagi mengelakkan daripada berdepan dengan masalah.
Sejak Januari sehingga Oktober, polis telah menerima sebanyak 5,218 laporan kes melibatkan penipuan Macau Scam di seluruh negara, dengan kerugian lebih RM256 juta (AS$62.8 juta).
Menurut laporan akhbar tempatan pada Oktober, wang tunai sebanyak RM5 juta(AS$1.2juta) dan 23 kereta mewah di rampas dalam siasatan Macau Scam dan pengubahan wang haram berikutan tertangkapnya beberapa individu penting termasuk anggota polis.
"Antaranya kenderaan-kenderaan mewah itu adalah Bentley, (Ford) Mustang, Roll Royce, Ferrari, Lamboghini, Porche, (Nissan) GTR dan beberapa motosikal berkuasa tinggi," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki dalam temubual secara langsung menerusi slot 'SPRM 360' di MACCfm pada Oktober seperti dipetik akhbar tempatan Berita Harian.
Tangkapan tanpa waran
Menurut peguam jenayah Mohd Hafiz Zainol Abidin, Seksyen 3(1) POCA membenarkan pegawai polis menangkap seseorang suspek tanpa waran sekiranya terdapat sebab yang munasabah bagi melakukan siasatan ke atas individu berkenaan di bawah akta tersebut.
"Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh polis mengenai penglibatan seseorang suspek dengan aktiviti jenayah.
"Dan LPJK berperanan untuk menilai laporan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat. Ianya adalah satu mekanisme semak dan imbang bagi meneliti apa yang disediakan oleh penyiasat. Lembaga ini berkuasa untuk mengesahkan laporan dikemukakan, atau ia juga boleh mengenepikannya," kata Hafiz.
Sebelum ini, kuasa untuk mengeluarkan arahan penahanan diberikan secara mutlak kepada Menteri Dalam Negeri, akan tetapi, pindaan terhadap POCA telah mengehadkan kuasa menteri.