Malaysia percepat peralihan kepada reka bentuk cip di tengah ketegangan teknologi AS-China

Bagi mencapai matlamat tersebut, negara Asia Tenggara itu memeterai perjanjian untuk membayar sebuah firma British sejumlah AS$250 juta bagi memperoleh kepakaran semikonduktor.
Iman Muttaqin Yusof
2025.03.12
Kuala Lumpur
Malaysia percepat peralihan kepada reka bentuk cip di tengah ketegangan teknologi AS-China Jata kerajaan Malaysia (kiri) dan logo pengeluar semikonduktor Britain, Arm Holdings dipaparkan di papan iklan berbentuk cip komputer pada majlis menandatangani kerjasama antara kedua-dua pihak itu di Kuala Lumpur, 5 Mac 2025.
(Hasnoor Hussain/Reuters)

KEMASKINI pada 7 pagi waktu tempatan ETS - 2025-03-13

Malaysia sedang berusaha mempercepat peralihannya kepada reka bentuk dan pengeluaran cip berbanding sekadar terlibat dalam sektor pemasangan dan ujian, berikutan ketegangan antara China dan Amerika Syarikat yang berpotensi menjejaskan industri pusat data negara Asia Tenggara itu, kata beberapa penganalisa.

Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu mengenakan sekatan eksport baharu terhadap cip kecerdasan buatan (AI), yang digunakan oleh banyak pusat data besar di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Sekatan itu mungkin diperketatkan lagi oleh Presiden Donald Trump, yang menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Kebimbangan itu dikatakan mendorong Malaysia baru-baru ini memeterai perjanjian untuk membayar gergasi cip British, Arm Holdings, sebanyak AS$250 juta dalam tempoh 10 tahun bagi memperoleh hak cipta reka bentuk dan teknologi cipnya.

Namun seorang menteri menegaskan bahawa perjanjian tersebut bukan sebahagian daripada “strategi geopolitik besar” yang diambil oleh Malaysia.

Menurut Wong Siew Hai, presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, perjanjian yang diumumkan pada minggu lalu menjadi kunci kepada strategi keseluruhan negara untuk menjadi hab reka bentuk cip.

“Kerjasama dengan Arm akan mempercepatkan peralihan kita ke rantaian nilai yang lebih tinggi dalam reka bentuk cip,” katanya kepada BenarNews.

“[Namun] Malaysia mesti kekal berkecuali dalam [ketegangan AS-China] dan bersedia untuk bertindak balas terhadap perkembangan melibatkan kedua-dua pihak.”

Bagi Arm, perjanjian dengan Malaysia merupakan julung kali dimeterai dengan sesebuah negara – bukan syarikat – untuk pembangunan harta intelek reka bentuk Litar Bersepadu (IC).

Reka bentuk IC ialah proses mencipta pelan cip mikro yang menentukan fungsinya sebelum pembuatan.

Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli memberitahu pemberita pada minggu lalu bahawa usaha pembangunan industri semikonduktor negara ini semata-mata berlandaskan kepada kepentingan ekonomi dan bukannya geopolitik.

“Ini bukan strategi geopolitik besar untuk mengemudi perang dagang atau mengatasi persaingan teknologi global,” kata beliau.

“Hal ini semata-mata tentang hasrat Malaysia mahu melakukan peralihan yang sudah lama tertangguh, dari bidang pembuatan kepada inovasi semikonduktor berasaskan harta intelek.”

Tambah beliau kerajaan menyasarkan untuk mempercepat tempoh masa pengeluaran cip kepada lima hingga tujuh tahun, berbanding sasaran sebelum ini selama 10 tahun dan perjanjian dengan Arm akan mempermudahkan matlamat itu.

Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia memperoleh tujuh lesen subsistem komputer daripada Arm, yang membolehkan syarikat tempatan menggunakan sistem pemprosesan pra-reka bentuk firma British itu untuk mencipta cip mereka sendiri.

Setiap lesen dijangka menjana pendapatan sebanyak AS$30 bilion, menurut Kementerian Ekonomi.

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim yang menghadiri majlis menandatangani perjanjian bersama Ketua Pegawai Eksekutif Arm, Rene Haas pada minggu lalu menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘detik penting’ dalam mencapai matlamat industri semikonduktor negara.

“[Kami] telah merangka salah satu pelan teknologi paling bercita-cita tinggi yang pernah disaksikan untuk menerajui cip AI buatan Malaysia,” kata Anwar.

“Cip ini akan direka bentuk, dikilangkan, diuji dan dipasang di sini, serta dijual ke seluruh dunia.”

MY-2 (1).jpg

Seorang pekerja memeriksa cip di kilang pemasangan semikonduktor Unisem (M) Berhad di Ipoh, Perak, Malaysia, 15 Oktober 2021. [Lim Huey Teng/Reuters]

Ketegangan geopolitik

Perjanjian Malaysia dengan pengeluar cip British itu dibuat ketika AS memperketatkan kawalan eksport terhadap cip AI dan peralatan semikonduktor, satu langkah yang menurut penganalisis boleh mengganggu rantaian bekalan global.

Bulan lalu, semasa sidang kemuncak di Paris, Naib Presiden AS, J.D. Vance berikrar untuk mengekalkan Amerika di barisan hadapan AI.

Sistem AI yang paling canggih “akan dibina di AS dengan cip buatan Amerika” di bawah pentadbiran Trump, katanya.

Seorang ahli ekonomi dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi di Kuala Lumpur, Doris Liew memberitahu BenarNews bahawa Malaysia berada di tengah-tengah ketegangan teknologi yang semakin mendalam antara Washington dan Beijing.

“Tindakan seperti sekatan eksport cip maju oleh [bekas Presiden AS] Joe Biden, usaha AS untuk membawa semula pembuatan semikonduktor ke dalam negara dan dasar ‘Made in China’ oleh China boleh mengancam kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global dengan mengehadkan akses kepada pasaran utama.”

Sekatan AS terhadap eksport cip maju yang diumumkan pada Januari lalu berkemungkinan menjejaskan perkembangan pesat industri pusat data AI Malaysia yang telah menerima pelaburan berbilion dolar daripada gergasi teknologi global seperti Nvidia, Microsoft dan ByteDance.

Farlina Said, felo program Dasar Siber dan Teknologi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) berkata kepada BenarNews pada Januari bahawa sekatan cip baharu ini “berkemungkinan memperlahankan aktiviti dalam sektor semikonduktor, termasuk yang berkaitan dengan pusat data.”

Pelaburan digital di Malaysia

Malaysia meluluskan lebih RM141.7 bilion (AS$31.9 bilion) pelaburan digital – termasuk pusat data dan perkhidmatan awan – antara Januari dan Oktober 2024 dengan mewujudkan 41,078 peluang pekerjaan, menurut data kerajaan.

Ia merupakan susulan daripada pelaburan yang serupa berjumlah RM114.7 bilion (AS$25.96 bilion) dari 2021 hingga 2023.

Dalam tempoh dua tahun lalu, Malaysia telah menarik kemasukan pelaburan lebih AS$20 bilion daripada gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Nvidia, Oracle, dan Infineon.

Syarikat induk TikTok, ByteDance dari China juga telah menjanjikan pelaburan AS$350 juta untuk mengembangkan operasi pusat data berasaskan AI di Malaysia.

Dengan berkembang melangkaui bidang pemasangan cip dan beralih kepada bidang reka bentuk serta pembuatan cip, Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara seperti AS untuk mendapatkan cip AI, kata penganalisis.

Langkah ini juga membolehkan Malaysia muncul sebagai hab semikonduktor Asia Tenggara, tambah mereka.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.