Aksi cium sesama lelaki di pentas: Malaysia batalkan festival muzik, haramkan kumpulan rock Britain
2023.07.22
Kuala Lumpur & Washington
Malaysia pada Sabtu membatalkan satu festival muzik sehari selepas penyanyi kumpulan rock Britain mengeluarkan kata-kata amat biadab berhubung undang-undang anti-LGBT negara itu sebelum melakukan aksi jelik dengan mencium anggota lelaki kumpulannya di atas pentas semasa melakukan persembahan di Kuala Lumpur.
Kumpulan The 1975 juga dilarang membuat persembahan di Malaysia berikutan kecaman vokalisnya Matty Healy semasa satu persembahan pada Jumaat malam, dan kerajaan telah membuat laporan polis terhadapnya kerana melanggar peraturan persembahan artis asing, menurut Kementerian Komunikasi dan Digital.
Homoseksualiti adalah perbuatan jenayah di Malaysia, yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, dengan perbuatan liwat boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan rotan. Komuniti LGBTQ+ menghadapi diskriminasi di negara itu, dan kumpulan hak asasi manusia telah membangkitkan tentang sikap tidak bertoleransi yang kian meningkat secara umumnya dan khususnya terhadap minoriti.
Video-video yang dikongsi secara meluas dalam talian dengan memaparkan sebahagian daripada persembahan kumpulan rock itu pada hari pertama festival tiga hari itu, menunjukkan Healy melaungkan kata-kata biadap bahawa beliau tidak melihat "apa tujuannya menjemput The 1975 ke sebuah negara dan kemudian memberitahu kami dengan siapa kami boleh melakukan hubungan seks."
"Saya membuat kesilapan apabila menerima tawaran persembahan ini. Saya tidak menelitinya dengan betul,” katanya kepada penonton yang hadir menyaksikan persembahannya.
Namun, tidak lama kemudian, persembahannya dihentikan dengan Healy berkata, “Baiklah, kami harus pergi. Kami baru sahaja diharamkan oleh Kuala Lumpur”, dengan para penonton kedengaran menjerit “Tidak!”
Semua itu ternyata membangkitkan kemarahan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil, yang berkata bahawa beliau mendapati tingkah laku The 1975 sebagai "sangat biadab" dan susulan itu, memanggil penganjur Festival Good Vibes untuk bertemunya.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia. Oleh itu, saya telah mengarahkan pembatalan serta-merta baki festival tersebut,” katanya dalam catatan di laman media Twitter.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia sentiasa komited untuk menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara.
“Namun, tidak boleh sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” tambahnya lagi.
'Aktivisme persembahan'
Di media sosial, ramai yang tidak bersetuju dengan perbuatan Healy mahupun tindakan kerajaan membatalkan festival itu.
Mereka berkata tindakan pembatalan festival itu adalah melampau dan perbuatan Healy akan menyebabkan artis antarabangsa tidak mahu datang ke negara itu selain menarik perhatian yang tidak sewajarnya kepada komuniti LGBTQ di Malaysia.
“Wah, terima kasih banyak The 1975. Anda secara rasminya telah menyebabkan Malaysia sukar mengadakan konsert antarabangsa lagi,” kata @hinamasayadini.
Seorang lagi warga Malaysia @edwardkurivilla berkata beliau tidak peduli pun tentang kumpulan The 1975.
“Tetapi saya memandang berat dengan reaksi berlebihan ini. Hukumlah artis dengan segala cara, tetapi mengapa menghukum penonton dan penganjur konsert,” demikian menurut catatan tweet beliau.
Sementara itu, @Mercurylax yang memperkenalkan dirinya sebagai rakyat Malaysia yang aneh, berkata beliau percaya muzik, seni dan politik saling bersatu, tetapi dalam kes ini, Healy, dengan "aktivisme persembahan"nya, tidak rugi apa-apa pun.
“Kami telah membuka ruang dan beroleh beberapa kejayaan, ramai di antara kami yang telah dipenjarakan atau ditahan kerana berbuat demikian. Tolonglah jangan anggap bahawa ada di antara kami yang okay dengan homofobia dan transfobia di negara kami atau kami tidak melakukan apa-apa mengenainya,” tulis Mercurylax.
“Perbuatan Matty yang aktif melakukan aksi itu telah menjejaskan semua usaha tersebut dengan menyebabkan tumpuan diberikan kepada kami. … Semua ini akan menyebabkan undang-undang lebih ketat dikenakan terhadap kami dan meningkatkan lagi tumpuan orang terhadap kami. …Apa yang akan berlaku ialah parti konservatif akan menggunakan perkara ini untuk menggesa supaya lebih banyak undang-undang dikenakan terhadap kami dan hiburan antarabangsa. Lebih banyak kebencian yang tidak sewajarnya akan disasarkan kepada kami.”
Pilihan raya negeri
Sementara itu, tindakan yang diambil Fahmi berlaku hanya 10 minggu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat satu video khas Instagram untuk mengalu-alukan kunjungan kumpulan Britain, Coldplay, yang mesra LGBTQ mengadakan konsertnya di Malaysia pada November.
Tetapi kini, enam pilihan raya negeri bakal diadakan di mana hampir separuh daripada penduduk Malaysia akan mengundi untuk apa yang dilihat sebagai kad laporan mengenai kerajaan persekutuan gabungan pimpinan Anwar. Daripada jumlah itu, dua adalah negeri yang mempunyai ramai penduduk Melayu manakala tiga lagi adalah negeri yang majoriti penduduknya Melayu.
Etnik Melayu membentuk hampir 70 peratus penduduk Malaysia, dan kesemuanya beragama Islam. Etnik Cina merangkumi 22.8 peratus daripada populasi itu manakala etnik India sebanyak 6.6 peratus.
Kerajaan Anwar adalah gabungan parti berbilang agama dan etnik. Namun, pembangkang Perikatan Nasional, yang merangkumi Bersatu dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), secara terbuka membela kepentingan Melayu Muslim.
Malah, PAS, telah memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2022 - "gelombang hijau" adalah apa yang digambarkan oleh penganalisis - dengan menjadi parti tunggal yang terbesar di Parlimen.
Beberapa pemerhati menuduh kerajaan Anwar telah memenuhi kehendak berkaitan hak agama dalam usaha untuk menenangkan pengundi Melayu.
Sejak menyandang jawatan tertinggi itu pada November lalu, kerajaannya telah mengharamkan dua buku kanak-kanak kerana didakwa mempromosikan "gaya hidup LGBTQ." Ia juga mengharamkan sebuah novel kerana dikatakan "memudaratkan akhlak penduduk Malaysia."
Pada Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri telah merampas 172 jam tangan berona pelangi, yang dikeluarkan oleh Kumpulan Swatch, dalam satu serbuan yang Human Rights Watch sifatkan sebagai "sangat tidak masuk akal" dan merupakan "kempen anti-LGBT yang penuh kebencian."
Anwar telah berkata pada Januari bahawa kerajaannya tidak akan mengiktiraf hak LGBT, lapor media tempatan.