Pengarang Portal CodeBlue Disiasat Polis Berhubung Laporan Inkuiri Kebakaran Hospital

Nisha David & Hadi Azmi
2020.06.26
Kuala Lumpur, Malaysia
200626-MY-CodeBlue1000.jpg Kakitangan perubatan hospital berjalan keluar daripada bangunan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Malaysia, 17 Mac 2017.
[AFP]

Pengarang portal berita CodeBlue telah disoalsiasat pihak berkuasa Malaysia berhubung penerbitan laporan yang memetik mengenai inkuiri bebas berhubung kes kebakaran Hospital Sultanah Aminah, di Johor Baharu yang meragut enam nyawa pada 2016, yang belum lagi diumumkan kepada awam.

Pihak berkuasa Malaysia telah mengesahkan yang pengarang Boo Su-Lyn telah dipanggil untuk disoal siasat berhubung laporan yang dikeluarkan oleh portal tersebut pada Mac lepas di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan berhubung kebocoran maklumat dan bukannya seperti didakwa portal berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, di bawah Akta Rahsia Rasmi [OSA].

Timbalan Pengarah Siasatan dan Peundangan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid semasa dihubungi BeritaBenar membidas dakwaan CodeBlue bahawa Boo disiasat di bawah OSA dan sebaliknya menjelaskan yang pengarang tersebut disiasat dibawah Kanun Keseksaan berhubung kebocoran maklumat kepada awam.

“Dia disiasat bukan di bawah Akta Hasutan dan bukan di bawah OSA. Siasatan dijalankan di bawah Sekyen 203A Kanun Keseksaan,” kata Mior Faridalathrash kepada Berita Benar pada Jumaat.

Di bawah undang-undang tersebut, sesiapa yang didapati bersalah mendedahkan maklumat atau perkara yang diklasifikasikan sebagai rahsia kepada mana-mana orang lain, hendaklah dihukum dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Pada Mac lalu CodeBlue yang merupakan portal berita kesihatan menerbitkan empat laporan bersiri mengenai keputusan inkuiri bebas berhubung kes kebakaran Hospital Sultanah Aminah yang didapati berpunca daripada isu kecuaian dan salah tadbir.

Portal berkenaan dalam kenyataannya telah memaklumkan bahawa pengarang Boo Su-Lyn sedang disiasat dibawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dengan mendakwa laporan inkuiri tersebut bukan lagi tertakluk di bawah akta berkaitan.

“Ketua Pengarang CodeBlue, Saudari Boo Su-Lyn telah dipanggil untuk merakam kenyataan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya hari ini pada jam 2 petang.

“Satu keputusan kabinet pada 2 Oktober 2019 memberi gambaran bahawa pihak Kementerian Kesihatan akan menerbitkan laporan itu kepada orang awam,” kata CodeBlue.

Pada 31 Oktober lalu, Menteri Kesihatan ketika itu, Dzulkefly Ahmad memberitahu parlimen bahawa kabinet sedang dalam rangka mengeluarkan laporan tersebut daripada kerahsiaan dan bercadang untuk menerbitkannya kepada masyarakat umum.

“Kabinet telah bersetuju untuk telus dengan laporan itu dan kita dalam rangka untuk menyah-rahsiakan dokumen supaya dijadikan dokumen umum.

“Apa yang kita mahu ialah ketelusan, termasuk dalam kelemahan hospital dan lain-lain, yang akan kita jelaskan pada minggu depan,” kata Dzulkefly pada ketika itu.

Dalam laporan inkuiri jawatankuasa yang dianggotai tujuh orang dan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus mendapati pihak pengurusan Hospital Sultanah Aminah gagal menyediakan, mematuhi dan melatih kakitangannya untuk bersiapsiaga dalam menghadapi bencana serta membenarkan hospital yang dibina pada tahun 1938 itu beroperasi tanpa sijil bomba.

Sejak pengumuman oleh Dzullkefly tahun lalu, perkara berkaitan tidak lagi disebut oleh menteri atau pun kementeriannya sehingga kini dan pihak Kementerian Kesihatan juga tidak menjawab pertanyaan BeritaBenar tentang status dokumen yang dimaksudkan.

Boo walau bagaimanapun tidak membalas pertanyaan BeritaBenar semasa diminta mengulas mengenai siasatan terhadapnya.

Pertahan laporan

Dalam perkembangan yang sama, CodeBlue mempertahankan bahawa empat laporan yang disiarkan pada Mac itu dibuat atas kepentingan umum dan percaya siasatan polis itu untuk mengalih perhatian ke atas keputusan siasatan jawatankuasa.

“Siasatan polis ke atas artikel yang melaporkan mengenai dapatan jawatankuasa siasatan yang didedahkan itu mengalih perhatian daripada perkara membimbangkan yang digariskan dalam laporan berkenaan.

“Lebih utama, keadilan perlu diberikan kepada enam mangsa dan mempertanggungjawabkan pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung,” kenyataan itu dipetik.

Sementara itu, badan hak kebebasan media mengecam tindakan polis yang merupakan kes terkini di mana wartawan dan pengkritik kerajaan dipanggil sejak kebelakangan ini.

Badan hak kebebasan media Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menyuarakan kebimbangan terhadap siasatan terhadap Boo yang merupakan wartawan kedua disiasat sejak terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional yang baharu pada Mac lalu.

“Amat membimbangkan sekali di mana kurang empat bulan sejak kerajaan baharu Perikatan Nasional mengambilalih Putrajaya, ini merupakan insiden kedua penyiasatan polis terhadap wartawan yang melaporkan berita dalam mendesak jawapan daripada pihak kerajaan,” kata GERAMM.

Sebaliknya, badan itu menegaskan bahawa wartawan tidak patut dipersoalkan dan sebaliknya diberikan jawapan.

“Insiden-insiden ini merupakan petanda adanya lebih banyak penapisan media, pencerobohan hak media untuk mendapat maklumat dan untuk melaporkan berita tanpa halangan,” tambah GERAMM.

Pada Mei lalu wartawan South China Morning Post, Tashny Sukumaran dipanggil polis untuk disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuatnaik ciapan Twitter berkenaan satu operasi penangkapan warga asing di Kuala Lumpur ketika wabak COVID-19 sedang memuncak di Malaysia.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.