Persempadanan Semula, Mahkamah Tolak Permohonan Semakan 10,000 Pengundi

Hareez Lee, Lex Radz & Hata Wahari
2018.04.20
Kuala Lumpur
180420-my-courtpru1000.jpg Bekas perdana menteri Malaysia Mahathir Mohamad bercakap di depan orang ramai semasa protes BERSIH berkenaan persempadanan semula di Tugu Negara, Kuala Lumpur, 28 Mac, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat menolak permohonan semakan kehakiman oleh 10,000 pengundi di Selangor yang membantah laporan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia baru-baru ini.

Manakala di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula menerima permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh 16 ahli parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) dan parti itu, yang memohon supaya mahkamah membubarkan UMNO atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan parti sejak 2013, sekaligus menjadikannya tidak sah kerana melanggar perlembagaan parti.

Bagi kes melibatkan semakan kehakiman 10,000 pengundi di Selangor, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Azimah Omar mendapati 107 orang yang memohon serta mewakili 10,000 pengundi yang membuat bantahan terhadap laporan persempadanan semula itu, tidak terjejas atas tindakan itu.

Laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikeluarkan oleh SPR baru-baru ini, telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 Mac lalu, dan diluluskan melalui majoriti mudah selepas pengundian dibuat. Ianya akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei depan.

Azimah berkata, disebabkan mereka tidak terjejas dengan laporan berkenaan maka pemohon-pemohon tersebut tidak mempunyai 'locus standi' untuk mencabar laporan itu.

"Kesemua 107 pemohon yang memohon semakan kehakiman ini tiada dalam kawasan yang diperkatakan," jelas Hakim berkenaan sambil menambah yang keputusan itu diambil selepas meneliti permohonan yang dibuat pada 20 Mac lepas oleh sekumpulan pengundi termasuk bekas Pengerusi badan pemantau pilihanraya bersih dan adil BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah; Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan beberapa ADUN Selangor yang lain.

Kumpulan terbabit memfailkan semakan kehakiman itu dengan tujuan untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya SPR mengadakan inkuiri tempatan susulan bantahan terhadap laporan yang dikeluarkan suruhanjaya berkenaan.

Mereka juga mahu mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan SPR untuk tidak mengadakan inkuiri tempatan adalah satu tindakan yang tidak mengikut perlembagaan dan seharusnya diketepikan.

Maria memberitahu BeritaBenar bahawa hakim telah menolak permohonan tanpa mengambilkira hujah kumpulan tersebut dan juga ketidakselarasan dalam tindakan yang diambil oleh SPR.

"Inilah antara sebab kenapa kita perlu melakukan perubahan supaya proses dan sistem pentadbiran termasuklah penyusunan semula SPR supaya badan itu bebas dan bertanggungjawab kepada rakyat dan tidak menolak pilihan raya yang bersih dan adil,” kata Maria.

Sementara itu, peguam yang mewakili kumpulan terbabit, S. Ambiga, memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa mereka mungkin akan mencabar laporan persempadanan semula berkenaan dari sudut lain.

Katanya, Mahkamah Tinggi terbabit memutuskan bahawa pemohon tidak boleh meminta inkuiri tempatan dibuat kerana kawasan pilihanraya mereka tidak terjejas dengan laporan terbabit, tetapi SPR telah mengambil kira pandangan pengundi lain di kawasan Petaling Jaya Utara (PJU).

"Oleh itu, kita meneliti kemungkinan untuk mencabar laporan berkenaan kerana mereka tidak sepatutnya mengambil kira pandangan pengundi Petaling Jaya Utara." kata Ambiga.

Kumpulan yang diketuai Maria juga mahukan mahkamah untuk mengeluarkan arahan penangguhan bagi menghalang laporan terbabit daripada dibentang, didebat, dibincang atau dibuat pengundian di Dewan Rakyat sehingga kes terbabit selesai di mahkamah. Bagaimanapun ianya telah diluluskan oleh sidang Parlimen.

Cabar RoS dan UMNO

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat pula menerima permohonan semakan kehakiman oleh 16 ahli UMNO terhadap RoS dan parti itu, atas dakwaan bahawa UMNO gagal mengadakan pemilihan parti sejak lima tahun lepas yang sekaligus menjadikannya tidak sah kerana melanggar perlembagaan parti.

Kes saman berkenaan diketuai oleh Ketua UMNO Cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Kuala Lumpur, Salihudin Ahmad Khalid, dibuat hari ini, tiga minggu menjelang PRU-14, telah menamakan RoS dan Setiausaha Kerja Umno, Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Kesemua plaintif itu mahu mahkamah memerintahkan UMNO dibubarkan dan mendakwa parti itu kini ‘haram’ kerana menurut peruntukan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, tarikh pemilihan bagi semua peringkat cawangan UMNO adalah pada 31 Ogos 2016, namun dilanjutkan secara maksima selama 18 bulan kepada tarikh 28 Februari 2018 dan ia sekaligus tidak mematuhi perlembagaannya sendiri.

Pada sidang media yang diadakan diperkarangan mahkamah, peguam kanan, Mohd Haniff Khatry Abdulla, memberitahu kesemua 16 ahli itu meminta semakan kehakiman melibatkan tiga permohonan dengan menambah "Kami berpendapat bahawa semakan kehakiman diperlukan kerana kegagalan UMNO mematuhi perlembagaannya sendiri,"

Salihudin pula semasa ditemui berkata, beliau telah menghantar surat kepada RoS pada 2 Mac lalu, meminta status kesahihan parti selepas mereka menangguhkan pemilihan selama 18 bulan.

"Saya memegang jawatan dalam parti dan saya mengambil berat tentang kepentingan UMNO. Berapa lama sesebuah parti itu boleh menangguhkan pemilihannya? Saya tidak mahu memegang jawatan tanpa mengetahui apa tindakan yang sesuai, ditambah pilihan raya umum tidak lama lagi,” katanya yang mendakwa telah bersama UMNO sejak 2002 lagi.

Pada 5 Mac lalu, RoS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan bahawa permohonan UMNO untuk melanjutkan tempoh mengadakan pemilihan di semua peringkat melebihi 18 bulan telah diluluskan.

UMNO dilapor menetapkan 19 April 2019 untuk mengadakan pemilihan parti.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa RoS telah diberikan kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966, dan kuasa tambahan di bawah Seksyen 3A akta yang sama, yang berkuatkuasa, mulai 10 Jun 1988 untuk memberi kebenaran kepada UMNO menangguhkan pemilihan dalam parti berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa, memberitahu BeritaBenar tindakan yang diambil oleh ahli-ahli itu merupakan tindakan oleh musuh UMNO sambil menegaskan bahawa parti itu sentiasa dikendalikan mengikut undang-undang. Bahkan katanya Mesyuarat Agung Tahunan parti itu turut menyokong usul menangguhkan pemilihan parti berkenaan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara, Azmi Hassan berkata 16 orang ahli tersebut cuba mengambil kesempatan serta mahu melemahkan UMNO sebelum pilihan raya.

Setiausaha Agung UMNO telahpun menjelaskan bahawa kebenaran telah diberikan kepada RoS untuk menangguh pemilihan parti, dan 16 orang ahli itu jelas oportunis dan selari dengan usaha mereka untuk melancarkan perang saraf politik, katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.