Mahkamah Perintah KDN Tarik Balik Pengharaman Buku Kartunis
2015.11.11
Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan keputusan supaya Kementerian Dalam Negeri memulangkan semula buku-buku karya kartunis Zunar atau Zulkiflee Anwar Ulhaque yang dirampasnya lima tahun lepas.
Pada 9 Okt lepas, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan supaya membatalkan pengharaman buku '1Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun' mengikut Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, selepas menolak rayuan kementerian berkenaan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif.
Zunar yang berada di Australia pada ketika ini, mengumumkan keputusan mahkamah itu, pada Jumaat melalui akaun Twitter beliau.
Beliau berkata, kemenangan mencabar pengharaman buku kartunnya itu, sebagai kemenangan seluruh kartunis di Malaysia.
“Kerajaan harus terima keputusan mahkamah berdasar prinsip moral,” katanya seperti dilapor oleh portal berita Malaysiakini pada Rabu.
Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan memberi peringatan kepada kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri bahawa melukis kartun bukan jenayah.
Pada 25 Mei 2010, Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi pihak menteri pada ketika itu, telah mengeluarkan perintah melarang penerbitan, produksi, penjualan, pengedaran atau pemilikan dua buku itu dengan alasan ianya memudaratkan ketenteraman awam.
'1 Funny Malaysia' diterbitkan pada November 2009 di mana hampir kesemua kartun dalam buku itu tersiar di ruangan Cartoonkini dalam Malaysiakini daripada Oktober 2006 hingga November 2009.
Buku versi Inggeris itu merupakan kompliasi kartun oleh Zunar manakala buku versi bahasa Melayu, 'Perak Darul Kartun' diterbitkan pada November 2009 turut menyiarkan kartun politik pelbagai artis yang dipimpin oleh beliau.
Pada 2010, Mkini Dotcom Sdn Bhd yang mengendalikan portal berita Malaysiakini dan penerbit Sepakat Efektif Sdn Bhd bagi pihak Zunar telah memfailkan dua permohonan semakan kehakiman secara berasingan untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan kedua-dua buku itu dan rampasan 33 salinan buku.
Mkini Dotcom dan Sepakat Efektif menamakan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman mereka.
'Tiada merit'
Keputusan sebulat suara pada Rabu itu, dibuat lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif, semasa menolak rayuan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar, Abu Samah Nordin, Zaharah Ibrahim dan Hakim Mahkamah Rayuan Balia Yusof Wahi.
"Pada pandangan kami, tiada merit dalam rayuan itu. Kami bersetuju dengan Mahkamah Rayuan. Oleh itu, rayuan ini dibatalkan," lapor agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang memetik Hakim Md Raus sebagai berkata.
Sebelum itu, panel hakim Mahkamah Persekutuan mendengar hujah-hujah peguam kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili responden dan peguam K. Shanmuga yang mewakili syarikat-syarikat itu.
Shamsul berhujah bahawa adalah sah bagi Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku-buku itu atas alasan ia memudaratkan ketenteraman awam.
Namun, hujah itu disangkal Shanmuga yang berkata, bahawa Mahkamah Rayuan mendapati tiada bukti yang cukup untuk menunjukkan buku itu menjejaskan ketenteraman awam.
Pada 14 Julai 2011, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman itu menyebabkan mereka membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada 9 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan memerintahkan supaya pengharaman ke atas kedua-dua buku itu ditarik balik dan mengarahkan salinan buku-buku yang dirampas KDN dikembalikan kepada Zunar.
Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Ariff Mohd Yusof ketika itu, yang kini telah bersara, memutuskan tidak ada bukti munasabah bahawa buku-buku itu menjadai ancaman kepada ketenteraman awam.
Pada 12 Mei lepas, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Pada Februari lalu, Zunar didakwa dengan sembilan pertuduhan hasutan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghina badan kehakiman Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap pemimpin pembangkang Anwar Ibarhim atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Jika sabit kesalahan, Zunar boleh dikenakan hukuman penjara selama 43 tahun.
Jumaat lalu, Zunar memfailkan permohonan untuk mencabar pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan mahkamah memutuskan untuk mendengar permohonan itu pada 8 Disember depan.