COVID-19: Malaysia Lanjut Perintah Kawalan Pergerakan Buat Kali Keempat

Hadi Azmi
2020.04.23
Kuala Lumpur, Malaysia
200423-MY-C19Ramadan1000.jpg Imam jemputan, Ustaz Ahmad Mujahid Salleh Sani mengimamkan solat sunat Tarawih bersama hanya tiga jemaah yang terdiri daripada kakitangan Masjid Negara dengan mengamalkan penjarakan sosial satu meter, selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak COVID-19, di Masjid Negara, Kuala Lumpur, 23 April, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Khamis mengumumkan perlanjutan kali keempat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei depan, beberapa jam sebelum umat Islam di negara itu menyambut hari pertama berpuasa pada bulan Ramadan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tampil secara langsung di semua platform media mengumumkan mengenai perlanjutan tersebut dengan turut membayangkan bahawa PKP mula dikuatkuasakan pertama kalinya pada 18 Mac lepas, mungkin akan dilanjutkan sekali lagi sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Berdasarkan data-data yang dibentangkan kepada saya oleh Kementerian Kesihatan, saya dapati bahawa usaha-usaha untuk membendung wabak COVID-19 masih perlu diteruskan. Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berakhir pada 28 April 2020 akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei 2020,” kata Perdana Menteri itu dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung pada malam Khamis.

Beliau berkata kerajaan akan melihat kepada data yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan untuk memastikan langkah yang selanjutnya.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung. Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” menurut Muhyiddin lagi.

Umat Islam di Malaysia yang akan mula berpuasa pada Jumaat buat pertama kalinya berdepan dengan perubahan tradisi menyambut Ramadan selepas kerajaan memperkenalkan PKP bertujuan menyekat sebarang bentuk penularan jangkitan COVID-19.

Aktiviti seperti majlis berbuka puasa beramai-ramai, sembahyang tarawih secara berjemaah,  bazar Ramadan dan pulang ke kampong melawat sanak-saudara sepanjang dalam tempoh PKP adalah dilarang.

Khabar gembira


Muhyiddin dalam ucapan khasnya itu juga berkata kerajaan sedang merangka untuk membenarkan pelajar-pelajar pengajian tinggi yang terperangkap di kampus untuk pulang bersama keluarga menjelang bulan Ramadan yang bermula 24 April.

“Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir 100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ianya teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan. Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COVID-19,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan yang pentadbiran Putrajaya turut mengkaji untuk membenarkan individu-individu lain yang terperangkap ketika permulaan pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu untuk turut pulang ke destinasi masing-masing.

“Bagi anda yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan ini. Kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama,” kata beliau.

Bercakap dengan BeritaBenar, jurutera petroleum Akmal Desa, 32, yang telah terpisah dari keluarga sejak 38 hari menerima pengumuman Perdana Menteri itu dengan rasa bersyukur.

“Syukur Alhamdulillah saya kini boleh pulang untuk bersama keluarga di Bandar Penawar, Johor… Saya bekerja di Sendayan, Negeri Sembilan dan selalunya akan pulang menemui keluarga setiap hujung minggu, namun apabila PKP dilaksanakan pertama kali tempoh hari saya tidak sempat pulang,” kata beliau.

Beliau bagaimanapun berasa sedikit gelisah untuk pulang memandangkan Bandar Baru Sendayan tempat beliau berada sekarang ini telah diisytiharkan berada dalam Zon Merah COVID-19 selepas mencatatkan 79 kes positif dan satu kematian sejak 14 April.

“Walaupun taman perumahan saya bukanlah tempat di mana kes dilaporkan, ia masih membuatkan saya berfikir sama ada saya patut pulang ke rumah memandangkan saya ada seorang anak berusia tiga tahun,” jelas beliau.

Di Terengganu pula, Rifaat Ibrahim, 22, yang menuntut di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun telah terperangkap seorang diri di rumah sewanya di bandar itu sejak 18 Mac lalu.

“Kampus ditutup, dan kawan-kawan lain sempat pulang ke rumah namun saya gagal mendapatkan tiket untuk kembali ke Kepong, Kuala Lumpur jadi saya terpaksa tinggal berseorangan di sini,” katanya kepada BeritaBenar.

Beliau bagaimanapun mendapat bantuan makanan daripada pihak pengurusan kampus.

Pelan pemulihan ekonomi

Perdana Menteri juga berkata, bagi memulihkan ekonomi negara, kerajaan telah merangka satu pelan secara bertahap termasuk Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

“Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS, serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan,” kata Muhyiddin.

Beliau juga membayangkan bahawa kerajaan mahu memperluaskan kebenaran bagi syarikat dalam sektor tertentu untuk beroperasi semasa PKP, tetapi tertakluk kepada pelbagai peraturan menjaga keselamatan pekerja.

“Pada masa ini pun beberapa sektor ekonomi telah dibuka dan kerajaan sedang menimbang untuk membuka beberapa sektor dan sub- sektor lain dengan tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat.

“Ini untuk menjamin syarikat terus berdaya saing dan para pekerja dapat terus bekerja dalam persekitaran yang selamat. Garis panduan serta syarat- syarat yang terperinci akan diberikan kepada para pelabur dan sektor korporat untuk memulakan operasi syarikat masing-masing,” jelas beliau.

Pada 16 April kerajaan membenarkan lapan sektor ekonomi untuk kembali beroperasi iaitu sektor automotif, pemesinan, industri aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkait, sektor sains, profesional dan teknikal, sektor kesihatan sosial termasuk perubatan traditional dan alternatif, kedai peralatan pertukangan, elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dobi.

Kes COVID kekal dua angka

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah, Malaysia pada Khamis mencatatkan sebanyak 5,603 kes positif COVID-19 dengan 95 kematian meskipun jumlah jangkitan baharu telah turun ke julat dua angka sejak 17 April.

Katanya kawalan perjalanan dan penutupan sempadan telah berjaya mengurangkan kes import COVID-19 dan wajar diteruskan walaupun jika PKP ditamatkan.

"Jika PKP ditamatkan, ia tidak bermakna kawalan sempadan juga ditamatkan sebaliknya ia perlu diperkukuhkan.. Kes kes import juga sudah berjaya dikurangkan dan hari ini hanya mencatatkan 19 kes manakala bakinya adalah kes jangkitan tempatan.

"Sebab itu langkah kawalan sempadan perlu diperkukuhkan lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes positif COVID-19 di lebih 180 negara lain," katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.