COVID-19: Rakyat Marah Label Kerajaan Gagal Di Laman Sosial Ekoran Situasi Makin Buruk

Kes harian COVID-19 meningkat mendadak sehingga mencecah lebih 7,000 kes dan dalam masa yang sama negara berada dalam Darurat dan PKP.
Noah Lee & Nisha David
2021.05.25
Kuala Lumpur
COVID-19: Rakyat Marah Label Kerajaan Gagal Di Laman Sosial Ekoran Situasi Makin Buruk Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai pakaian perlindungan diri (PPE) berehat seketika untuk menghilangkan lelah selepas proses pengkebumian jenazah mangsa COVID-19 di sebuah Tanah Perkuburan Islam di Gombak, Selangor, 22 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Situasi pandemik COVID-19 yang semakin memburuk di Malaysia menyaksikan rakyat negara itu menjadi semakin marah dengan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang tidak diundi pada pilihanraya lalu, di mana mereka menyalahkan pemerintah negara gagal mengambil langkah berkesan bagi mengawal pandemik tersebut.

Antara faktor kemarahan mereka adalah tindakan kerajaan melonggarkan sekatan terhadap sektor ekonomi yang dianggap terlalu awal, serta perintah berkurung yang dianggap tidak ketat dan sesetengah peraturan yang dikatakan hanya memburukkan lagi keadaan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya bersiap sedia untuk menghadapi situasi pandemik yang lebih buruk, dan membantu memutuskan rantaian jangkitan dengan duduk di rumah.

Dalam kenyataan dikeluarkan melalui akaun Twitter beliau pada Selasa, pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan itu berkata bahawa bilangan kes COVID-19 harian negara adalah mengikut trend eksponensial (pesat), dan peningkatan jumlah kes yang berlaku sejak awal bulan lepas itu boleh mencetuskan kenaikan mendadak secara vertikal.

"Kita mesti bersedia untuk situasi terburuk. Bantu kami dengan duduk di rumah. Hanya dengan usaha bersama kita boleh memutuskan rantaian jangkitan," kata beliau.

Untuk rekod, setakat jam 12 tengah hari Selasa, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 7,289 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikannya bilangan kes tertinggi pernah direkodkan dalam sehari sejak COVID-19 melanda negara itu tahun lalu. Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di seluruh negara setakat ini sebanyak 525,889 kes.

Kematian berkaitan pandemik juga bertambah 60 lagi kes, menjadikan jumlah mereka yang telah meninggal dunia disebabkan koronavirus meningkat kepada 2,369 orang.

Pertambahan kes terus direkodkan pihak berkuasa kesihatan walaupun setelah lebih tiga bulan kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik. Situasi yang semakin meruncing memaksa kerajaan untuk sekali lagi mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei lalu dan dijadualkan berkuatkuasa sehingga 7 Jun depan.

Namun, perintah berkurung terbaharu itu mempunyai banyak kelonggaran untuk aktiviti ekonomi dan sosial, berbeza dengan versi yang dilaksanakan ketika gelombang kedua wabak pada tahun lepas di mana hampir kesemua aktiviti dan perkhidmatan diarahkan berhenti, dengan pengecualian diberikan hanya kepada perkhidmatan perlu sahaja.

Protes Kerajaan Gagal

Tanda pagar # KerajaanGagal yang dibuat bagi mengkritik kerajaan Perikatan Nasional telah menjadi trending di media sosial sejak beberapa minggu yang lalu sehingga Selasa, ketika negara sekali lagi merekodkan jumlah tertinggi kes COVID-19 yang baharu dalam sehari, dengan seorang pegawai tinggi Kementerian Kesihatan meminta rakyat Malaysia untuk "bersedia menghadapi perkara terburuk".

"7k kes still no lockdown. Hahahah # KerajaanGagal # KerajaanBodoh," ciap seorang pengguna Twitter @ atiqkah_ pada Selasa, merujuk kepada bilangan kes harian tertinggi yang direkodkan negara.

"Hari ini kes sudah mencecah 7,289 yang tertinggi dalam sejarah. Keyakinan rakyat kepada kerajaan makin luntur, frontliners makin lesu. Ada beberapa cadangan untuk kerajaan. Kita jaga kita, rakyat jaga rakyat, menteri jaga poket!," ciap seorang lagi pengguna Twitter yang menggunakan tweethandle @ zack_rockstar.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media pada Sabtu lepas menjelaskan beberapa sebab di sebalik keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan PKP secara total seperti tahun lepas, termasuk faktor ekonomi dan risiko perniagaan akan gulung tikar dan ribuan pekerja yang mungkin kehilangan pekerjaan.

Sebaliknya, Putrajaya memutuskan untuk mengenakan beberapa arahan lebih ketat terhadap sektor ekonomi, termasuk mengehadkan bilangan pekerja yang datang ke tempat kerja kepada hanya 20 peratus bagi perkhidmatan awam dan 60 peratus untuk perkhidmatan swasta, dengan langkah tersebut menerima banyak kritikan kerana dilihat sebagai tidak mencukupi.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama Awang Ilyas (@ BawangByte) pula mengkritik langkah kerajaan mengehadkan kekerapan perkhidmatan pengangkutan awam tetapi dalam pada masa yang sama gagal memaksa semua majikan untuk melaksanakan konsep kerja dari rumah, dan sekaligus menyebabkan kesesakan di stesen-stesen keretapi.

"Ia seperti mereka ini tidak pernah mengambil pengangkutan awam kan? # KerajaanGagal," ciap netizen tersebut pada Selasa.

Selain itu, terdapat juga netizen yang meluahkan ketidakpuasan hati mereka mengenai progres Program Imunisasi COVID-19 negara, yang dikatakan berjalan dengan perlahan.

Beberapa orang awam yang ditemui BenarNews turut meluahkan rasa kecewa mereka serta kegusaran mengenai keadaan pandemik.

Pengurus gudang Mathen Sundaram, 50, yang berasal dari Kuala Lumpur berasa bahawa cara kerajaan menguruskan pandemik COVID-19 adalah "amat teruk" berdasarkan pengalaman ketika isterinya dijangkiti virus itu baru-baru ini.

"Tempoh hari isteri saya disahkan positif. Tapi kamu tahu berapa hari diambil Kementerian Kesihatan untuk menghubungi kami? Selepas lima hari. Tapi saya tidak menunggu lama, hari kedua selepas keputusan itu saya bawa seluruh ahli keluarga untuk ambil ujian di klinik swasta, saya terpaksa keluarkan lebih RM1,000 dan mendapati anak perempuan saya pun positif.

"Jika saya bertindak menunggu KKM, anak saya mungkin ke sekolah dan menyebarkan kepada orang lain sebelum diuji untuk COVID-19.
"Saya tak mahu kata kerajaan gagal, tetapi mereka memang tidak ada pengurusan yang teratur dan rancangan mengurus risiko," tambah beliau.

Patrick Gabriel Matthew, 21, seorang pelajar universiti yang berasal dari Perak berkata bahawa kerajaan sepatutnya melaksanakan PKP secara penuh seperti tahun lepas.

"Tidak begitu ketat seperti PKP pertama, sepatutnya laksana PLP 1.0 semula, itu jalan terbaik, kes tinggi macam ini pun tengok masih ramai yang berjalan-jalan dengan bebas," katanya.

Selain meluahkan kemarahan di media sosial, Malaysia turut menyaksikan beberapa insiden di mana rakyat mengambil tindakan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui protes menggunakan kain rentang dan grafiti.

Ini termasuk seorang lelaki yang ditahan polis pada Ahad kerana menconteng dinding beberapa bangunan di kawasan Taiping, Perak dengan perkataan "Kerajaan Gagal".

Lekaki itu ditahan di rumahnya di Taman Sungai Mas, Taiping oleh anggota pasukan pemantau polis Op COVID-19, dimana mereka turut merampas beberapa peralatan termasuk satu blok tulisan kerajaan gagal, satu tin cat sembur berwarna hitam dan sebuah kereta jenis Toyota Avanza.

Bayi dijangkiti COVID-19

Dalam pada itu, Putrajaya turut mengumumkan mengenai seramai 48,261 kanak-kanak dan bayi di Malaysia telah dijangkiti COVID-19 setakat Selasa.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan bilangan itu termasuk 6,290 orang bayi berusia 18 bulan dan ke bawah.

Dalam siaran media harian mengenai pelaksanaan PKP, beliau mengingatkan para ibu bapa supaya melakukan sekatan pergerakan kendiri bagi menjaga keselamatan diri dan keluarga, termasuk kanak-kanak.

"Jangkitan kes COVID-19 ini tidak mengenal siapa malah kanak-kanak pun tidak terkecuali untuk menjadi mangsanya. Jika sebelum ini, warga emas adalah golongan yang berisiko dijangkiti COVID-19, nampaknya ancaman virus ini sudah menular kepada kanak-kanak pula.

"Justeru, selain memberi penekanan kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), kita perlu melakukan ‘self lockdown’ atau sekatan pergerakan kendiri bagi mengelak diri, anak-anak dan keluarga tersayang daripada dijangkiti COVID-19.

“Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak seperti mengelakkan mereka bermain di luar rumah, memakai pelitup muka serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman," kata Ismail.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.