Malaysia Kenakan Sekatan Pergerakan Ketat, Sistem Kesihatan Ditahap Tenat

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-01-11
Share
Malaysia Kenakan Sekatan Pergerakan Ketat, Sistem Kesihatan Ditahap Tenat Anggota polis dan tentera menjalankan pemeriksaan di sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selayang, Selangor, 14 Okt, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia akan mengenakan sekatan pergerakan yang ketat selama dua minggu bermula Rabu, dengan lima negeri dan ibunegara Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan, selepas berlakunya lonjakan jangkitan koronavirus yang membimbangkan sehingga menyebabkan sistem penjagaan kesihatan berada pada tahap tenat, kata Perdana Menterinya.

Pengumuman mengenai langkah ketat membendung penularan jangkitan COVID-19 telah dibuat Muhyiddin Yassin secara langsung serta disiarkan di stesen-stesen televisyen utama termasuk laman media sosial, dengan menurut beliau trend penularan amat membimbangkan dengan sistem kesihatannya sedang mengalami tekanan yang hebat.

“Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari, sistem penjagaan kesihatan kita berada di tahap tenat.

“Situasi hari ini amat membimbangkan kerana sistem kesihatan kita kini mengalami tekanan yang hebat sejak pandemik bermula… Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, perkara yang tidak pernah berlaku dahulu memerlukan langkah yang tidak pernah diambil sebelum ini,” tambah Perdana Menteri itu.

Negara itu masih berdepan dengan lonjakan penularan jangkitan kes koronavirus harian yang tinggi selepas pilihan raya negeri Sabah, September lalu, di mana sebelum itu hanya kira-kira 10,000 kes dilaporkan tetapi ianya meningkat lebih 130,000 kes jangkitan.

Pada Isnin, Malaysia mencatatkan 2,232 jangkitan baharu dengan empat kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dan kematian masing-masing adalah 138,224 dan 555.

Muhyiddin berkata, lima belas buah hospital COVID-19 telah mencatatkan kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus manakala di Lembah Kelang telah mencapai 100 peratus dengan lebih 1,450 anggota perubatan di hospital seluruh negara telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

PKP dan PKPB

Sehubungan itu, menurut Perdana Menteri, Malaysia akan mengenakan sekatan pergerakan ketat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu, bermula pada Rabu, di lima negeri termasuk ibunegara Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021 yang melibatkan tiga peringkat.

“Peringkat pertama, PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. Kedua PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri lagi iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah,
Terengganu dan Kelantan.

“Ketiga, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

“Negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat,” kata Muhyiddin.

MCO merujuk kepada penutupan sepenuhnya di mana perjalanan antara daerah, aktiviti keagamaan, makan di restoran dan kehadiran di sekolah tidak dibenarkan. Tidak ada pekerja, kecuali pekerja di sektor yang dianggap penting - seperti sektor perkilangan, pembinaan, dan perladangan dan komoditi yang akan dibenarkan bekerja.

Walaupun perjalanan antara negeri tidak dibenarkan, perniagaan di lima sektor ekonomi penting dapat tetap terbuka, walaupun dengan kapasiti yang lebih rendah, kata Perdana Menteri itu.

Negeri-negeri yang berada di bawah PKPB pula akan menyaksikan sekatan perjalanan antara negeri dengan aktiviti keagamaan dan perjumpaan sosial tidak dibenar diadakan.

Pengumuman perintah kawalan yang dibuat Muhyiddin itu hadir sehari selepas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia memberi amaran bahawa keadaan COVID-19 bagi negara itu sangat membimbangkan selepas jumlah kematian tinggi akibat koronavirus telah direkodkan sepanjang sembilan hari bagi tahun 2021.

"Pada tahun ini, dalam tempoh sembilan hari kita sudah mencatatkan sebanyak 71 kes kematian COVID-19. Kita amat bimbang dengan perkembangan ini,” kata Noor Hisham Abdullah dalam catatan di laman sosial media Facebook rasminya pada Ahad.

Jika dibandingkan sebelum ini, Malaysia mencatatkan kurang daripada 100 kematian COVID-19 dari Januari hingga September tahun lalu, kata Noor Hisham.

Dalam pada itu, Noor Hisham semasa sidang media hariannya pada Isnin berkata satu kes varian koronavirus mutasi protein Spike yang pertama kalinya ditemui di United Kingdom telah dikesan di Malaysia.

"Jangkitan dari mutasi itu dikesan terhadap seorang lelaki Malaysia yang memasuki negara pada Disember lalu dan diuji positif COVID-19 pada 28 Disember. Beliau didapati telah mengembara ke UK," kata Ketua Pengarah Kesihatan itu lagi.

Muhyiddin pada siaran langsung itu juga telah memberitahu yang kerajaan pimpinannya pada Isnin telah menandatangani perjanjian dengan syarikat gergasi farmasi Pfizer untuk mendapatkan 12.2 juta dos tambahan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19.

Malaysia kini akan mendapat 25 juta dos vaksin Pfizer, yang akan memberi suntikan kepada 39 peratus penduduknya sepanjang 2021.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh